GUNUNG BELUMUT (1,010 METER)

puncak-belumut11

Junko Tabei, seorang pendaki warga Jepun, pengsan dalam satu kejadian runtuhan salji pada paras 6,300 meter di pergunungan Himalaya. Beliau, termasuk pendaki dan jurupandu jalan, berjaya diselamatkan oleh beberapa Sherpa yang turut bersama grup ekspedisi tersebut. Apa yang mengagumkan, walaupun dibelenggu kemalangan yang hampir-hampir meragut nyawanya, Junko Tabei menjadi pendaki wanita pertama dunia tiba di puncak Everest (8,850 meter). Beliau berjaya menjejakkan kaki di puncak tertinggi dunia itu pada 16 Mei 1975.

Puncak-puncak gunung di Malaysia mungkin tidak sehebat maupun setinggi di Banjaran Himalaya, iaitu bumbung dunia. Namun, dengan kehijauan hutan hujan tropika yang membalutinya, ia tetap menjadi inspirasi kepada penggiat aktiviti mendaki gunung dan menjelajah belantara. Belantara yang kini tinggal tidak sampai 50% yang menghijaui kawasan daratan Malaysia.

Saya berkesempatan untuk mendaki Gunung Belumut di Johor baru-baru ini bersama-sama dengan 13 pendaki lain. Pengalaman mendaki di kawasan tersebut, walaupun bukan buat pertama kali untuk diri saya tetap mengujakan dan menyeronokkan. Berikut adalah pengalaman kami menjejaki laluan puncak gunung di negeri paling selatan semenanjung, iaitu Johor.

Hutan Lipur Gunung Belumut agak hening di pagi yang redup dan dingin itu. Hanya kami yang seramai 14 orang berada di situ. Agak riuh rendah belantara itu dengan gurau senda dan gelak ketawa sambil kami menikmati sarapan nasi lemak dengan minuman kopi susu panas.

Seekor cicak yang saya rasakan masih di peringkat juvana tiba-tiba melintas. Saya, tanpa membuang masa, terus merakamkan fauna dengan warna menarik itu kerana belum pernah melihat sebarang spesis reptilia yang seumpamanya. Kami kemudiannya menggalas pek kecil yang berisikan sedikit makanan dan minuman. Dengan lafaz Bismillah, kami mula mengatur langkah pada pukul 8.40 pagi.

Kami perlahan-lahan melewati trek konkrit yang dibina bagi pengunjung-pengunjung menjelajahi sekitar kawasan Hutan Lipur Gunung Belumut. Beberapa minit berikutnya, kami meniti kepingan-kepingan kayu beluti yang membentuk sebuah jambatan gantung. Di bawahnya mengalir jeram yang mengalir perlahan, dingin dan cetek. Satu pemandangan yang sering dinanti-nantikan oleh penjelajah hutan seperti kami.

Kami seterusnya mendaki anak-anak tangga yang juga diperbuat daripada konkrit. Laluan itu kemudiannya bersambung kepada denai hutan yang agak lecak dan licin. Terdapat juga paip PVC (poly-vinyl-chloride) yang dipasang di pinggir denai yang kami tempuhi bagi menyalirkan air bersih ke bangunan-bangunan di kawasan hutan lipur seperti seperti surau, bilik air dan pejabat. PVC merupakan polimer termoplastik yang digunakan secara meluas dalam industri kimia.

Kecuraman trek meningkat perlahan-lahan. Gelak-ketawa dan senda gurau yang jelas kedengaran sebelum ini yang menghiasi perjalanan bertukar kepada dengusan nafas yang kepenatan dek menongkah bukit mencanak dan licin. Tubuh yang di sebelah awalnya kedinginan kini kepanasan dengan keringat yang mencurah-curah. Kira-kira sejam selepas memulakan pengembaraan, kami tiba di satu kawasan yang agak lapang yang dikenali dengan Batu Mahkota.

batu-mahkota1

Batu Mahkota merupakan satu formasi batuan semulajadi yang unik. Ketika melihatnya buat kali pertama beberapa tahun yang lampau, saya menyangka bahawa struktur batuan tersebut terbina daripada beberapa bongkah yang membentuk satu formasi yang kelihatan luar biasa. Namun sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya ia terbentuk hanya daripada sebongkah batu besar yang rata di bahagian atasnya.

Kami berhenti seketika di situ untuk berihat dan meneguk minuman penghilang dahaga. Langkah kami kemudiannya diteruskan. Masih jauh lagi matlamat yag harus dituju. Masih banyak lagi halangan yang harus ditempuh melalui belantara purba serba hijau yang menyimpan seribu satu rahsia dan misteri yang masih menjadi perbualan dan kajian pakar-pakar sains di serata dunia.

Pohon-pohon palma seperti bertam (Eugeissona brachystachys) turut menyuburi kiri kanan laluan yang kami jejaki. Bertam merupakan antara flora yang banyak memberikan masalah kepada pendaki yang kurang berhati-hati. Bukan sedikit yang tercedera tercucuk durinya yang mudah patah tatkala berpaut pada pelepah dan batangnya ketika mengharungi kawasan hutan yang berbukit-bukau. Buahnya kelihatan seperti buah salak, salah satu fauna yang dikategorikan di bawah famili Palmae.

buah-bertam1

Kami terus berjalan menempuhi laluan yang kadang-kalanya dipenuhi halangan-halangan tipikal hutan hujan tropika seperti balak tumbang dan batu-batan yang berlumut. Kami turut menempuhi kawasan yang terhakis teruk yang menampakkan permukaan tanahnya yang kuning-merah. Hanya akar-akar pokok yang tersembul menjadi tempat kami berpaut dan berpijak. Namun kesukaran seperti ini mengujakan walaupun ianya begitu memenatkan dan menguji mental serta fizikal.

