GUNUNG BELUMUT (1,010 METER)

puncak-belumut11

Junko Tabei, seorang pendaki warga Jepun, pengsan dalam satu kejadian runtuhan salji pada paras 6,300 meter di pergunungan Himalaya. Beliau, termasuk pendaki dan jurupandu jalan, berjaya diselamatkan oleh beberapa Sherpa yang turut bersama grup ekspedisi tersebut. Apa yang mengagumkan, walaupun dibelenggu kemalangan yang hampir-hampir meragut nyawanya, Junko Tabei menjadi pendaki wanita pertama dunia tiba di puncak Everest (8,850 meter). Beliau berjaya menjejakkan kaki di puncak tertinggi dunia itu pada 16 Mei 1975.

Puncak-puncak gunung di Malaysia mungkin tidak sehebat maupun setinggi di Banjaran Himalaya, iaitu bumbung dunia. Namun, dengan kehijauan hutan hujan tropika yang membalutinya, ia tetap menjadi inspirasi kepada penggiat aktiviti mendaki gunung dan menjelajah belantara. Belantara yang kini tinggal tidak sampai 50% yang menghijaui kawasan daratan Malaysia.

Saya berkesempatan untuk mendaki Gunung Belumut di Johor baru-baru ini bersama-sama dengan 13 pendaki lain. Pengalaman mendaki di kawasan tersebut, walaupun bukan buat pertama kali untuk diri saya tetap mengujakan dan menyeronokkan. Berikut adalah pengalaman kami menjejaki laluan puncak gunung di negeri paling selatan semenanjung, iaitu Johor.

Hutan Lipur Gunung Belumut agak hening di pagi yang redup dan dingin itu. Hanya kami yang seramai 14 orang berada di situ. Agak riuh rendah belantara itu dengan gurau senda dan gelak ketawa sambil kami menikmati sarapan nasi lemak dengan minuman kopi susu panas.

Seekor cicak yang saya rasakan masih di peringkat juvana tiba-tiba melintas. Saya, tanpa membuang masa, terus merakamkan fauna dengan warna menarik itu kerana belum pernah melihat sebarang spesis reptilia yang seumpamanya. Kami kemudiannya menggalas pek kecil yang berisikan sedikit makanan dan minuman. Dengan lafaz Bismillah, kami mula mengatur langkah pada pukul 8.40 pagi.

Kami perlahan-lahan melewati trek konkrit yang dibina bagi pengunjung-pengunjung menjelajahi sekitar kawasan Hutan Lipur Gunung Belumut. Beberapa minit berikutnya, kami meniti kepingan-kepingan kayu beluti yang membentuk sebuah jambatan gantung. Di bawahnya mengalir jeram yang mengalir perlahan, dingin dan cetek. Satu pemandangan yang sering dinanti-nantikan oleh penjelajah hutan seperti kami.

Kami seterusnya mendaki anak-anak tangga yang juga diperbuat daripada konkrit. Laluan itu kemudiannya bersambung kepada denai hutan yang agak lecak dan licin. Terdapat juga paip PVC (poly-vinyl-chloride) yang dipasang di pinggir denai yang kami tempuhi bagi menyalirkan air bersih ke bangunan-bangunan di kawasan hutan lipur seperti seperti surau, bilik air dan pejabat. PVC merupakan polimer termoplastik yang digunakan secara meluas dalam industri kimia.

Kecuraman trek meningkat perlahan-lahan. Gelak-ketawa dan senda gurau yang jelas kedengaran sebelum ini yang menghiasi perjalanan bertukar kepada dengusan nafas yang kepenatan dek menongkah bukit mencanak dan licin. Tubuh yang di sebelah awalnya kedinginan kini kepanasan dengan keringat yang mencurah-curah. Kira-kira sejam selepas memulakan pengembaraan, kami tiba di satu kawasan yang agak lapang yang dikenali dengan Batu Mahkota.

batu-mahkota1

Batu Mahkota merupakan satu formasi batuan semulajadi yang unik. Ketika melihatnya buat kali pertama beberapa tahun yang lampau, saya menyangka bahawa struktur batuan tersebut terbina daripada beberapa bongkah yang membentuk satu formasi yang kelihatan luar biasa. Namun sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya ia terbentuk hanya daripada sebongkah batu besar yang rata di bahagian atasnya.

Kami berhenti seketika di situ untuk berihat dan meneguk minuman penghilang dahaga. Langkah kami kemudiannya diteruskan. Masih jauh lagi matlamat yag harus dituju. Masih banyak lagi halangan yang harus ditempuh melalui belantara purba serba hijau yang menyimpan seribu satu rahsia dan misteri yang masih menjadi perbualan dan kajian pakar-pakar sains di serata dunia.

Pohon-pohon palma seperti bertam (Eugeissona brachystachys) turut menyuburi kiri kanan laluan yang kami jejaki. Bertam merupakan antara flora yang banyak memberikan masalah kepada pendaki yang kurang berhati-hati. Bukan sedikit yang tercedera tercucuk durinya yang mudah patah tatkala berpaut pada pelepah dan batangnya ketika mengharungi kawasan hutan yang berbukit-bukau. Buahnya kelihatan seperti buah salak, salah satu fauna yang dikategorikan di bawah famili Palmae.

buah-bertam1

Kami terus berjalan menempuhi laluan yang kadang-kalanya dipenuhi halangan-halangan tipikal hutan hujan tropika seperti balak tumbang dan batu-batan yang berlumut. Kami turut menempuhi kawasan yang terhakis teruk yang menampakkan permukaan tanahnya yang kuning-merah. Hanya akar-akar pokok yang tersembul menjadi tempat kami berpaut dan berpijak. Namun kesukaran seperti ini mengujakan walaupun ianya begitu memenatkan dan menguji mental serta fizikal.

Keadaan flora turut berubah dengan meningkatnya ketinggian kawasan tanah tinggi yang kami tempuhi. Kepelbagaian biologi menyusut dengan jumlah spesis tumbuhan yang tidak seberapa. Kami turut berhadapan dengan tebing berbatu dengan lurah-lurah cetek yang digenangi air. Batang pokok-pokok kayu berketinggian sederhana dan kecil menjadi tempat kami berpaut melalui trek yang licin, curam dan meletihkan.

Langkah kami kemudiannya terhenti di satu kawasan lapang yang berhampirannya terdapat punca air. Tempat ini mengingatkan saya tentang peristiwa pendakian silam. Seorang rakan pendaki ketika itu, iaitu Aznal, sempat memasak nasi dengan lauk sambal bilis petai. Kami yang seramai lima orang ketika itu menikmati hidangan istimewa yang terhidang di depan mata dengan penuh lahap. Kesedapannya hingga menjilat jari!

Kami meneruskan perjalanan tanpa berhenti lama di situ. Di sebalik rimbunan pepohon menghijau, saya perhatikan cuaca yang cerah tatkala kami mula mengorak langkah beberapa jam yang lalu kini berubah wajah. Yang kelihatan hanyalah langit kelam macam mengundang hujan. Kami mempercepatkan langkah kerana hati tidak sabar-sabar lagi untuk menjejakkan kaki ke puncak.

Pokok-pokok ala bonsai dengan juntaian lumut hijau pucat dan kuning mendominasi laluan. Flora periok kera seperti Nepenthes ampularia mudah kelihatan tumbuh di permukaan tanah yang sentiasa tinggi dengan kelembapan. Kami terus menyusuri laluan yang sepi dan akhirnya tiba di puncak Gunung Belumut pada pukul 2.00 petang.

Hanya kami yang seramai 14 pendaki berada di puncak berketinggian 1,010 meter itu. Keadaan sekeliling agak berangin dengan awan hitam berarak pantas, awan hitam yang sinonim dengan hujan yang bakal tiba. Tiada pemandangan indah puncak yang dapat kami saksikan kerana kabus tebal menyelimuti pandangan. Kedinginan cepat membaluti tubuh kami yang kuyup dengan keringat setelah lelah menjejaki laluan.

kehijauan-yang-menenangkan1

Segelintir rakan-rakan mendaki batu besar untuk meninjau-ninjau kawasan sekeliling. Manakala sebahagiannya pula berkongsi makanan dan minuman yang amat diperlukan untuk mengembalikan kesegaran dan kekuatan. Kami turut mengambil gambar kumpulan sebagai kenangan. Sejurus kemudian angin kencang bertemankan simbahan hujan memaksa kami bergegas meninggalkan kawasan puncak.

Trek yang kami tempuhi sebelumnya yang agak lembap dan licin kini bermandikan air hujan yang turun tanpa henti. Laluan yang curam kini menjadi air terjun yang rona alirannya persis teh tarik. Namun di sebalik air yang mengalir deras dengan permukaan bumi yang serba licin, perjalanan ini kami teruskan. Badan pula menggigil kesejukan dek kuyup air hujan dan keringat yang mencurah turun.

Kami terus menuruni cerun persis airterjun itu dengan lopak-lopak yang digenangi air hujan. Agak lama juga kami berjalan bertemankan hujan yang mencurah turun sebelum simbahan dari langit itu reda juga akhirnya. Kami kembali menghadapi pelbagai halangan termasuk balak tumbang. Ada ketikanya, kami terduduk keletihan di atas trek yag sesetengahnya tak ubah seperti selut di sawah. Segala-galanya benar-benar menguji kesabaran.

Masa terus berlalu dan hari yang remang-remang itu akhirnya menjadi gelap. Siang kini bertukar ke malam. Hanya lampu suluh di kepala menerangi laluan yang kami turuni. Biarpun betapa sukarnya menuruni laluan di malam hari, dengan tempat berpijak yang basah dan licin, perjalanan ini harus ditamatkan jua. Kami terus berjalan dengan hati-hati. Berhati-hati mengatur langkah yang kini semakin longlai setelah berjalan turun naik laluan sejak dari pagi yang seolah-olah tiada penghujungnya.

Tatkala waktu menghampiri pukul lapan malam, kesukaran dan kepenatan akhirnya terbalas juga. Hati melonjak keriangan setelah cahaya lampu di kepala yang menerangi laluan menampakkan anak-anak tangga konkrit yang kemudiannya membawa kami ke jambatan gantung. Beberapa minit kemudian, kami tiba di pejabat Hutan Lipur Gunung Belumut. Tamat sudah perjalanan panjang yang adakalanya benar-benar menggugat kesabaran.

Kami seterusnya meninggalkan hutan lipur itu penuh kenangan dengan kepenatan tetapi berbekalkan pengalaman yang mengujakan. Siapa tahu satu hari nanti kami akan kembali lagi. Kembali untuk menjejaki laluan Gunung Belumut yang beransur kami tinggalkan dalam kegelapan malam yang hening dan dingin.

GUNUNG CHABANG ~ KOSMO 15 Nov 2008

puncak-gunung-chabang21

“Renung ke alam semula jadi, dan anda akan faham segala-galanya lebih baik.” Begitulah kata-kata Albert Einstein, seorang saintis fizik tersohor yang terkenal dengan Teori Relativitinya. Memang ada kebenarannya kata-kata beliau itu. Dek kekaguman terhadap alam semula jadilah yang mendorong saya dan rakan-rakan bersusah-payah meredah hutan untuk menjejakkan kaki ke puncak yang sering menjadi buruan.

Hari Pertama: Cuaca di pagi hari itu begitu indah, tenang dan nyaman. Angin dingin tanah tinggi pula menghembus perlahan. Kedinginan dan kesegaran itu menjadi pemangkin untuk menempuh halangan menjejaki laluan ke puncak Gunung Chabang, antara puncak yang sering menggamit kunjungan insan seperti mana kami yang bergelar pendaki.

Pengembaraan kami bermula dari perkampungan Orang Asli Pos Selim, salah satu daripada beberapa penempatan masyarakat asal yang mendiami kawasan berhampiran jalanraya yang menghubungkan Simpang Pulai di sebelah Perak dengan Cameron Highlands di sebelah Pahang.

kg-org-asli-pos-selim

Ramai penduduk Pos Selim memerhatikan sahaja tatkala kami berjalan perlahan di celah-celah rumah mereka. Tak kurang juga yang bertanyakan khabar manakala kanak-kanak pula tersenyum riang sambil melambaikan-lambaikan tangan. Laluan itu akhirnya membawa kami menuruni cerun curam di mana sebatang anak sungai yang mengalir dingin dan jernih sedia menanti.

Kami meniti dengan hati-hati batu-batu sungai ke seberang. Trek berikutnya yang kami tempuhi begitu curam dengan kiri kanannya sarat dengan rumpun buluh yang menghijau yang menyaringi erat terik panas mentari. Pokok-pokok palma seakan salak turut menyuburi laluan yang permukaan tanahnya dilapisi daun buluh kering. Kami menempuhi trek curam tersebut penuh kepenatan dengan nafas yang tersekat-sekat dengan keringat yang membasahi badan.

