Suku ~ KOSMO 09 Sept 2006

Menurut catatan sejarah, Cameron Highland diterokai buat kali pertamanya oleh William Cameron pada 1885. Nama beliau, iaitu Cameron, telah diabadikan di kawasan tanah tinggi itu yang terletak di belantara Pahang, negeri terbesar di Semenanjung. Lebih sekurun telah berlalu, namun Cameron Highland masih menjadi destinasi pelancongan tanah tinggi yang cukup popular di Negara ini.

Kami meninggalkan bandaraya Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam. Kami meninggalkan hiruk-pikuk kotaraya menuju ke Lebuhraya Utara-Selatan, nadi utama laluan pengangkutan darat di Semenanjung. Kami kemudiannya berhenti di Hentian Rawang. Kawasan tersebut sibuk dan penuh sesak dengan pengguna-pengguna lebuhraya, seperti kami.

Kami menyertai empat lagi rakan yang tiba beberapa minit lebih awal. Sambil makan dan minum, kami berbincang tentang rancangan untuk mendaki Gunung Tangga di Cameron Highland. Kami berhenti agak lama juga sebelum meneruskan perjalanan yang belum tiba di penghujungnya. Selepas menempuh perjalanan selama melebihi sejam, kami berhenti untuk kali keduanya di Hentian Tapah.

Kami tidak berhenti lama, hanya sekadar untuk mengisi minyak. Perjalanan kemudiannya diteruskan. Sebaik sahaja tiba di susur keluar menuju Tapah dan Cameron Highland, kami meninggalkan Lebuhraya Utara-Selatan. Lebuhraya yang sebelum ini terang-benderang kini gelap-gulita tatkala kami mula memasuki jalan berliku-liku menuju tanah tinggi Cameron.

Jam di tangan saya menunjukkan pukul 4 pagi. Pada mulanya, hanya kenderaan kami yang sebanyak 3 buah membelah kegelapan malam menuju destinasi. Kemudian, saya memotong beberapa buah bas sekolah yang membawa rombongan entah dari mana. Sebenarnya, bukanlah menjadi sesuatu yang aneh melihat bas sekolah melalui jalanraya berliku menuju Cameron pada pagi Sabtu, seawal 4 atau 5 pagi.

Tepal pukul 6.00 pagi, kami selamat tiba di destinasi, iaitu Pos Brook. Pos Brook merupakan salah sebuah penempatan Orang Asli yang dibina berhampiran laluan Cameron Highland-Gua Musang. Kami memulakan perjalanan sebaik sahaja selepas menunaikan solat Fajar dan hari mula cerah. Saya dan Mahadzir mengetuai kumpulan kami yang seramai 13 orang.

Entah di mana silapnya, saya dan Mahadzir gagal mengesan tempat untuk memulakan pendakian. Puas kami mencuba, namun hanya kegagalan menyebelahi kami. Kami hilang punca dan akhirnya kami terpaksa mengaku kalah. Saya berasa amat kecewa dengan situasi tersebut. Tetapi, saya terpaksa pasrah dengan keadaan. Kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan.

Kami duduk berbincang untuk cuba meleraikan kekusutan tersebut. Apa yang pasti, rancangan untuk mendaki Gunung Tangga terpaksa dibatalkan. Tetapi, rancangan untuk mendaki harus direalisasikan. Setelah mendapat kata putus, kami mengubah haluan ke puncak Gunung Suku pula, yang terletak tidak jauh dari Pos Selim, yang dikenali di kalangan pendaki sebagai tempat permulaan untuk ke Gunung Chabang.

Tempat bermulanya mendaki Gunung Suku dikenalpasti dengan sebuah air terjun kecil yang terletak berhampiran jalanraya laluan Cameron Highland-Simpang Pulai. 4 rakan lain yang bersama-sama kami untuk menjejaki laluan ke puncak Gunung Tangga tidak turut serta. Yang tinggal hanyalah 9 pendaki yang datang dengan 2 kenderaan.

Kami memulakan pendakian pada pukul 11.30 pagi setelah mengemaskan peralatan yang perlu dibawa di sepanjang ekspedisi. Mahadzir dan 2 rakan lain yang pernah menjelajah laluan ke puncak Gunung Suku menjadi jurupandu jalan. Menurut beliau, trek tersebut mudah diikuti kerana tiada simpang-simpang yang mengelirukan. Cuma treknya curam dan licin.

Laluan yang kami tempuhi sungguh mencanak dari awal lagi. Pokok-pokok yang kami jumpai tidaklah setinggi sepertimana di hutan Dipterokap, hutan tanah rendah yang sinonim dengan pokok-pokok balak yang puluhan meter tingginya. Keadaan sekeliling kawasan yang kami daki sunyi dan sepi. Hanya kami yang seramai 9 orang berjalan perlahan-lahan mendaki laluan curam.

Kami berhenti berehat setelah berjalan kira-kira sejam. Pendakian tersebut amat memenatkan, namun setiap daripada kami masih mampu melemparkan senyuman dan bergurau-senda. Saya masih teringatkan kata-kata Mahadzir tatkala kami berbincang untuk mencari rancangan alternatif setelah gagal mencari punca untuk memulakan pendakian ke Gunung Tangga. Katanya, “…yang penting, memanjat!”

Kami berhenti agak lama juga sambil minum sedikit air bagi membasahkan tekak yang sekian lama kering. Lenguh juga lutut dibuatnya namun sepasang tongkat yang saya gunakan di sepanjang pendakian banyak membantu. Treking bertongkat atau treking ala Nordic bermula di kawasan Scandinavia di Eropah. Pada mulanya, tongkat itu hanya digunakan sebagai alat bantuan meluncur salji.