Keadaan flora turut berubah dengan meningkatnya ketinggian kawasan tanah tinggi yang kami tempuhi. Kepelbagaian biologi menyusut dengan jumlah spesis tumbuhan yang tidak seberapa. Kami turut berhadapan dengan tebing berbatu dengan lurah-lurah cetek yang digenangi air. Batang pokok-pokok kayu berketinggian sederhana dan kecil menjadi tempat kami berpaut melalui trek yang licin, curam dan meletihkan.

Langkah kami kemudiannya terhenti di satu kawasan lapang yang berhampirannya terdapat punca air. Tempat ini mengingatkan saya tentang peristiwa pendakian silam. Seorang rakan pendaki ketika itu, iaitu Aznal, sempat memasak nasi dengan lauk sambal bilis petai. Kami yang seramai lima orang ketika itu menikmati hidangan istimewa yang terhidang di depan mata dengan penuh lahap. Kesedapannya hingga menjilat jari!

Kami meneruskan perjalanan tanpa berhenti lama di situ. Di sebalik rimbunan pepohon menghijau, saya perhatikan cuaca yang cerah tatkala kami mula mengorak langkah beberapa jam yang lalu kini berubah wajah. Yang kelihatan hanyalah langit kelam macam mengundang hujan. Kami mempercepatkan langkah kerana hati tidak sabar-sabar lagi untuk menjejakkan kaki ke puncak.

Pokok-pokok ala bonsai dengan juntaian lumut hijau pucat dan kuning mendominasi laluan. Flora periok kera seperti Nepenthes ampularia mudah kelihatan tumbuh di permukaan tanah yang sentiasa tinggi dengan kelembapan. Kami terus menyusuri laluan yang sepi dan akhirnya tiba di puncak Gunung Belumut pada pukul 2.00 petang.

Hanya kami yang seramai 14 pendaki berada di puncak berketinggian 1,010 meter itu. Keadaan sekeliling agak berangin dengan awan hitam berarak pantas, awan hitam yang sinonim dengan hujan yang bakal tiba. Tiada pemandangan indah puncak yang dapat kami saksikan kerana kabus tebal menyelimuti pandangan. Kedinginan cepat membaluti tubuh kami yang kuyup dengan keringat setelah lelah menjejaki laluan.

kehijauan-yang-menenangkan1

Segelintir rakan-rakan mendaki batu besar untuk meninjau-ninjau kawasan sekeliling. Manakala sebahagiannya pula berkongsi makanan dan minuman yang amat diperlukan untuk mengembalikan kesegaran dan kekuatan. Kami turut mengambil gambar kumpulan sebagai kenangan. Sejurus kemudian angin kencang bertemankan simbahan hujan memaksa kami bergegas meninggalkan kawasan puncak.

Trek yang kami tempuhi sebelumnya yang agak lembap dan licin kini bermandikan air hujan yang turun tanpa henti. Laluan yang curam kini menjadi air terjun yang rona alirannya persis teh tarik. Namun di sebalik air yang mengalir deras dengan permukaan bumi yang serba licin, perjalanan ini kami teruskan. Badan pula menggigil kesejukan dek kuyup air hujan dan keringat yang mencurah turun.

Kami terus menuruni cerun persis airterjun itu dengan lopak-lopak yang digenangi air hujan. Agak lama juga kami berjalan bertemankan hujan yang mencurah turun sebelum simbahan dari langit itu reda juga akhirnya. Kami kembali menghadapi pelbagai halangan termasuk balak tumbang. Ada ketikanya, kami terduduk keletihan di atas trek yag sesetengahnya tak ubah seperti selut di sawah. Segala-galanya benar-benar menguji kesabaran.

Masa terus berlalu dan hari yang remang-remang itu akhirnya menjadi gelap. Siang kini bertukar ke malam. Hanya lampu suluh di kepala menerangi laluan yang kami turuni. Biarpun betapa sukarnya menuruni laluan di malam hari, dengan tempat berpijak yang basah dan licin, perjalanan ini harus ditamatkan jua. Kami terus berjalan dengan hati-hati. Berhati-hati mengatur langkah yang kini semakin longlai setelah berjalan turun naik laluan sejak dari pagi yang seolah-olah tiada penghujungnya.

Tatkala waktu menghampiri pukul lapan malam, kesukaran dan kepenatan akhirnya terbalas juga. Hati melonjak keriangan setelah cahaya lampu di kepala yang menerangi laluan menampakkan anak-anak tangga konkrit yang kemudiannya membawa kami ke jambatan gantung. Beberapa minit kemudian, kami tiba di pejabat Hutan Lipur Gunung Belumut. Tamat sudah perjalanan panjang yang adakalanya benar-benar menggugat kesabaran.

Kami seterusnya meninggalkan hutan lipur itu penuh kenangan dengan kepenatan tetapi berbekalkan pengalaman yang mengujakan. Siapa tahu satu hari nanti kami akan kembali lagi. Kembali untuk menjejaki laluan Gunung Belumut yang beransur kami tinggalkan dalam kegelapan malam yang hening dan dingin.

1 Comment

  1. Qiwen said,

    November 16, 2009 at 3:22 am

    Boleh tanya macam mana nak dapat permit untuk mendaki Gunung Belumut? Panggil Pejabat Hutan Daerah tadi, dapat tahu Gunung sekarang tutup untuk pendaki.
    Berapa nak bayar untuk permit? Kena ada guide?
    Terima Kasih


Leave a comment