Laluan curam itu berterusan kami daki dengan belukar resam pula yang mendominasi. Turut tumbuh subur adalah pokok-pokok kayu bersaiz kecil dan sederhana. Di sesetengah tempat pula tanahnya terhakis teruk dengan jurang yang agak dalam. Satu fenomena hakisan yang sering dikaitkan dengan aktiviti manusia terutamanya pembalakan yang kini mengancam ekosistem hutan purba di segenap pelosok dunia.

menuruni-tebing-curam

Kira-kira dua jam selepas memulakan perjalanan, kami mula menuruni denai yang akhirnya terhenti di sebatang jeram yang mengalir deras, dingin dan sepelusid kristal. Kami menyeberangi jeram cetek dengan alirannya yang deras itu dengan meniti batu-batu pelbagai bentuk dan saiz.

Deruan airnya begitu menenangkan fikiran dan menyejukkan pandangan. Kami yang keletihan duduk berihat berlapikkan batu-batu sungai kering. Hati melonjak-lonjak ingin menikmati alirannya namun masa tidak menyebelahi kami kerana masih jauh lagi perjalanan yang harus ditempuh. Minuman turut diteguk sambil mulut mengunyah perlahan makanan ringan. Agak lama juga kami berkeadaan demikian demi menjana kembali tenaga yang tercurah tatkala menempuh haluan yang memenatkan.

air-terjun-kecil

Kami kemudiannya beransur-ansur meninggalkan kawasan lembap itu dengan meniti batu-batu sebelum menempuh kembali denai hutan. Berikutnya, kami kembali menyeberang aliran jeram yang turut dilatari indah air terjun comel yang mempersonakan. Seterusnya, kami mendaki melalui akar dan batu yang tersembul dari permukaan tanah. Kecuraman trek pada tahap ini tidak kurang hebatnya sehinggakan ada ketikanya kami tertanya-tanya samada mampukah impian menggapai puncak Gunung Cabang mampu jadi kenyataan.

Namun, walau bagaimana sukar sekali pun, kami tetap menyusun langkah demi langkah melalui trek curam serta licin yang benar-benar menguji kesabaran. Tubuh tidak pernah lekang dari keringat sambil menggalas pek besar yang agak berat. Berjam lamanya kami menempuh haluan sebelum langkah kami terhenti di satu kawasan yang sedikit rata. Tempat tersebut merupakan punca air terakhir sebelum meneruskan saki-baki perjalanan ke puncak Gunung Cabang.

Kami berjalan kira-kira lima minit untuk sampai di kawasan yang airnya mengalir perlahan. Kami memenuhkan bekas-bekas yang kering kontang sebelum berjalan keluar ke pek galas yang terdampar di atas tanah. Kami seterusnya duduk berihat sambil meneguk sedikit minuman. Seekor lebah yang terbang dari kuntuman-kuntuman bunga warna ungu pucat menarik perhatian saya yang tersandar kemengahan.

moluska

Serangga kecil itu dikenali ramai kerana madunya yang mempunyai nilai pemakanan tinggi yang dihargai sejak zaman berzaman. Lazimnya, dua spesis lebah ditemui di belantara Negara ini iaitu Apis cerana dan Apis dorsata. Apis dorsata yang bersaiz besar dikenali umum sebagai lebah tualang. Manakala Apis cerana pula boleh diternak untuk pengeluaran madu secara komersil. Namun, penghasilan madunya yang agak rendah mendorong pengusaha mengimport spesis dari luar Negara seperti Apis mellifera yang terkenal dengan produk madunya yang melimpah ruah.

Berikutnya, kami meneruskan perjalanan menempuhi kawasan yang agak semak bertemankan rintik-rintik halus hujan yang mula membasahi bumi. Hujan kemudiannya turun mencurah dan tak sampai beberapa minit tubuh kami yang dibasahi keringat kini lencun pula dengan air hujan. Keadaan menjadi lebih sukar dek keletihan dan kesejukan ditambah pula dengan profil muka buminya yang tetap curam dan licin.

Pada pukul 5.00 petang, tatkala kami tiba di kawasan yang agak terdedah dan subur dengan pokok-pokok kecil, hujan beransur reda. Tumbuhan parasitik periok kera (Nepenthes spp.) dengan pelbagai bentuk, warna dan saiz turut mendominasi kawasan tanah tinggi itu. Begitu juga dengan orkid liar dengan tangkai bunga yang berjuntaian turut mencuri perhatian.

Pemandangan dari kawasan itu begitu mengujakan dan mempersonakan. Banjaran gunung yang membiru dengan kepulan awan tebal. Kabus pula berarak perlahan yang adakalanya mengaburi pandangan diikuti tiupan angin lembut yang menggigilkan badan. Puas rasanya menatap panorama indah ciptaan Tuhan setelah menempuh pahit-maung dan suka-duka menempuhi laluan.

Turut tersergam di depan mata adalah bukit yang menjadi halangan terakhir sebelum tiba di tapak perkhemahan. Kami perlahan-lahan mendaki bukit itu dan selang 40 minit kemudian, kami mula berjalan di atas permatang dengan keindahan panorama tanah tingginya yang tidak kurang hebat keindahannya. Kini, tibalah masanya untuk berhenti sementara menunggu hari esok. Perjalanan ini akan kami teruskan sehinggalah ke puncak yang dianggarkan mengambil masa-masa kira-kira setengah jam dari tempat kami berkhemah.

panorama-indah

Hari Kedua: Kami meninggalkan tapak perkhemahan selepas bersarapan. Perjalanan hari ini lebih mudah dengan laluan yang tidak terlalu curam. Tumbuhan Sphagnum spp. dengan rona-rona hijau pucat dan kekuningan menyelimuti apa sahaja permukaan, baik batu-batan maupun tumbuhan. Kira-kira pada pukul 9.30 pagi, kami selamat tiba di puncak Gunung Cabang dengan beirut usangnya masih tegak berdiri.

Pepohon sederhana tinggi yang tumbuh subur menghalang kami daripada menikmati pemandangan dari puncak. Kami tidak mengambil masa yang lama untuk melepak di situ sebaliknya berpatah balik ke tapak perkhemahan selepas bergambar kenangan. Perjalanan singkat turun naik laluan itu akhirnya membawa kami kembali ke tapak perkhemahan. Tanpa membuang masa kami mengemaskan peralatan dan sampah sarap sebelum memulakan perjalanan turun kira-kira pada pukul 12.30 tengahari.

Perjalanan turun mungkin tidak memenatkan berbanding ketika mendaki semalam tetapi kesukaran menempuh haluan tetap kami rasakan. Laluan yang dibasahi hujan lebat semalam menjadikan pergerakan turun sukar dek licin. Ada juga di antara kami yang tangkap biawak, terjatuh terlentang kerana gagal mengawal kesimbangan menuruni laluan yang adakalanya licin seperti sabun.

Satu demi satu halangan kami tempuhi dan adakalanya kami berhenti seketika untuk menikmati minuman pembasah tekak dan mengunyah makanan ringan. Sendi-sendi lutut terasa begitu lenguh, terpaksa menahan bebanan badan dan beg yang sentiasa digalas menuruni cerun curam. Walaupun begitu kami agak beruntung kerana tiada tanda-tanda hujan akan turun. Berdasarkan pengalaman, perjalanan turun akan bertambah sukar sekiranya hujan mencurah turun yang merobah trek jadi air terjun.

Kira-kira pada pukul 5.00 petang, kami mula melewati perkampungan Orang Asli Pos Selim. Sebagaiamana semalam, keadaan penempatan itu sibuk dengan pelbagai telatah tua dan muda. Kanak-kanak pula menadah tangan, sekadar mengharapkan ole-ole seperti gula-gula atau biskut daripada kami. Tetapi tidak ada apa lagi yang dapat kami berikan setelah kesemua makanan habis digunakan dalam perjalanan. Apa yang mampu kami lakukan hanya sekadar melemparkan senyuman persahabatan.

Beberapa minit kemudian, kami tiba di kenderaan yang pakir berhampiran jalanraya Simpang Pulai-Cameron Highland. Kepuasan begitu dirasakan setelah dua hari menerokai belantara tanah tinggi. Selamat tinggal tanah tinggi Cameron buat kali ini dan mungkin di lain masa kami akan datang lagi. Kemudiannya kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur setelah menikmati hidangan panas di Simpang Pulai.

Ulu Semangkok ~ KOSMO 20 Okt 2007

Louis James Fraser adalah seorang pengembara dari Scotland yang mengusahakan bisnes perlombongan bijih timah di Malaya seawal 1890-an. Beliau juga dikatakan telah membina laluan kuda dari Gap ke Bukit Frazer untuk mengembangkan perniagaan bijih timahnya. Kehilangannya pada awal 1900 diselubungi misteri sebagaimana latar belakang kehidupannya yang sedikit diketahui khalayak.. Walaupun beliau hilang entah ke mana namun namanya telah diabadikan pada sebuah stesen bukit. Bukit Fraser, begitulah nama stesen bukit yang dikenali hingga kini.

Kami menempuhi perjalanan melalui jalanraya bengkang-bengkok seperti ular kena palu ke Gap. Jalanraya yang menghubungkannya dengan Bukit Fraser digunakan sejak 13 Disember 1921. Namun kini, jalanraya baru telah dibina untuk kenderaan naik ke tempat peranginan tanah tinggi itu dan mula digunakan sejak setahun yang lalu. Manakala yang lama hanya digunakan untuk kenderaan turun. Bukit Fraser juga merupakan salah satu dari tiga stesen bukit yang diteroka ketika kerajaan British menjajahi Negara ini di samping Bukit Larut yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Maxwell.

Kami tiba di Gap yang terletak kira-kira 100 kilometer dari kotaraya Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 2.30 pagi. Pagi itu begitu hening dengan bintang-bintang mengerdipan berlatar-belakangkan langit hitam pekat. Angin sepoi-sepoi bertiup dengan kedinginan udara tanah tinggi menggigit kebas tubuh kami yang keletihan. Hanya bunyi riang-riang dan cengkerik menjadi melodi memecah ketenangan malam yang sepi itu.

Cuaca cerah meriah dengan langit biru menyambut kami di pagi hari yang baru. Keadaan sekeliling masih tenang, berkabus dan sejuk seperti mana kami sampai dalam kegelapan awal pagi. Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang melalui jalanrayanya yang menghubungkan Kuala Kubu Baru di sebelah Selangor dengan Raub di sebelah Pahang. Udara paginya dirasakan begitu dingin dan menyegarkan, sesuatu yang tidak mungkin dinikmati di kotaraya yang penuh noda stres dan pencemaran.

Kelihatan Rumah Rehat Gap yang pada satu masa dahulu tidak menang tangan menerima tetamu kini amat kurang dikunjungi. Bangunan dengan senibina Inggeris yang bercat putih dan hitam dengan landskap terjaga rapi itu dibina melebihi sekurun yang lampau. Kedai makan usang yang dibina dari papan juga lengang dari sebarang pelanggan. Berapa lama lagi mereka dapat bertahan. Bangunan kayu tanpa dinding juga turut kelihatan masih berdiri teguh walaupun usang dimamah usia.

Kami hanya menjamah sedikit makanan dan meneguk sedikit minuman sebelum mula mengatur langkah pada pukul 8.00 pagi. Kami kemudiannya menyimpang ke arah tebing bukit yang menghijau dengan resam. Kami mendaki tebing bukit yang sangat curam dan licin itu. Denai hutannya pula subur dengan rumpun-rumpun buluh yang masih basah dengan titisan embun.

Sukar menyusun langkah melalui trek yang subur dengan rumpun-rumpun buluh itu. Batang-batang matinya yang tumbang jadi penghalang manakala daun-daun keringnya yang berguguran menjadikan trek licin dan sukar dijadikan tempat berpijak ketika mendaki dan menuruni cerun curam. Tetapi flora dari famili Graminae dan sub-famili Bambusoidea ini dikenali sains sebagai tumbuhan yang mempunyai kadar pertumbuhan paling pantas di dunia. Sesetengah spesis mampu menokok pada ketinggian empat kaki sehari!

Buluh juga mewarnai kehidupan masyarakat pelbagai bangsa di dunia ini. Masyarakat Orang Asli menggunakannya sebagai sumpitan, bahan penting dalam pembuatan rumah dan rakit untuk berlayar di sungai. Di kalangan masyarakat Cina purba pula, buluh digunakan dalam pembuatan kertas. Sementara itu, di tangan tukang-tukang Jepun yang mahir, buluh masih digunakan untuk membuat kipas, seruling dan lain-lain kraftangan berseni tinggi. Selain dari itu, penduduk miskin terutamanya yang tinggal di selatan kepulauan Mindanao di Filipina, menggunakan batang-batang buluh untuk membina rumah kediaman. Rebung, iaitu pucuk buluh, dihargai sebagai hidangan lazat samada dijeruk atau dimakan segar.

Kami terus mendaki trek curam itu tanpa henti dan tiba di puncak Gap kira-kira 45 minit kemudian. Kami terduduk keletihan dengan berlencunkan peluh. Terdapat beirut dengan struktur konkrit berketinggian kira-kira tiga kaki terbina di tengah-tengahnya. Kawasan itu lapang tetapi agak sukar menikmati pemandangan sekitar dek pepohon menyuburi dan memagari sekeliling. Kami menjamah sedikit makanan dan menogok minuman sambil duduk melepak di persekitaran penuh keheningan yang jauh dari sebarang ketegangan.

Kira-kira pada pukul 9.15 pagi, kami menyambung perjalanan setelah kemengahan berganti keafiatan dan setelah mengambil gambar kenangan. Kami menuruni dan mendaki trek yang agak curam. Kadangkala, keheningan alam yang indah dan penuh kehijauan itu dihiasi dengan bunyi siamang yang bersahut-sahutan. Bunga pelbagai saiz dan rupabentuk, dengan rona-rona kuning, putih dan merah turut memberi kesegaran kepada laluan yang kami lewati. Dunia indah yang jauh dari hiruk pikuk hutan batu yang cukup memberikan ketenangan kepada sesiapa yang tidak jemu-jemu menjelajahi denainya.

Kami terus berjalan bermandikan keringat sebelum terhenti di dahan tumbang yang telah lama mereput. Seekor arthropod, Platyrachus sp., merupakan antara ribuan penghuni belantara yang sering kelihatan merayap perlahan di atas permukaan daun kering berhampiran tempat kami duduk berihat. Fauna herbivor itu mendapat nutrien daripada tumbuhan samada di lantai atau di dalam tanah hutan. Ulat gonggok juga mendapat nutrien daripada sumber yang sama.

Kami kemudiannya menyambung perjalanan menempuhi trek yang agak kering yang diselimuti daun-daun yang jatuh berguguran. Bunga-bunga berwarna putih juga turut kelihatan di samping kulat pelbagai warna yang penting sebagai agen pereputan dan pengitaran semula nutrien. Tiada definisi pembaziran di satu ekosistem yang sentiasa ujud dalam keseimbangan. Yang mati dan mereput akan dikitar-semula bagi menjamin kesinambungan kepada alam maya unik ciptaan Tuhan. Alam yang banyak memberikan manfaat tanpa jemu kepada manusia yang menghuninya sejak zaman berzaman.

Kami seterusnya menuruni cerun curam sebelum mendaki bukit yang mencanak. Selama 10 minit berikutnya, kami berhempas pulas melepasi halangan tersebut sebelum beirut penanda puncak tersergam di depan mata. Kira-kira tiga jam selepas meninggalkan kenderaan yang pakir di kaki lima jalan berhampiran Rumah Rehat Gap, kami selamat tiba di puncak Gunung Ulu Semangkok.

Puncak berketinggian 4,600 kaki itu sepi. Sesepi laluan yang kami daki sejak dari pagi tanpa bertemu mana-mana pendaki. Mungkin kami berenam sahaja yang menempuhi trek hingga kemuncaknya. Mungkin juga kami tidak bertemu mana-mana insan tatkala menamatkan pengembaraan ini kelak. Keheningannya ditambah dengan kabus tebal mengebari sudut pandangan. Pepohon sederhana tinggi memagari kawasan puncak yang turut disuburi semak paku-pakis seperti Matonia pectinata. Rama-rama pelbagai warna cerah turut terbang riang mewarnai dunia penuh ceria yang tercipta untuk kita semua.

Kami duduk berbual sambil juadah yang dibawa dinikmati bersama. Roti dengan tuna dan kepingan keju, buahan dan coklat dimakan penuh selera. Air mineral dan air tairu perisa mangga turut dijamu bagi pendaki yang dibelenggu keletihan, kelaparan dan kehausan. Bergambar kenangan tidak pernah kami abaikan. Cuaca pula berubah-ubah berkabus penuh kedinginan berselang-seli dengan kepanasan sang suria yang sekejap-sekejap menjelmakan diri dari celah-celah awan. Setelah agak lama berada di puncak, kami beransur-ansur meninggalkan kawasan berbeirut itu pada kira-kira pukul 12.00 tengahari.

Kami tempuhi kembali trek yang turun naik yang bertandakan pancang besi paip berisi simen. Pancang dicat merah yang terbit kira-kira lapan inci dari permukaan tanah itu merupakan sempadan dua negeri, iaitu Pahang dan Selangor. Kami melewatinya kembali dengan langkah perlahan tanpa henti. Kami kemudiannya berhenti di pertengahan jalan bagi mengembalikan kecergasan yang menyusut dek berjalan berjam lamanya di bawah naungan pepohon berkayu yang ujud sejak ratusan tahun.

Kami turut mengintai di celah-celah pepohon berkayu yang menyuburi tebing tinggi. Keindahan tanah-tinggi Banjaran Titiwangsa dapat kami nikmati. Tebing curam banjaran yang menghijau itu turut ditumbuhi pokok paku pakis, Cyathea sp. Pokok yang kelihatan seperti palma itu berketinggian antara satu hingga lima meter. Manakala spesis tertinggi di dunia, yang mampu tumbuh setinggi 20 meter, hidup secara semulajadi di kepulauan Norfolk dan New Zealand. Terdapat kira-kira 470 spesis Cyathea di seluruh dunia manakala tidak kurang daripada 10 spesis ujud di Negara ini.

Sekeping papan tanda aluminum yang tergantung pada sebatang pokok turut kami temui. Papan tanda itu mungkin peninggalan British yang sering membuat kerja-kerja pemetaan di seluruh Negara. Masih terdapat sisa-sisa cat merah dengan tulisan “Ulu Tranum Forest Reserve” tertera di atasnya. Ia juga diterjemah dalam karakter Cina dan Jawi. Kami seterusnya mendaki semula ke puncak Gap dan berhenti rihat di situ sebelum meneruskan perjalanan turun melalui trek yang agak curam.

Kami berjalan tanpa henti dari tahap ini. Trek curam dan licin itu kami turuni dengan hati-hati. Sesekali kesepian hutan yang kami lewati dibingitkan bunyi burung enggang yang terbang tinggi. Enggang, spesis yang dikenali pengembara hutan dan endemik kepada kawasan Asia Tenggara sebagai antara avian paling besar dan mengeluarkan bunyi paling bising. Terdapat beberapa spesis enggang yang hidup bebas dalam hutan Negara ini.

Burung enggang merupakan fauna yang hidup berpasangan. Mereka mempunyai karakter yang menarik di mana yang betina akan bertelur dan mengeram di dalam sarang pada lubang-lubang kayu. Yang jantan kemudiannya akan menutup lubang itu dengan tanah liat sambil meninggalkan sedikit bukaan bagi memberi makan pasangannya. Enggang betina akan tinggal di dalam lubang itu di sepanjang masa sehinggalah anak-anaknya agak besar dan memerlukan makanan yang banyak. Barulah si-ibu memecah keluar dari sarang yang didiaminya sejak sekian lama.

Kira-kira pada pukul 2.30 petang, kami tiba di Rumah Rehat Gap. Pengembaraan yang bermula dari awal pagi kini tiba di penghujungnya. Sekiranya kami disambut di awal paginya dengan cuaca cerah, kini di sebelah petangnya pula, langit mendung dengan angin bertiup kencang jadi pengganti. Kami kemudiannya cepat-cepat meninggalkan kawasan itu bagi mengelakkan ditimpa hujan yang mungkin turun bila-bila masa. Hujan yang tetap akan turun bagi menyambung kehidupan di alam yang serba indah ini.

Datuk ~ KOSMO 08 Mei 2006

Kotaraya Kuala Lumpur masih lagi sibuk walaupun malam telah lama berlabuh. Jalanraya sesak dengan pelbagai kenderaan bermotor. Masing-masing sibuk menuju destinasi. Kami bergerak perlahan meninggalkan kotaraya dan menyusuri lebuhraya Utara-Selatan. Jam menunjukkan ke pukul 9.30 malam.

Kenderaan kami yang berkonvoi dengan tiga buah kereta meluncur laju dengan halaju maksima 110 km sejam menempuhi lebuhraya utama Semenanjung. Hampir satu setengah jam kemudian, kami meluncur keluar dari lebuhraya ke destinasi berikutnya, iaitu daerah Rembau di Negeri Sembilan.

Pukul 11.00 malam, ketiga-tiga kereta yang berkonvoi, berhenti dan pakir di hutan rekreasi Gunung Datok. Hairan juga kami, walaupun hari telah larut malam, kawasan tersebut terang benderang seperti di siang hari. Puluhan pengunjung masih berkumpul di sebelah situ di bawah simbahan cahaya kekuningan neon.

Sekumpulan remaja sedang tekun mendengar taklimat. Kami seterusnya mengemaskan peralatan dan bersiap-siap untuk menghadapi cabaran mendaki waktu malam yang sudah tentu menjanjikan kelainan. Tepat pukul 11.20 malam, ketika sesi taklimat kumpulan remaja tersebut masih berjalan, kami memulakan pendakian.

Kami meniti batu-batu jeram yang menjadi tumpuan pengunjung ketika hari cuti. Tempat itu agak terkenal juga, hanya 21 km dari pekan Tampin dan 15 km dari pekan Rembau. Saya juga mengisi bekas air sebelum meneruskan pendakian. Kami seterusnya menyusuri denai hutan dalam kegelapan malam.

Hanya lampu suluh di kepala menyinari denai hutan yang ditempuh. Bunyi riang-riang dan cengkerik memecah keheningan malam. Sudah sekian lama saya tidak menjejaki denai hutan di malam hari. Pada satu masa dahulu, ia pernah menjadi amalan saya dan rakan-rakan.

Mendaki gunung pada waktu malam memang tidak lari dari sebarang risiko. Pernah di satu malam yang sunyi sepi, ketika saya mengetuai sekumpulan tujuh pendaki, nyaris-nyaris saya dipatuk ular kapak. Insiden tersebut berlaku ketika kami sama-sama mendaki Gunung Ledang melalui laluan di sebelah Asahan, di Melaka.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti pendakian, ia mungkin boleh membantu. Fobia dan ketegangan perasaan oleh cerun curam dan bukit mencanak mungkin hilang kerana pandangan mata yang terbatas di malam hari. Mereka hanya sedar mengenainya apabila malam bertukar ke siang.

Entah di mana silapnya, Rosli, yang mengetuai kumpulan kami tiba-tiba terhenti. Perjalanan kami tersekat oleh bongkah batu besar. Rupa-rupanya, setelah kami mengamati keadaan sekeliling, kami telah tersasar dari arah sebenar. Nasib baik kami tidak berada terlalu jauh dari trek yang betul.

Gunung Datok mungkin tidak dianggap sukar terutamanya oleh pendaki-pendaki tegar. Walaupun telah mendaki kesemua gunung-gunung dalam kumpulan G-7 dan Gunung Tahan, saya masih bertanggapan bahawa kesukarannya masih boleh dirasa tatkala mendaki pada malam hari dengan menggalas pek berat mencecah 15 kg.

Kami kemudiannya menempuh kawasan yang agak lapang setelah berjalan kira-kira 30 minit. Terdapat kesan-kesan runtuhan pondok istirehat yang pernah digunakan 3 hingga 4 tahun lalu. Berdekatan kawasan itu kelihatan samara-samar laluan alternatif ke puncak Gunung Datok, satu laluan yang telah lama dilupakan.

Laluan alternatif tersebut tidak lagi dugunakan sekarang setelah laluan yang kami jejaki dibuka kira-kira 5 tahun yang lampau. Perjalanan melalui laluan alternatif tersebut adalah lebih jauh di mana pendaki perlu menambah masa perjalanan di antara 15 hingga 20 minit.

Saya dan beberapa rakan pendaki pernah menempuh pengalaman yang mencemaskan ketika berada di laluan tersebut. Ketika itu, pada satu senja, seekor ular berbisa melintas perlahan di hadapan kami. Kami membantu dan memerhatikan ular katang belang (Bungarus fasciatus) yang berwarna kuning berbelang hitam itu.

Insiden yang berikutnya adalah ketika saya dan seorang lagi rakan dikejutkan dengan seekor ular tedung selar (Ophiophagus Hannah), yang sedang menyusur semak. Kami yang sedang menuruni tebing curam berlari lintang pukang apabila terlihat ular berbisa paling besar di dunia itu.

Kumpulan kami terus mendaki bukit curam sebelum berjalan bersebelahan sebatang balak tumbang. Batang tumbang tersebut menandakan bahawa kami telah menamatkan hampir 50 peratus dari jumlah masa perjalanan. Kami telah mendaki selama sejam, jadi masih ada sejam lagi yang harus ditempuh.

Keadaan trek tidak banyak berubah, masih mencanak dan menguji minda. Kadang-kala kami menempuhi kawasan-kawasan yang agak landai, tetapi sebahagian besar laluan adalah mencanak. Kami bermandikan peluh walaupun di bawah suasana selepas tengah malam yang sepatutnya dingin dan nyaman.

Wani memberitahu saya bahawa beliau terlihat cahaya lampu di puncak Gunung Datok. Kami terus mendaki dan apabila tiba di kawasan yang boleh melihat langit terbuka, saya menunjukkan kepada Wani cahaya lampu yang dimaksudkannya. Nun jauh di angkasa, bulan sedang mengambang penuh!

Kami juga berhenti sekejap-sekejap menunggu rakan-rakan yang berjalan perlahan kerana keletihan. Walaupun bulan mengambang penuh namun keadaan persekitaran pada keseluruhannya terlalu gelap. Kanopi pokok menghalang cahaya indah ini daripada menerangi trek hutan yang kami tempuh.

Telah melebehi dua jam kami berjalan, keringat tidak henti-henti mengalir membasahi tubuh. Tepat pukul 1.30 pagi, tatkala ramai di antara manusia diulit mimpi indah di tempat tidur masing-masing, kumpulan kami yang seramai sembilan pendaki selamat tiba tapak perkhemahan berhampiran puncak Gunung Datok.

Rupa-rupanya ada kumpulan lain yang telah mendahului kami. Peralatan dan beg galas mereka memenuhi ruang pangkin pondok istirehat. Mereka juga telah mendirikan khemah dan tarpaulin. Pondok satu lagi dan tandas telah lama menyembah bumi. Sisa-sisa runtuhan seperti bumbung zink dan tiang kayu masih jelas kelihatan.

Kami kemudiannya bergotong-royong mendirikan sebuah khemah empat orang untuk peserta wanita. Yang lelakinya pula diperuntukkan sehelai tarpaulin yang mempunyai dwifungsi, ruang memasak dan tempat untuk melelapkan mata. Angin malam bertiup kencang menyebabkan saya menggigil kesejukan.

Kami kemudiannya menggoreng jemput-jemput dan menyediakan minuman air mata kucing panas. Sedapnya hingga menjilat jari. Kami makan dan minum sepuas-puasnya sebelum menyarung beg tidur. Tidak lama kemudian, kesemua daripada kami terlena diulit mimpi-mimpi indah hingga ke siangnya.

Keesokan harinya, kami duduk berkumpul bersama-sama bagi menyediakan juadah sarapan pagi. Kesemuanya makanan mudah agar cepat siap untuk dimakan. Telor goreng, sosej goreng dan roti sanwic. Minumannya juga mudah, mata kucing kering yang direbus bersama gula, minuman istimewa yang cukup enak.

Tempat kami berkhemah kemudiannya dibanjiri pendaki dari kalangan kanak-kanak sekolah. Ramai juga remaja yang datang. Saya juga pernah tersua dengan seorang warga emas berketurunan Cina yang telah mencecah usia lanjut 70 tahun. Beliau kerap mendaki Gunung Datok seorang diri.

Menurut beliau, yang pernah mendapat rawatan dari seorang pakar kiropraktik, 98% masalah tulang belakang boleh disembuhkan tanpa prosedur pembedahan. Beliau juga memberitahu bahawa mendaki gunung seorang diri memberikan kepuasan kepada beliau yang telah dikurniakan beberapa cucu.

Kami kemudiannya mendaki bongkah batu besar dan anak-anak tangga besi untuk ke puncak Gunung Datok yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kami berkhemah. Kami disambut dengan suasana sibuk sekumpulan pelajar yang sedang memanjat tangga besi untuk ke puncak gunung itu.

Cuaca agak panas pada hari itu. Kami difahamkan bahawa sekumpulan pelajar yang berada di puncak berasal dari Negara jiran, iaitu Singapura. Pemandangan dari puncak sungguh indah. Langit biru dengan tompok-tompok awan putih memperlengkapkan warna kehijauan hutan hujan tropika.

Kami berhati-hati mendaki bongkah-bongkah batu di sebelah puncak gunung. Kesilapan boleh membawa padah. Tiada toleransi untuk sebarang kesilapan, kerana kesilapan boleh membawa maut. Keseronokan dicari dan keselamatan dijagai, barulah aktiviti lasak ini memberi makna kepada mereka yang menceburkan diri.

Terdapat sebuah struktur batuan yang terbentuk seperti gua berhampiran puncak. Keadaannya terlindung dari elemen-elemen ekstrim cuaca seperti hujan ribut dan sinaran terik sang suria. Bahagian dalamnya juga dingin walaupun ketika panas terik di luar dan sesuai dijadikan tempat bermalam.

Kami kemudiannya bergambar kenangan sebelum turun ke tapak perkhemahan. Laluan dari tapak perkhemahan ke puncak agak sesak dengan pengunjung-pengunjung yang baru tiba. Sememangnya puncak sempit tetapi cantik dengan bongkah batu besar dan tidak pernah sunyi dari kunjungan pendaki ketika hari cuti.

Kami seterusnya mengemaskan peralatan dan sampah sarap dibungkus rapi untuk dibawa turun. Moto seperti “Take nothing but photographs and leave nothing but footprints” (Jangan ambil apa-apa kecuali gambar dan jangan tinggalkan apa-apa kecuali tapak kaki) perlu menjadi amalan semua pendaki.

Kami kemudiannya meninggalkan tapak perkhemahan kira-kira pukul 12.00 tengahari. Sakit juga lutut dibuatnya ketika turun dan menggalas beg berat menambahkan lagi kesakitannya. Namun keseronokan mendaki mengatasi segala-galanya, ibarat kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Hutan di sekitar Gunung Datok boleh diklasifikasikan kepada hutan dipterokap bukit dan hutan dipterokap atas. Klasifikasi itu adalah berpandukan ketinggian di mana hutan gunung atau montane hanya bermula pada paras 1,200 meter sedangkan puncak Gunung Datok tidak mencecah 1,000 meter.

Pokok-pokok kayu seperti Seraya, Keruing dan Meranti Bukit boleh ditemui di sekitar Gunung Datok. Pokok petai (Parkia javanica), nama yang tersohor di kalangan penggemar ulam juga boleh ditemui di sebelah situ. Petai merupakan makanan kegemaran ramai dari keluarga kekacang (Leguminosae) yang kaya dengan protin.

Kami tiba di hutan rekreasi Gunung Datok sejam kemudian. Suasana masih sibuk seperti semalam ketika kami meninggalkan tempat tersebut untuk ke puncak. Kami kemudiannya duduk berendam dalam jeram dengan cucuran air terjun kecil di kepala bagi memperlengkapkan ekspedisi kali ini.

Seterusnya kami meninggalkan hutan rekreasi Gunung Datok dengan membawa seribu kenangan manis. Kami kemudiannya singgah di pertengahan jalan untuk menikmati makanan panas dan minuman dingin yang menyegarkan tubuh sebelum pulang semula ke tempat asal kami di Bandaraya Kuala Lumpur.

Angsi ~ KOSMO 03 Mar 2007

Lebuhraya Utara Selatan agak sesak pagi Sabtu itu. Sesekali, saya mengerling ke luar tingkap kereta yang saya pandu. Memandang ke arah horizon yang mula memancarkan cahaya kemerahan mentari yang mula muncul di hari yang baru. Kami kemudiannya menyusur keluar dari lebuhraya dan menempuh kawasan Senawang di Negeri Sembilan. Beberapa minit kemudian, kami mula menempuh jalanraya bengkang bengkok yang menuju ke arah Kuala Pilah. Jalan berliku itu sesak dengan kenderaan kecil besar yang menyusuri permukaan bitumennya.

Pukul 8.15 pagi, kami tiba di Hutan Rekreasi Ulu Bendul. Hanya dua pengunjung yang sedang berjalan sambil berbual-bual kelihatan. Saya datang bersama dua anak lelaki saya, Aman dan Razi. Kami kemudiannya mengemaskan peralatan sebelum menghadapi sarapan pagi. Roti sanwic telur rebus lecek digaul dengan mentega keluaran New Zealand, dimakan bersama hirisan tomato hasil ladang Cameron Highland. Selepas itu disudahi dengan susu berperisa coklat. Sungguh enak dan mengenyangkan.

Kami mengorak langkah tepat pukul 8.40 pagi. Hanya deruan sungai yang mengalir memecah keheningan. Hutan yang kami tempuhi begitu tenang dan dingin. Keadaan trek kering dan dipenuhi daun-daun yang jatuh berguguran. Dahan dan pokok tumbang juga agak menyukarkan pergerakan. Mungkin tumbang dek tiupan angin kencang atau panahan petir.

Kami berjalan naik turun trek yang tidak keterlaluan kecuramannya. Batu-batu yang bertaburan di tengah-tengah trek dititi berhati-hati. Keringat mula membasahi diri dan tubuh yang dingin awalnya mula terasa panas. Sejam kemudian, kami tiba di Jeram Kak Lang. Deruan air yang jatuh menghempas batu jelas kedengaran. Kami duduk di atas tanah keletihan. Seteguk dua air yang dinikmati menghilangkan kehausan. Makanan ringan pula dijamah bersama.

Agak lama juga kami duduk berihat di tapak perkhemahan berhampiran Jeram Kak Lang. Tempat tersebut bukan asing buat diri saya yang pernah menempuhi trek ke puncak Gunung Angsi bukan untuk pertama kali. Cuma banyak perubahan telah berlaku. Prasarana seperti pondok istirehat dibina berhampiran trek. Pondok-pondok itu dibina dengan papan-papan tanda berinformatif. Papan tanda yang menceritakan kepentingan dan fungsi hutan kepada dunia sejagat. Sesetengah pokok hutan dipasang label untuk kemudahan pengunjung yang sering datang terutamanya ketika hari cuti.

Kami menyambung perjalanan setelah penat terasa berkurangan. Keadaan persekitaran tidak banyak berubah, masih dibayangi deruan air jeram yang mengalir. Kami seterusnya meniti batu-batu ke seberang sungai dan terus berjalan melalui trek yang turun naik. Kelihatan kepingan kulat pelbagai bentuk, saiz dan warna melekat pada batang-batang pokok mati. Kulat, organisma tanpa klorofil yang majoritinya membantu proses pereputan dan pengitaran nutrien.

Kami seterusnya melintasi kawasan lapang yang telah diteroka untuk jalan pacuan empat roda. Keadaan di situ panas dan kurang selesa. Kami kemudiannya melewati semula kawasan redup dengan naungan. Kawasan naungan hutan sekunder yang ditumbuhi belukar resam dan pokok rendang. Trek kemudiannya terhenti di sebatang anak sungai cetek dengan aliran jernih dan menyejukkan. Kami ternampak tiga anak muda yang mendahului kami, mungkin Gunung Angsi tempat dituju.

Trek mencanak sebaik sahaja kami menyeberangi anak sungai. Keadaannya amat kering, merekah dan berlubang-lubang. Lubang dan rekahan terhasil dari hakisan air hujan yang mengalir. Akar pokok yang terdedah dan berselirat pula merentangi trek. Begitu juga daun kering yang gugur dan bertaburan. Trek tersebut kami daki perlahan-lahan kerana kepenatan mula menguasai diri kembali. Tiada lagi deruan air sungai yang kedengaran.

Anggota tentera berpakaian lengkap seragam kombat menuruni laju trek yang kami daki. Sambil turun sambil menyapa kami yang mendaki lambat dek keletihan. Trek kering tanah kekuningan itu kami terus daki dan daki. Setelah agak lama, ia jadi lebih mudah. Kami kemudiannya berdiri berhadapan bukit curam bertanah merah, yang berdiri tegak dengan rekahan dalam tanda hakisan teruk.

Dahulu, terbina tangga kayu untuk memudahkan pendaki melepasi bukit tersebut. Kali terakhir saya datang, kira-kira dua tahun yang lalu, ia masih tegak berdiri. Kini segala-galanya tiada lagi. Musnah dimamah panas hujan yang sering berganti. Kami memanjat di celahan bukit itu. Berhati-hati menyusun kedua-dua belah tangan dan kaki. Walau sesukar mana sekali pun, halangan tersebut terpaksa juga kami lepasi. Nasib baik tali dipasang untuk membantu pergerakan. Kami melepasinya dengan bersusah payah, langsung tercungap-cungap mengah. Kami kemudian berhenti sekejap sebelum mendaki semula.

Trek kemudiannya beransur-ansur mudah tetapi itu hanya sementara. Kami terpaksa berdepan semula dengan bukit curam dengan akar pokok yang berselirat merentangi laluan. Pokok mati menyembah bumi yang mereput juga tidak ketinggalan. Memberikan tekanan kepada insan yang meneruskan pendakian.

Perlahan-lahan kami meneruskan perjalanan. Sedikit demi sedikit halangan dilepasi satu persatu. Setelah puas menuruni lurah, setelah puas mendaki bukit mencanak, setelah puas hutan diredah, akhirnya pada pukul 12.00 tengahari, kami tiba di puncak Gunung Angsi.

Beirutnya yang berdiri tanpa tiang besi masih ujud lagi, terperosok di celah semak samun. Pokok mangga yang tumbuh ibarat hidup segan mati tak mahu masih berdiri tegak di situ. Kali terakhir saya berdiri di puncaknya adalah kira-kira dua tahun yang lalu. Angin bertiup agak kencang, dingin dan menyegarkan. Kabus nipis mengaburi mata yang cuba-cuba meninjau horizon dengan banjaran gunung biru-hijau.

Puncak Angsi beraltitud 2,702 kaki itu tidak pernah gagal menggamit memori. Di peringkat awal melayani kegilaan mendaki, saya kerap bermalam di puncaknya. Saya bersama rakan-rakan biasanya datang dalam kegelapan malam yang sepi. Menggalas beg berat menyusuri trek yang disimbahi cahaya lampu suluh. Segala-galanya masih jelas dalam memori.

Tiga pemuda yang kami temui pada peringkat awal pendakian kelihatan bersiap-siap untuk turun. Entah pukul berapa mereka sampai agaknya, fikir saya. Anak-anak saya, Aman dan Razi tersenyum kegirangan. Tersenyum kerana berjaya juga sampai setelah perit menempuh kepayahan untuk memperoleh kejayaan.

Rupa-rupanya rakan-rakan pendaki yang saya kenali sejak sekian lama juga turut berada di puncak. Kami bersalam-salaman dan bertukar-tukar khabar. Kemesraan jelas terpancar di wajah dek kegembiraan berkongsi minat yang sama. Minat mendaki puncak di segala pelosok tanah air. Kami duduk berihat sambil makan dan minum. Udara angin pergunungan terus menerus menghembus menyejukkan badan. Terasa sungguh menyegarkan.

Rakan-rakan yang saya temui mendaki Gunung Angsi melalui Bukit Putus manakala kami tiga beranak datang dari arah Ulu Bendul. Pada pukul 12.45 tengahari, saya mengambil keputusan untuk turun mengikut arah mereka naik. Trek tersebut lebih pendek dari yang kami tempuhi untuk naik sebelum ini.

Fauna menghijaui laluan yang kami lewati. Spesis herba dari famili Zingiberaceae seperti Alpinia rafflesiana mudah ditemui. Tumbuhan tersebut cantik dengan bunga kuning merah terang. Beberapa spesis herba dari famili Zingiberacae juga telah dimenfaatkan manusia sejak ratusan tahun, antaranya halia, lengkuas dan kunyit.

Laluan tersebut kami turuni dengan pantas tapi penuh waspada. Nasib baik ianya kering serta berselirat dengan akar pokok dan berserakkan daun kering. Jadi mudahlah bagi kami menuruni trek curam itu. Mungkin telah agak lama hujan tidak turun di sebelah sini. Hujan yang memberikan kelembapan yang menjadi nadi kepada kesemua kehidupan ciptaan Tuhan. Walaupun kadangkala ianya mendatangkan kerugian nyawa dan harta benda yang bukan sedikit sekiranya banjir melanda tanpa diduga.

Pokok petai yang menjulang tinggi juga kami temui. Petai (Parkia javanica), sejenis flora dari famili kekacang (Legunimosae) dimakan sebagai ulam atau dijerukkan. Produk hutan yang pada satu masa dahulu hanya diperolehi dengan cara yang menyukarkan dari rimba kini ditanam secara komersil. Petai juga dikatakan mempunyai nilai kesihatan terutamanya di kalangan pengamal perubatan tradisional.

Kami terus mengatur langkah menuruni trek yang menyusuri kawasan hutan Dipterokap. Masa terus berjalan dan kami kemudiannya menukar arah ke jalan pacuan empat roda pula. Entah bila jalan tersebut dibina dan ke mana pula ia menuju. Tiada siapa di kalangan kami yang tahu. Cuaca terang benderang dan cahaya sang suria yang memancar terik membakar kulit yang terdedah.

Kami seterusnya tiba di tebing tinggi yang menghadap jalanraya penghubung Seremban Kuala Pilah. Jelas kedengaran bunyi jentera berat sibuk bekerja di samping deruan kenderaan yang lalu lalang. Tatkala menuruni cerun curam yang subur dengan semak samun resam, saya memerhatikan keadaan. Apa yang saya cari dapat juga ditemui. Sejenis spesis periok kera (Nepenthes sp.) berwarna hijau masih tumbuh di situ. Tanpa berlengah saya merakamkan imej digitalnya. Entah berapa lama lagi ia dapat bertahan di situ. Terlalu banyak pembangunan yang sedang berjalan di kawasan berhampiran. Beberapa lokasi berdekatan yang dahulunya berhutan kini bertebingkan konkrit yang kelihatan begitu artifisal di satu dunia yang penuh kehijauan.

Tepat pukul 2.15 tengahari, kami berjaya menamatkan perjalanan. Saya dan anak-anak seterusnya berpatah balik ke Hutan Rekreasi Ulu Bendul manakala rakan-rakan pendaki yang turun bersama bertolak pulang. Hutan rekreasi yang di sebelah paginya sepi kini meriah dibanjiri pengunjung.

Kami kemudiannya menyertai pengunjung lain berendam dalam air sungai yang dingin lagi menyegarkan. Selepas menjamah makanan dan minuman, dan, selepas menunaikan solat, kami meninggalkan Hutan Rekreasi Ulu Bendul. Mungkin di satu masa nanti, kami akan kembali. Kembali menjejakkan kaki ke puncak Angsi, puncak yang senantiasa kami ingati.

Bintang ~ KOSMO 19 April 2008

Pine Tree Hill ~ KOSMO 01 Disember 2007

Memandu kereta melalui jalanraya berliku dari pekan Kuala Kubu Baru ke Bukit Frazer memang mengasyikkan. Udara segar dan dingin kawasan tanah tinggi dengan banjaran gunung biru hijau menyejukkan mata yang memandang. Kehijauan hutan primernya dengan air terjun yang mengalir dari tebing-tebing batu turut mencuri perhatian. Saya sempat berhenti sebentar bagi membasuh muka dengan alirannya yang sejuk lagi menyegarkan sebelum meneruskan perjalanan ke Bukit Frazer. Jalanraya yang kami tempuhi agak lengang di awal pagi Sabtu itu.

Kami tiba di Bukit Frazer pada pukul 9.15 pagi. Stesen bukit yang meliputi kawasan seluas 2,804 hektar dan sinonim dengan bangunan kolonial itu agak lengang tatkala kami tiba. Ia dibuka secara rasmi oleh pihak British pada 1921 semasa mereka memerintah Tanah Melayu. Terdapat lapan denai hutan yang agak terkenal di sini. Denai-denai ini dikenali dengan nama-nama seperti Abu Suradi, Rompin, Kindersley serta Hemmant. Frank Hemmant adalah akitek yang merekabentuk padang golf 9-lubang yang dibina di Bukit Frazer pada pertengahan 1920-an.

Kunjungan saya ke Bukit Frazer kali ini adalah untuk menjejaki semula laluan ke puncak Pine Tree Hill. Puncak ini mendapat nama dari pokok pine Dacrydium comosum, yang terkenal dengan bentuk tanduk rusanya. Pengembaraan saya turut disertai oleh dua anak lelaki yang kini mula berjinak-jinak dengan aktiviti pendakian. Ibarat kata pepatah, di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Pengembaraan kami bermula pada pukul 10.00 pagi berhampiran Banglo Admiralty dan Banglo High Pines. Kami menuruni tebing cetek yang bersambung dengan denai hutan. Keadaan trek agak lembap dan sedikit lecak di beberapa lokasi dek hujan yang kerap turun tanpa jemu untuk menjamin kehidupan. Batang-batang pokok yang telah lama menyembah bumi diselaputi lapisan lumut hijau yang unik serta cantik. Batang kayu bersalut lumut ini merupakan satu daripada ribuan hasil seni alam semulajadi yang menghiasi trek yang kami lewati. Sementara itu, lumut hijau seperti Versicularia sp. tumbuh subur meliputi indah tebing bukit yang kami lewati. Flora yang lebat berbunga dengan pelbagai warna putih, kuning dan merah turut menyemarakkan lagi keindahan alam ciptaan Tuhan yang tiada tolok bandingnya.

Hati saya terpaut dengan warna merah putih bunga Achasma megalocheilos yang tergolong dalam famili Zingiberaceae. Ramai pakar botani menyifatkan herba yang tumbuh di lantai hutan dari famili ini mengeluarkan bunga yang paling cantik di kalangan flora yang hidup subur dalam hutan hujan tropika. Daun tumbuhan ini juga mengeluarkan aroma yang harum jika diramas. Flora dari famili Zingiberaceae sering dilihat mengeluarkan bunga dengan rona-rona indah seperti merah, kuning dan putih yang memecahkan kehijauan hutan tertua di dunia.

Kami terus mendaki dan menuruni trek yang sesetengahnya agak curam. Tiada insan lain pun yang kami temui, sesuatu yang agak ganjil jika dibandingkan dengan puncak-puncak yang sering menjadi tumpuan seperti Gunung Nuang di Selangor, Gunung Ledang di Johor dan Gunung Angsi di Negeri Sembilan. Denai Pine Tree Hill sebenarnya mudah didatangi oleh sebarang kenderaan kerana dihubungkan dengan jalan bertar yang sempit tetapi masih berkeadaan baik.

Kira-kira sejam selepas kami bermula, kami terjumpa dengan papan tanda kayu yang menyatakan jarak, dalam kilometer, yang harus kami tempuh untuk ke puncak Pine Tree Hill. Sepanjang ingatan saya yang pernah ke sini beberapa tahun lalu, terdapat papan tanda yang terpacak di sisi trek hampir di setiap kilometer. Mungkin papan tanda empat kilometer ini sahaja yang tinggal, fikir saya.

Kami juga tersua dengan pondok-pondok istirehat yang kesemuanya usang dimamah usia. Hanya dua sahaja yang masih teguh berdiri manakala yang dua lagi telah lama menyembah bumi. Namun kedua-dua yang tegak berdiri itu pun berada dalam situasi yang menyedihkan, mereput di sana sini. Cuaca ekstrem hutan hujan tropika dengan kelembapan tinggi berserta serangan agen pereputan seperti kulat dan anai-anai tidak membolehkan struktur binaan dari kayu mampu bertahan. Mungkin konkrit yang tahan lasak dan lebih murah boleh menjadi pengganti.

Pada pukul 11.20 pagi, anak-anak saya yang keletihan meminta saya berhenti untuk berihat. Kami kemudiannya duduk di atas lantai hutan sambil meneguk minuman pembasah tekak. Telah agak lama kami berjalan dan badan kini lencun dengan keringat. Kami kemudiannya menyambung perjalanan setelah mengah mula menyusut menempuhi semula trek yang masih kelihatan sunyi dari sebarang penghuni.

Kami juga terpaksa berhadapan dengan pokok dan dahan tumbang. Kami merangkak dan adakalanya meniarap untuk melepasi halangan yang sering merentangi laluan. Kami juga berjalan berhampiran kawasan yang ada tanda-tanda telah digunakan sebagai tapak perkhemahan. Berhampiran kawasan itu kederangan bunyi air yang mengalir namun saya membatalkan hasrat untuk turun dan memeriksa punca bunyi berkenaan. Turut terpacak di trek yang kami tempuhi adalah batu-batu konkrit berbentuk selinder. Batu itu menandakan sempadan antara dua negeri, iaitu Selangor dan Pahang.

Agak menyeronokkan berjalan di atas garis sempadan kedua-dua negeri itu. Sekejap kami berada di Pahang manakala sekejap lagi kami berada di sebelah Selangor pula. Perkara yang sama pernah saya alami ketika mendaki di Gunung Swettenham di mana kami berjalan samada di sebelah Pahang atau Kelantan. Manakala di Gunung Irau pula, kami berkesempatan untuk berjalan di atas garis sempadan negeri Pahang dan Perak.

Kami terus berjalan mengikuti trek yang mula meningkat kecuramannya. Keringat keluar mencurah melencunkan tubuh walaupun kami berjalan di kawasan tanah tinggi yang agak rendah suhunya. Bukit Frazer, yang bermuka bumi curam, didominasi Hutan Pergunungan Bawah yang juga dikenali sebagai Hutan Oak-Laurel. Kawasan tanah tinggi yang kami rentasi ini juga menjadi kawasan tadahan air yang penting untuk Sungai Selangor di Selangor dan Sungai Teranum di Pahang.

Kami kemudiannya berhadapan dengan tebing berbatu dan bertanah keras yang agak licin. Tebing itu juga dipasang dua utas tali nilon, yang satunya putih manakala yang satu lagi kuning. Kami mendaki tebing curam itu dengan hati-hati dan sebaik sahaja melepasinya, kelihatan kemas kain rentang yang dipasang oleh kumpulan pendaki terdahulu. Rupa-rupanya, kami selamat tiba di puncak Pine Tree Hill dan jam di tangan saya menunjukkan ke pukul 12.40 tengahari. Sebagaimana di sepanjang trek yang kami lewati, tidak ada sebarang insan yang kami temui di puncak yang hening itu.

Kami kemudiannya mendaki ke kawasan gondol berhampiran yang merupakan puncak sebenar Pine Tree Hill. Hanya tapak konkrit dengan bekas besi paip usang menjadi bukti bahawa kami kini berpijak di puncak. Tiada besi penanda puncak, iaitu beirut, menyambut kami bertiga di kawasan berketinggian 1,505 meter itu. Walaupun tiada mentari mencelah meriah dengan langit biru menghiasi alam, namun kami masih mampu menikmati pemandangan indah Banjaran Titiwangsa yang hampir tenggelam dek kabus tebal yang berarak perlahan. Banjaran mengunjur dari utara ke selatan yang juga dikenali sebagai tulang belakang Semenanjung Malaysia.

Angin sepoi-sepoi bertiup menggigilkan tubuh yang mula kering dari keringat. Langit pula kedam macam nak hujan. Kami kemudiannya bergambar kenangan sebelum turun semula ke kawasan yang terpasang kain rentang dan bernaungkan pokok-pokok berselimutkan lumut hijau kuning Rintik-rintik halus hujan kemudiannya turun berserta kabus yang menyesakkan pandangan.

Kami kemudiannya menikmati bekal nasi lemak yang berlaukkan sambal sotong dan telur rebus. Makanan dari rumah itu sememangnya menyelerakan kami yang macam dalam kebuluran! Epal dan pisang kemudiannya jadi pilihan sebelum air mineral dan susu soya jadi minuman. Kami kemudiannya terduduk keletihan setelah menempuh perjalanan panjang selama hampir tiga jam.

Telinga saya kemudiannya menangkap bunyi seperti orang yang sedang bercakap-cakap. Rupa-rupanya kehadiran kami ini bukannya tanpa teman. Dua pendaki muncul dari trek yang tidak kami tempuhi sebelum ini. Kami saling memperkenalkan diri dan mereka mengatakan bahawa mereka datang dari Petaling Jaya. Mereka baru sahaja berjalan turun dari Twin Peak, satu puncak yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari tempat kami berdiri. Agak lama juga kami berbual sebelum kami berpisah membawa haluan masing-masing. Mereka berdua naik ke puncak Pine Tree Hill manakala kami tiga beranak mendekati tebing curam untuk memulakan perjalanan turun.

Dek kerana kegopohan menuruni cerun yang agak curam di beberapa lokasi, kedua-dua anak saya jatuh terduduk di trek. Tangkap biawak menurut kata pendaki. Namun, di sebalik comotan selut dan lanar pada pakaian, mereka tidak mengalami sebarang kecederaan. Kami terus berjalan menuruni trek yang curam serta licin di beberapa tempat dan adakalanya, kami terpaksa mendaki pula bukit mencanak yang meletihkan. Kami seterusnya berhenti berihat berhampiran pondok yang hampir tersembam dimamah usia.

Kami duduk berihat sambil meneguk minuman pengganti kelembapan yang mencurah-curah keluar dari badan. Seekor rama-rama dengan warna dan corak menarik jadi tumpuan. Saya cepat-cepat mengambil gambar serangga yang melekap di permukaan lantai hutan yang sentiasa dilencun kelembapan. Fauna dari kumpulan Lepidoptera itu termasuklah kupu-kupu. Kedua-duanya memang kelihatan serupa tetapi ada beberapa garis pemisah yang ujud sebagai pembeza. Kami kemudiannya menyambung perjalanan yang belum tiba di penghujungnya.

Kawasan berbukit yang kami tempuhi menyimpan sejarah yang menarik. Trek Pine Tree Hill ini dibuka lewat 1920-an oleh pihak British sebagai laluan untuk ke puncak gunung itu. Mereka mendaki di sebelah sini untuk menikmati pemandangan indah persekitaran Bukit Frazer yang dirangkumi Banjaran Titiwangsa. Trek ini, dengan jarak enam kilometer, merupakan denai hutan paling panjang di antara denai-denai yang ujud di Bukit Frazer.

Pada pukul 3.45 petang, kami menamatkan pengembaraan yang bermula sejak 10.00 pagi tadi. Mungkin di lain masa kami akan datang lagi dan kali ini puncak Twin Peak, yang dikatakan sama tinggi dengan Pine Tree Hill akan kami takluki. Kami kemudiannya pulang ke Kuala Lumpur selepas menikmati makanan Mamak yang menyelerakan di pekan Kuala Kubu Baru.

Swettenham ~ KOSMO 20 Mei 2006

Bak kata orang, “Kita yang merancang, Tuhan yang menentukan”. Pada mulanya saya bercadang untuk mendaki Gunung Tangga tetapi disebabkan oleh beberapa masalah yang timbul, kami terpaksa bertukar haluan. Kami mempertaruhkan nasib untuk menjejaki laluan ke puncak Gunung Swettenham pula.

Kami tiba di pekan Tanah Rata, salah sebuah pekan di daerah Cameron Highland, di negeri Pahang. Pekan-pekan lain termasuklah Ringlet dan Brinchang. Kami tiba kira-kira pukul 4.00 pagi di suatu hari Sabtu setelah membelah kegelapan malam dari ibukota Kuala Lumpur sejak pukul 11.30.

Sudah 2 jam hujan turun dan kedinginan pagi hari terasa hingga ke tulang hitam sebaik sahaja saya keluar dari kereta. Turut serta bersama saya adalah 2 rakan lain di samping 3 buah kereta yang berpenumpangkan 12 orang. Kami berehat-rehat sambil menunggu hari siang sebelum memulakan pelan yang telah dirancang bersama.

Hujan terus turun tanpa henti sebaik sahaja kami berkereta semula selepas menikamati sarapan pagi roti telor bersama teh tarik. Keadaan jalanraya di waktu pagi itu tidaklah sesebok mana, jadi perjalanan kami lancar. Keadaan akan menjadi di sebaliknya terutamanya ketika musim cuti sekolah.

Kami seterusnya menempuh lokasi seperti Brincang, Tringkap dan Kampung Raja. Kabus menyelimuti sebahagian besar pandangan di kawasan tanah tinggi terbesar dan tersohor di Negara ini. Kami kemudiannya berhenti di sebuah perkampungan Orang Asli berhampiran dengan Lojing, di Kelantan.

Pada satu masa dahulu hanya kenderaan pacuan empat roda yang boleh sampai di Lojing dari Cameron Highland. Keadaan kini berubah sejak terbinanya jalanraya yang menghubungkan Simpang Pulai, di Perak dengan Gua Musang, di Kelantan melalui tanah tinggi Cameron.

Jalanraya yang dibina itu memberi kemudahan untuk mendekati dan menjejaki laluan ke beberapa puncak di sekitar Cameron Highland. Pada suatu masa dahulu segalanya sukar kerana kedudukannya yang jauh dan terpencil. Puncak-puncak tersebut termasuklah Gunung Cabang, Gunung Tangga dan Gunung Suku.

Kami kemudiannya bermula tepat pukul 10.45 pagi. Tiada siapa yang pernah tiba di sebelah situ. Saya terpaksa membuat rujukan dengan memuat turun maklumat dari laman web dan mencetaknya. Di samping itu, saya juga terpaksa menelefon Ngai dan Sahlan untuk menyemak semula laluan yang perlu dituju.

Kali terakhir saya mendaki tanpa menggunakan khidmat jurupandu jalan adalah ketika mendaki Gunung Yong Belar, puncak ketiga tertinggi di Semenanjung. Saya membuat kerja gila tersebut hanya berpandukan maklumat dari rakan-rakan dan lakaran di atas secebis kertas putih!

Perasaan bimbang tetap menghantui saya setiap kali menjejaki laluan ke puncak-puncak baru tanpa bantuan jurupandu jalan. Kawasan tanah tinggi Cameron pernah menyaksikan kehilangan Jim Thompson, Raja Sutera Thai berketurunan Amerika yang kali terakhir dilihat pada 1967, hampir 40 tahun yang lampau.

Kami menyusuri laluan pacuan empat roda yang sungguh lecak ketika bumi masih ditimpa hujan renyai. Kami kemudiannya mendaki bukit berhampiran kebun sayur dan terjumpa sebuah kuali yang tergantung pada batang pokok. Kuali tersebut merupakan klu pertama kepada kami untuk mengikuti trek yang betul ke puncak.

Trek yang kami daki tidaklah securam mana dan pendakian pada peringkat awal boleh dikatakan mudah. Akan tetapi hujan yang turun tanpa henti sejak kami bermula pada pukul 10.45 pagi melencunkan kami semua. Badan basah kuyup ditambah dengan suhu sejuk tanah tinggi menjadikan kami menggigil kesejukan.

Ada ketikanya kami menuruni laluan yang tidak pernah kering dari bunyi titisan hujan yang kadang-kala disertai dengan angin kencang. Kami kemudiannya berhenti di puncak sebuah bukit yang agak rata. Saya cuba-cuba meninjau di sekelilling. Yang jelas kelihatan hanyalah kabus putih yang menutupi pandangan.

Ada sejambak bunga orkid berwarna merah jambu yang hampir layu di tempat kami berhenti. Kami juga terlihat sejumlah kecil pokok periok kera dalam pelbagai warna. Di samping itu, kami tidak bertembung dengan sesiapa pun di sepanjang perjalanan.

Berhenti lama untuk melepaskan lelah bagi kami bukanlah mudah. Kami terpaksa menahan kesejukan dari hujan dan suhu rendah. Kami tidak mempunyai banyak pilihan. Walaupun agak kepenatan tetapi kami terpaksa berjalan terus, setidak-tidaknya dapat memanaskan sedikit badan yang kerap menggigil kesejukan.

Pada masa-masa tertentu kami menempuh hutan lumut, satu fenomena alam yang boleh dikaitkan dengan hutan montane. Pemandangan di kawasan itu unik seperti berada di alam fantasi. Segala-galanya diselimuti lumut yang subur menghijau, kelihatan indah tetapi pada waktu yang sama menyeramkan.

Kami kemudiannya menuruni cerun curam. Agak lama juga kami berbuat demikian. Kami banyak berpandukan pada teg-teg plastik kuning yang terikat pada dahan-dahan pokok. Batu-batu sempadan yang masih berdiri tegak juga menjadi klu kepada trek sebenar yang perlu diikuti di sepanjang perjalanan.

Batu-batu sempadan tersebut merupakan tanda sempadan untuk 2 buah negeri di pantai timur. Kami berjalan sekejap di sebelah Pahang dan sekejap di sebelah Kelantan, satu perkara yang menarik. Berdasarkan maklumat yang saya kumpul, kedudukan Gunung Swettenham adalah di antara 2 negeri, iaitu Kelantan dan Pahang.

Tepat pada pukul 1.00 tengahari, kami tiba di punca air terakhir. Benar seperti apa yang saya baca, terdapat sebuah balak tumbang dan pokok pisang di kawasan tersebut. Kami berhenti berehat setelah berjalan berjam lamanya. Kawasan tersebut lapang dan sesuai untuk tapak perkhemahan.

Setengah jam kemudian, kami menyambung saki baki perjalanan. Keadaan trek berubah secara mendadak, curam dan meletihkan untuk didaki. Nasib baik kecuraman itu hanya untuk 15 minit pertama, trek kemudiannya lebih mudah didaki. Kami berjalan terus menerus tanpa henti.

Kami masih terpaksa menongkah bukit curam di beberapa tempat. Sejam selepas meninggalkan punca air terakhir, kami selamat tiba di puncak Gunung Swettenham. Ada beberapa rakan-rakan yang tiba agak lewat, kira-kira 30 minit kemudian. Namun saya bersyukur kerana kesemuanya sampai dengan selamat.

Nama gunung yang tingginya 1,961 meter tersebut mungkin diambil daripada nama Sir Frank Athelstane Swettenham. Beliau adalah seorang Ketua Residen Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang pertama yang mewakili kuasa kerajaan Inggeris ketika Negara ini dijajah selama lebih dari 2 kurun.

Terdapat sebuah beirut atau struktur besi penanda puncak yang telah dimakan usia. Kaki struktur berkenaan juga telah bengkok dan banyak mengalami kerosakan. Berdekatan dengan puncak juga terdapat sebuah tapak perkhemahan yang bersaiz sederhana, cukup untuk memuatkan kira-kira 20 pendaki pada satu-satu masa.

Pemandangan sekeliling puncak tidak dapat dinikmati kerana diselubungi kabus tebal dan hujan masih tetap turun. Kami kemudiannya menyediakan teh panas untuk dinikmati dengan nasi himpit berlaukkan kari ayam segera. Tidak ketinggalan adalah kepingan roti yang dimakan dengan isi tuna lecek pedas dari tin-tin kecil.

Kawasan puncak agak kecil tetapi rata. Pada hemat saya ia mampu memuatkan tidak kurang dari 10 pendaki pada satu-satu masa. Namun demikian kami tidak bercadang untuk bermalam di puncak. Kami hanya membawa sedikit makanan dan minuman, jadi mudahlah kami naik dan turun gunung itu dengan pantas.

Kami seterusnya mengambil gambar kenangan sebelum meninggalkan puncak pada pukul 3.30 petang. Trek yang tadinya didaki kini terpaksa dituruni pula, sukar kerana basah dan licin ditimpa hujan tanpa henti sejak dari mula lagi. Kami menuruni trek dengan berhati-hati.

Kami menuruni cerun tanpa henti selama 40 minit sehinggalah tiba di punca air. Kami berhenti sambil menunggu kesemua rakan-rakan lain tiba sebelum menyambung perjalanan yang masih jauh. Beberapa minit kemudian trek mula berubah dan kami mula mendaki bukit mencanak.

Agak lama juga kami terpaksa menongkah laluan curam. Trek kemudiannya beransur berubah, dan kami mula menuruni cerun-cerun. Keadaan itu silih berganti,ada ketikanya kami mendaki dan di masa yang lain kami menuruni. Kami juga berhenti di tengah perjalanan untuk berehat seketika.

Kami kemudiannya berjalan terus tanpa henti dan tepat pada pukul 6.30 petang, saya dan beberapa rakan lain selamat tiba di garisan penamat. Kami tiba di perkampungan Orang Asli berhampiran sebuah pejabat kecil yang menempatkan renjer Jabatan Perhutanan Kelantan.

Kesemua dari kami selamat tiba tepat pukul 7.30 petang. Walaupun lewat saya bersyukur kerana kami semua dapat pergi dan kembali dengan selamat. Kami kemudiannya membersihkan badan dan bersolat. Selepas itu kami mengemaskan peralatan dan bertolak ke Tanah Rata untuk makan malam.

Mengikut rancangan awal kami sepatutnya berkhemah di hutan dan memasak sendiri makanan. Namun oleh kerana keletihan setelah berjalan sehari suntuk dibasahi hujan yang sejuk seperti ais, kami berpendapat adalah wajar dan lebih mudah untuk ‘masak’ sahaja di kedai.

Kami kemudiannya bermalam di tapak perkhemahan yang diselenggarakan oleh Jabatan Perhutanan. Sungguh lega rasanya dapat berbaring di dalam beg tidur setelah sebuk seharian bermandikan hujan sejuk naik dan turun laluan Gunung Swettenham. Kami akhirnya terlena dibuai mimpi-mimpi indah.

Nuang ~ KOSMO 29 Disember 2007

Sebuah akhbar tabloid pernah melaporkan tentang seorang pelajar kolej swasta yang mengalami kekejangan otot terpaksa dibantu turun dari Gunung Nuang. Manakala seminggu sebelum itu, seorang jurugambar bebas pula maut selepas menyelamatkan dua rakan pendaki yang hanyut dibawa arus deras ketika menuruni puncak yang sama. Tidak terkecuali adalah kejadian yang melibatkan pendaki-pendaki yang tersesat jalan turut tersiar di dada-dada akhbar tempatan.

Walaupun begitu, Gunung Nuang tetap menggamit pengunjung dari jauh maupun dekat. Ramai yang datang samada sekadar berkhemah di Kem Lolo atau pun menjejaki laluan penuh likunya hingga ke puncak. Saya sendiri sering kembali saban tahun bersama rakan taulan bagi mendaki dan menuruni laluan Gunung Nuang yang penuh cabaran. Berikut adalah salah satu pengembaraan penuh kenangan menawan puncaknya yang buat pertama kalinya saya takluki pada cuti Tahun Baru 1993.

Hari Pertama: Kami tiba di satu pagi Sabtu kira-kira pada pukul 7.00 di pakir calet Jabatan Perhutanan berhampiran Ulu Pangsoon, Hulu Langat. Seperti sebelumnya, kami dikehendaki mendaftar terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang program pendakian maupun perkhemahan. Ia merupakan satu langkah bijak yang diambil oleh pihak berkuasa bagi mengesan keluar masuk pengunjung ke Hutan Lipur Gunung Nuang.

Kami kemudiannya menyusun langkah menggalas beg berkapasiti kira-kira 20 liter melalui jalan pacuan empat roda. Kiri kanannya subur dengan pepohon pine yang berusia puluhan tahun yang memayungi redup jalan yang kami lewati. Saya pernah menaiki kenderaan pacuan empat roda. Dengan cara itu, pendaki mampu menjimatkan masa berjalan kaki untuk sekurang-kurangnya sejam. Setelah sekian lama berjalan, laluan yang kami tempuhi itu menokok kecuramannya. Kira-kira 20 minit selepas bermula, dengan keringat keluar mencurah-curah, kami tiba di satu persimpangan yang sangat lecak.

Tiada pokok-pokok pine yang kelihatan dari tahap ini. Sebaliknya, kawasan kiri kanan jalan sarat dengan semak samun. Satu indikator hutan tahap kedua atau hutan sekunder. Jalan yang kami lewati turut berlopak dalam yang terhasil daripada hakisan air hujan dan gelekan tayar kenderaan. Kenderaan pacuan empat roda agak kerap melewati tanahnya yang kemerahan dan kekuningan.

Rumpun buluh turut menyuburi kiri kanan jalan yang kami lewati. Tumbuhan itu begitu dihargai oleh masyarakat Orang Asli untuk pelbagai kegunaan seperti membuat rumah, sumpitan dan rakit. Lemang, sejenis makanan tradisional masyarakat Melayu, turut dimasak di dalam batang buluh bagi menerbitkan aroma yang menyelerakan. Di samping itu, halia hutan, Zingiber spectabile, dengan bunga berwarna kemerahan dan berbentuk unik juga mudah dijumpai. Sesetengah spesis herba dari famili Zingiberaceae itu, yang membiak dari rizom di permukaan lantai hutan, mampu membesar setinggi dua hingga tiga meter.

Bunyi deruan jeram yang mengalir deras kedengaran kira-kira sejam selepas kami meninggalkan pejabat Jabatan Perhutanan. Kami kemudiannya tiba di penghujung jalan pacuan empat roda dengan pondok istirehat usang tegak berdiri. Kami yang keletihan terus meletakkan beg galas dan duduk di bawah naungan pondok itu. Minuman penghilang dahaga dan pengganti kelembapan badan kami nikmati sebelum menempuhi denai hutan yang selari dengan jeram yang mengalir jernih dan dingin.

Kami berjalan perlahan-lahan serta penuh hati-hati turun naik denai hutan yang agak licin itu. Kami kemudiannya meniti batu-batu ke seberang jeram sebelum memanjat tebing curam. Trek itu terletak bersebelahan dengan batang besi paip air bersaiz besar yang telah usang dimamah usia dengan kekotoran lembap membaluti permukaannya. Kami terus berjalan dan kemudiannya menyeberang jeram buat kali kedua. Trek itu kemudiannya membawa kami berhadapan dengan bukit mencanak yang terhenti di hadapan empangan kecil dengan sebuah pondok usang tinggal.

Suatu masa dahulu, sebuah keluarga Orang Asli pernah menginap di pondok kayu itu. Pendaki-pendaki akan disambut dengan salakan anjing kecil besar dengan pelbagai warna yang dibela keluarga itu apabila menghampiri kawasan kediaman mereka. Kini, ia sepi tanpa penghuni dan ke mana mereka menghilang diri, tak siapapun yang dapat memberikan jawapan yang pasti. Kami kemudiannya melewati kawasan yang dipenuhi bongkah-bongkah batu sungai. Kawasan itu pada asalnya adalah tapak perkhemahan tetapi hujan lebat dengan arus deras telah merubah bentuknya.

Kami mula melewati Kem Lolo yang sering dibanjiri pengunjung di hari-hari cuti. Apa yang menyedihkan, terdapat segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab mencemarkan kawasan ini dengan sampah sarap. Satu karakter menjengkilkan yang sering ditimbulkan oleh pelbagai pihak. Bukan sedikit kempen pembersihan yang telah dijalankan tetapi sifat buruk pengotor-pengotor ini tidak mampu mengekalkan kemurniaan hutan yang pada satu masa dahulu bebas dari sebarang pencemaran. Masalah ini pernah mendapat liputan sebuah stesen televisyen swasta tempatan.

Kami terus berjalan tanpa henti dan kira-kira 20 minit selepas meninggalkan pondok istirehat di penghujung jalan pacuan empat roda, kami berhenti di satu lagi kawasan lapang. Kami menyeberangi beberapa kali jeram yang mengalir deras dan cetek untuk ke tapak perkhemahan dengan pondok istirehat itu. Balak tumbang serta semak-samun hampir-hampir sahaja menenggelami beberapa tapak perkhemahan yang kami tempuhi ketika ke mari.

Trek yang kami tempuhi berikutnya agak mencanak dan melewati kawasan yang turut bertumbuhkan sebatang pokok durian yang menjulang tinggi. Saya bersama beberapa rakan pernah menikmati sumber alam yang dikenali sebagai raja buah itu. Walaupun isinya nipis dengan biji tersembul, rasanya enak dan tidak kalah dengan klon-klon bernilai tinggi di pasaran. Durian, atau Durio zibethinus, merupakan sebahagian daripada ribuan spesis tumbuhan warisan alam semulajadi Negara yang ujud sejak jutaan tahun. Namun, tanpa satu spesis kelawar kecil, iaitu Eonycteris spelaea, tidak mungkin bunganya menghasilkan buah. Mamalia bersayap itulah yang menjadi pendebunga utama pepohon durian di negara ini.

Kami terus mendaki laluan yang berterusan meningkat kecuramannya. Keadaan hakisan agak teruk di beberapa lokasi dengan lopak-lopak digenangi air hujan serta batu-batan tersembol dari permukaan tanah. Rumpun-rumpun buluh merupakan antara flora yang tumbuh subur di tebing bukit yang kami lewati. Kira-kira sejam selepas meinggalkan tapak perkhemahan, kami tiba di satu kawasan lapang yang dikenali Dataran Pacat. Dahulu, kawasan ini redup dengan pepohon kayu yang tumbuh tinggi. Kini, keadaannya agak panas disimbahi sinar mentari setelah banyak pokok-pokok besar yang mengelilinginya ditebang. Tiada siapa pun yang mengetahui bagaimana dan mengapa perkara ini harus terjadi.

Kami duduk berlapikkan batang kayu tumbang. Keringat mencurah-curah setelah bersusah-payah mendaki cerum curam. Makanan alas perut dikongsi bersama disulami minuman dingin penghilang dahaga. Menurut yang empunya cerita, kawasan itu mendapat nama kerana merah dengan darah pendaki-pendaki yang membuang pacat yang melekat pada kaki. Agak lama juga kami berhenti rehat di situ sebelum menyusun langkah meninggalkan Dataran Pacat menempuhi trek yang semakin meningkat kecuramannya.

Kira-kira 20 minit selepas menyambung pendakian, trek dipenuhi batu pelbagai saiz dan bentuk. Kami terpaksa berpaut pada bongkahan batu dan akar-akar pokok kayu. Pendakian terasa begitu memenatkan dan kira-kira 45 minit selepas meninggalkan Dataran Pacat, kami tiba di satu lagi mercu tanda Gunung Nuang yang dipanggil Batu Besar. Kami duduk di situ dengan nafas tercungap-cungap menahan kepenatan yang keterlaluan. Kami tiba di situ pada kira-kira pukul 12.30 tengahari.

Kira-kira 15 minit kemudian, kami menyambung pendakian. Trek yang terpaksa kami tempuhi selepas tahap ini amat curam, agak berbatu dan licin. Akar pokok tinggi turut merentangi laluan. Kami mendaki perlahan-lahan dengan keringat membasahi badan yang telah lama keletihan. Selang beberapa minit kemudian, kami tiba di Puncak Pengasih dan mulai tahap ini, trek bersifat menurun. Satu ‘bonus’ bagi pendaki-pendaki yang dibelenggu kemengahan.

Kami seterusnya berjalan di celah-celah batu besar yang berselimutkan lumut dan tumbuhan renek yang menghijau. Tanah gambut yang kami pijaki pula lecak dan licin. Kemudian, kami menuruni trek berbatu yang kiri kanannya juga sarat dengan tumbuhan. Agak lama juga kami menuruni trek curam itu sebelum laluan mencanak kami hadapi semula. Tumbuhan renek dengan pelbagai warna bunga seperti merah jambu, kuning dan putih juga kami temui. Begitu juga dengan pepohon pisang liar, Musa sp., yang menyuburi laluan yang kaya dengan kelembapan. Pada malam hari, tahap kelembapan bandingan di kawasan hutan yang di sebelah siangnya bercahaya suram boleh mencecah sehingga 100%.

Kami berterusan mendaki tanpa henti. Kami turut menempuhi dengan hati-hati kawasan bertebing curam dan licin. Kira-kira setengah jam selepas meninggalkan Puncak Pengasih, kami tiba di puncak Gunung Nuang. Struktur besi penanda puncak, atau beirut, terbina di gunung beraltitud 4,898 kaki itu. Keadaan di puncak begitu tenang dengan angin sepoi-sepoi bahasa bertiup, satu kenikmatan kepada kami yang mendaki hingga kepenatan.

Kami duduk berihat sambil makan dan minum. Mata pula tidak lepas-lepas menikmati panorama hutan batu kotaraya Kuala Lumpur yang sering diselimuti jerebu. Turut menceracak di celah-celah bangunan tinggi rendah di situ adalah Menara Berkembar Petronas, yang pernah dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di dunia. Kami bernasib baik kerana bukan setiap masa cuaca cerah dengan langit biru menyambut pendaki. Pemandangan dari mana-mana puncak tinggi di Negara ini sering kali terselindung oleh kabus tebal yang seolah-olah enggan berarak pergi.

Kira-kira pada pukul 2.00 petang, kami meninggalkan puncak yang boleh juga didatangi dari sebelah Janda Baik di Pahang. Kami berhati-hati menuruni cerun curam lagi licin itu. Kami berselisih dengan beberapa pendaki yang keletihan yang datang untuk menggapai puncak yang baru kami tinggalkan. Kami turut berhenti sekejap-sekejap sebelum menyambung perjalanan turun. Lebih dua jam selepas meninggalkan puncak Gunung Nuang, kami tiba di Kem Lolo. Kami berhenti di situ untuk membasahkan tekak dan menunaikan solat Jamak Zuhur dan Asar.

Saya kemudiannya duduk di atas batu berhadapan aliran jeram yang mengalir deras, dingin dan menyegarkan itu. Pengalaman penuh ketenangan berada dalam hutan menghijau dengan deruan jeram yang mengalir sedemikian merupakan sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Hati meronta-ronta untuk turun dan mandi dalam alirannya. Tetapi, masa tidak menyebelahi saya dan rakan-rakan. Kami terpaksa meneruskan perjalanan hingga ke penghujungnya.

Kami seberangi kembali jeram, denai hutan dan diikuti dengan jalan pacuan empat roda. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam setengah dari Kem Lolo itu akhirnya berakhir apabila kami tiba di calet Jabatan Perhutanan. Kami kemudiannya pulang ke rumah dalam keletihan tetapi berbekalkan senyum kepuasan. Semoga Gunung Nuang akan kami kunjungi kembali di masa hadapan.

Bukit Tabur ~ KOSMO 17 November 2007

Kotaraya Kuala Lumpur tetap sibuk di suatu pagi Sabtu. Banyak kenderaan menempuhi Lebuhraya MRR2 untuk ke pusat bandaraya. Pemanduan saya ada ketikanya tersekat-sekat oleh kesesakan jalanraya walaupun tidak seteruk seperti mana pada hari-hari biasa. Mungkin di sebalik cuti hujung minggu yang sering dinanti-nantikan khalayak, masih ada yang terpaksa bergegas ke tempat kerja.

Perjalanan saya kemudiannya terhenti di Taman Melawati. Kemudian saya mengunjungi sebuah restoran untuk sarapan pagi. Sudah semestinya roti canai berkuah dal campur kari dengan teh tarik jadi pilihan. Agak lama juga saya menunggu rakan-rakan yang dijangka turut bersama untuk menempuhi satu lagi pengembaraan penuh cabaran di hujung minggu. Cabaran untuk mendaki Bukit Tabur yang belum pernah saya lakukan sebelum ini. Saya difahamkan oleh rakan-rakan bahawa kawasan tanah tinggi ini menjadi tumpuan warga kota di hujung minggu dan hari cuti.

Kesemua pendaki akhirnya tiba pada kira-kira pukul 9.30 pagi yang merangkumi tujuh peserta termasuk seorang kanak-kanak berusia sepuluh tahun. Kami seterusnya menempuhi jalanraya sempit yang bengkang-bengkok, ibarat ular kena palu, ke kawasan berhampiran pintu masuk ke Empangan Klang Gate. Banyak kenderaan pakir di sepanjang jalanraya itu. Pada pukul 10.00 pagi, kami menyusun langkah mendaki bukit curam melalui denai yang menempuhi kawasan dusun buahan. Kami turut berselisih dengan beberapa pendaki yang sedang turun dengan berlencunkan keringat. Mungkin mereka memulakan perjalanan sebelum pukul 7.00 pagi lagi.

Pepohon buahan seperti rambutan memayungi redup trek yang kami tempuhi. Kami terus mendaki trek yang agak mencanak, yang kiri kanannya sedikit semak. Pendakian itu agak memenatkan dan tidak sampai setengah jam tubuh yang mulanya kering kini basah dengan keringat. Masa terus berlalu dan trek yang kami lewati berikutnya tidak lagi bernaungkan pepohon berkanopi tebal seperti mana di awalnya.

Kami mula menempuhi kawasan yang kurang mendapat naungan. Walaupun begitu, cuaca yang agak suram dengan awan tebal menghalang panahan cahaya matahari terik daripada menyengat perit kulit yang tidak berlitup. Cahaya matahari mungkin berfungsi sebagai penjana kehidupan tetapi ia juga boleh memudaratkan. Pendedahan terlampau terhadap gelombang ultra-ungunya boleh mengakibatkan kanser kulit kepada manusia.

Laluan yang kami tempuhi juga turut berubah dengan peningkatan ketinggian. Tiada lagi tanah kuning merah yang menjadi tempat akar pepohon tinggi memegang erat. Kini, batu-batan dan pasir menghiasi laluan yang kami lewati. Kepelbagaian biologi turut berubah secara mendadak. Jumlah spesis flora yang meliputi permukaan bumi menyusut. Hanya tumbuhan kecil serta pepohon kayu, seakan Baeckea frustescens, mendominasi landskap semulajadi yang kami jejaki. Karakter fizikalnya memang mencuri perhatian, persis bonsai yang bernilai tinggi. Kecantikan yang dikagumi manusia sejak ribuan tahun.

Kemudian, kami duduk di atas batu di puncak bukit. Kelihatan, nun jauh di Timur, kawasan tanah tinggi dengan bukit batu berflora menghijau yang rupanya agak sama dengan kawasan yang kami jelajahi. Kami juga dapat menyaksikan pemandangan Empangan Klang Gate dengan tasiknya yang berkelok-kelok dan airnya bergenang tenang. Di samping itu, kawasan sekeliling tasik buatan manusia tersebut dilatari indah hutan Dipterokap tanah rendah yang kehijauannya sering menenangkan fikiran dan menyejukkan pandangan. Empangan Klang Gate yang diairi oleh Sungai Kelang mula beroperasi sejak 1958 untuk membekalkan air kepada jutaan warga kotaraya.

Sungai Kelang merupakan antara dua sungai utama yang menjadi mercu tanda Kuala Lumpur termasuk Sungai Gombak. Walaupun begitu, alirannya yang berwarna teh tarik yang mengilir di tengah-tengah ibunegara Malaysia itu telah lama tercemar. Sungai yang mengalir jernih di sebelah hulu itu, menerima ‘hadiah’ kira-kira 100 ton sampah sehari yang bersamaan dengan sepuluh lori. Sekiranya hari hujan, alirannya akan menampung kira-kira 300 ton pula. Kerajaan juga terpaksa berbelanja besar untuk membersih dan membuang kelodak dari sungai itu. Begitulah statistik bagi sebatang sungai yang diberi tahap tercemar yang bersamaan dengan Gred 4.

Pemandangan yang dapat kami saksikan dari tempat kami duduk berihat sememangnya hebat dan memikat. Puncak-puncak bukit batu dengan tasik buatan manusia yang terhasil daripada aliran Sungai Kelang yang diempang. Banjaran gunung yang membentuk tulang belakang Semenanjung, iaitu Banjaran Titiwangsa. Tanah pamah yang bersulamkan tompokan hutan menghijau yang sering menjadi buruan pendaki untuk dijelajahi. Keindahannya sukar digambarkan dengan kata-kata. Cuaca pula tidak terlalu panas dengan awan putih dan kelabu menghiasi langit, tanda-tanda yang hujan akan turun. Angin sepoi-sepoi menghembus lembut menyegarkan udara yang kami hirup tanpa rasa jemu.

Kami angkat kaki selepas peluh mula mengering dan tenaga beransur-ansur terbina kembali. Kami berjalan sambil menikmati pemandangan kiri kanan yang indah dan mengujakan. Suatu pengalaman yang cukup berbeza. Tidak seperti mana yang biasa saya alami tatkala menempuhi denai hutan tebal ke puncak-puncak gunung yang tinggi. Di mana flora menghijau tumbuh rapat mengekang pandangan sekeliling. Di sini segala-galanya terserlah meriah.

Kami turut menuruni cerun dan tebing berbatu yang memerlukan konsentrasi untuk dilepasi. Kaki memijak kemas dan jari-jemari mencengkam erat permukaan berbatu yang kesat. Kealpaan boleh mengundang kecelakaan. Kesilapan boleh menghumban pendaki jauh ke dalam jurang yang dalam. Walaupun perasaan takut menghimpit diri namun keterujaan menghadapi cabaran mengatasi segala-segalanya. Keindahan dan keunikan kawasan berbukit yang kami tempuhi ternyata berbaloi dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi.

Pepohon ala bonsai, seakan-akan Baeckea frutesecens, terus-menerus mendominasi trek yang kami tempuhi. Di sebalik buminya yang tandus yang hanya bertatahkan batu-batan dan butiran halus pasir, masih ada spesis flora yang mampu bertahan. Begitulah indah dan ajaibnya ciptaan Tuhan bagi pepohon berkayu yang melatari kawasan berbukit yang kami jelajahi. Malangnya, di beberapa lokasi, masalah vandalisme jelas kelihatan. Tulisan grafiti dengan pelbagai warna yang menyakitkan mata dan mencacatkan pemandangan terpaksa kami tatapi.

Bukit Tabur, yang mengunjur dari Taman Melawati sehingga ke Zoo Negara, merupakan sebahagian daripada Rabung Klang Gate. Rabung yang kelihatan dari jauh seakan-akan bukit batu kapur itu sebenarnya terbina daripada partikel kuarza. Kuarza merupakan mineral yang biasa dijumpai, sejenis silika yang menjadi bahan asas dalam pembuatan kaca. Rabung Klang Gate dianggarkan sepanjang 16 kilometer dengan ketinggian purata 60 meter. Rabung ini juga dianggap sebagai rabung kuarza terpanjang di dunia.

Tali nilon turut dipasang di tebing curam yang sukar dituruni dan didaki. Ada ketikanya, kaki ini terjuntai-juntai mencari tempat berpijak. Tangan kanan saya yang baru pulih dari kecederaan masih terasa sakitnya ketika berpaut erat dan melonjakkan diri untuk melepasi halangan-halangan yang berbatu kesat. Batu-batu kuarza yang berwarna kelabu dan putih memancar indah apabila disimbahi sinar mentari.

Kami terus berjalan naik dan turun trek kering yang berpasir dan berbatu itu. Kadang-kala, kepenatan yang terlampau memaksa kami berhenti untuk melepaskan lelah. Peluh pula tidak henti-henti membasahi tubuh yang terpaksa bekerja keras untuk sekian lamanya. Kaki kemudiannya menempuhi kawasan yang redup dengan pepohon ala bonsai. Permukaan kami berpijak pula kadang-kala berselimutkan lumut yang terhampar hijau. Unik, indah dan mempesonakan untuk persekitaran yang hampir kering kontang bagi satu hidupan yang amat bergantung pada kelembapan.

Pemandangan berikutnya yang dapat kami saksikan adalah kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan blok bangunannya yang berbumbung biru. Manakala terletak agak berhampiran adalah,. jalanraya yang membentuk Lebuhraya Karak. Nadi perhubungan utama antara Pantai Barat dengan Pantai Timur Semenanjung. Karak merupakan lebuhraya dua hala dua lorong yang dinaik-taraf kepada dua hala enam lorong kira-kira sepuluh tahun lalu. Sepertimana dari mula kami mengatur langkah, sayup-sayup kedengaran deruan enjin kenderaan bermotor memecah keheningan dunia indah yang penuh dengan ketenangan dan keindahan.

Pada pukul 12.45 tengahari, setelah menempuhi laluan berliku dan mencabar selama hampir tiga jam, perjalanan kami pun tiba di klimaksnya. Kami terduduk keletihan di bawah pepohon ala bonsai yang menaungi redup dengan permukaan buminya yang sedikit menghijau dengan tompokan-tompokan lumut. Kami duduk sambil menikmati bekalan berupa minuman penghilang kehausan dan makanan penjana kekenyangan serta kekuatan badan.

Agak lama juga kami duduk bersantai di situ. Beberapa minit kemudian, azan menandakan masuknya waktu solat Zuhur kedengaran berkumandang dari corong-corong pembesar suara masjid berhampiran. Satu melodi indah yang mengingatkan kita tentang betapa berkuasanya Tuhan yang Maha Esa. Tuhan yang menciptakan alam indah ini untuk kita semua menfaatkan bersama.

Panorama kotaraya Kuala Lumpur dengan bangunan pencakar langitnya samar-samar kelihatan dek dikaburi lapisan jerebu putih. Antara bangunan menceracak yang dapat kami saksikan yang sering menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar Negara adalah Menara Berkembar Petronas (KLCC). KLCC, dengan ketinggian 452 meter dan siap sepenuhnya pada tahun 1997, merupakan antara bangunan dunia tertinggi.

Pada pukul 2.30 petang, kami beransur-ansur meninggalkan bahagian Barat Bukit Tabur. Kami menempuhi kembali tempat yang kami daki tadi tetapi hanya untuk seketika. Perjalanan berikutnya adalah melalui cerun curam yang tidak kami lewati sebelum ini. Kami menempuhi kawasan yang subur dengan pokok renek dan rumput liar yang tinggi. Kawasan batu kuarza perlahan-lahan kami tinggalkan.

Berikutnya kami menempuhi kawasan dusun yang subur dengan pepohon cempedak, durian dan rambutan. Pepohon dokong, limau dan pulasan turut menyuburi kawasan. Kami mengambil masa hampir sejam untuk tiba di tempat permulaan pengembaraan yang sangat menyeronokkan. Kemudian, kami memilih haluan yang berlainan untuk pulang ke tempat masing-masing. Mungkin di lain masa, mungkin di lain ketika, kami diketemukan kembali untuk mengembara di kawasan tanah tinggi yang lain pula. Kerana, bagi kami, tiada erti berihat panjang dalam kamus pendaki-pendaki.

« Older entries