Penggunaan tongkat treking dengan cara yang betul mampu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh sendi lutut terutamanya ketika menuruni cerun curam. Pengalaman saya, terutamanya ketika treking di kawasan Himalaya Nepal, menjadikan penggunaan tongkat treking sebagai satu keperluan. Kini, saya sentiasa menggunakannya setiap kali treking.

Kami seterusnya menyambung pendakian. Keadaan tidak banyak berubah, kami terpaksa memerah keringat mengatur langkah menjejaki cerun yang mencanak. Hanya pada tempat-tempat tertentu kami menuruni cerun yang tidak curam mana. Kelegaan berjalan turun tersebut hanya bersifat sementara. Trek kemudiannya kembali curam, licin dan memenatkan.

Keheningan belantara yang kami jelajahi tiba-tiba dipecahkan oleh bunyi siamang (Hylobates syndactylus). Bunyi haiwan primat tersebut jelas kedengaran bersahut-sahutan. Siamang lebih suka menghabiskan masanya di dahan pokok-pokok tinggi dan jarang turun ke lantai hutan. Haiwan tersebut tergolong dalam kumpulan primat sepertimana orang hutan dan chimpanzi.

Ungka (Hylobates lar) pula kerap kedengaran sahutannya di hutan tanah rendah. Baik ungka maupun siamang, yang kedua-duanya tergolong dari genus yang sama, iaitu Hylobates, tidak diketahui keujudannya di kepulauan Borneo. Walaupun demikian, orang utan merupakan sejenis primat yang endemik kepada Borneo dan tidak hidup liar di sebelah Semenanjung.

Kami berhenti sekali lagi di satu puncak bukit selepas berjalan kira-kira sejam dari tempat kami berhenti berihat. Dari puncak tersebut, sayup-sayup kelihatan matlamat kami, iaitu puncak Gunung Suku yang berketinggian 5,894 kaki dari aras laut. Kadang-kala, puncak yang menjadi objektif itu kami hilang dari pandangan, ditenggelami kabus memutih yang tebal.

Kami kemudiannya menuruni lereng yang bercerunan sederhana. Kami berhenti di satu aliran air jernih yang mengalir dari celah-celah bukit. Itulah satu-satunya punca air yang ujud di sepanjang laluan Gunung Suku. Kami berhenti dan minum sepuas-puasnya. Bekas-bekas yang yang telah agak lama kering juga dipenuhi. Selepas itu, barulah kami meneruskan pendakian yang belum mencecah matlamatnya.

Beberapa minit kemudian kami melewati kawasan hutan lumut yang menghijau. Hutan lumut mudah dijumpai terutamanya di kawasan pergunungan G-7, puncak-puncak berketinggian melebihi 7,000 kaki. Pokok-pokoknya pula agak rendah dengan dahan dan ranting yang bengkang-bengkok, seperti dipulas-pulas. Keunikannya lebih terserlah dengan lumut hijau tumbuh dan menyelimuti pokok-pokok tersebut.

Agak lama juga kami menempuhi hutan lumut itu. Kadang kala, kami terpaksa melangkah dahan yang menghalang laluan. Pada masa-masa tertentu pula, kami terpaksa merangkak di celah-celah akar-akar pokok. Memang memenatkan tetapi bagi kami, ianya tetap menyeronokkan. Rumpun-rumpun buluh juga kerap menjadi batu penghalang kepada pergerakan.

Kami akhirnya tiba di puncak Gunung Suku tepat pukul 1.00 tengahari. Puncak tersebut sunyi dan sepi, tiada struktur besi penanda puncak atau beirut yang menyambut ketibaan kami. Malah, tidak ada tanda-tanda bahawa itulah puncak yang menjadi matlamat kami. Pada saya, perkara ini bukanlah sesuatu yang asing. Kesemua puncak G-7, yang berketinggian melebihi 7,000 kaki, tiada penanda puncak.

Hanya puncak tertinggi di Semenanjung, iaitu Gunung Tahan, telah dibina penanda puncak. Yang lain-lainnya, iaitu Korbu, Yong Belar, Gayong, Chamah, Yong Yap dan Ulu Sepat, sepi tanpa sebarang penanda. Walaupun demikian, kedudukan puncak-puncak yang terpencil itu dengan ketinggian melebihi 7,000 kaki menjanjikan cabaran yang cukup hebat kepada mana-mana pendaki.

Sukar melihat sekeliling dari puncak Gunung Suku yang berketinggian 5,984 kaki itu. Yang boleh dilihat dengan agak jelas adalah di sebelah laluan bertar yang menghubungkan Simpang Pulai di sebelah Perak dengan Cameron Highland di sebelah Pahang. Sukar dibayangkan apakah belantara tanah tinggi yang kami jelajahi ini akan kekal untuk generasi akan datang.

Terfikir juga di benak saya, adakah khazanah warisan berzaman, yang mencecah ratusan juta tahun ini akan dimamah arus pembangunan? Apa yang pasti, pembangunan pesat di tanah tinggi Cameron dan kawasan di sekitarnya menyumbang kepada kesan ekologi yang cukup membimbangkan. Kawasan tanah tinggi ini telah kehilangan terlalu banyak kawasan belantaranya.

Menurut Mahadzir, sekiranya cuaca baik, puncak Gunung Chabang boleh dilihat dari tempat kami berdiri. Tetapi kabus begitu tebal dan menghalang pandangan kami ke arah yang dimaksudkan. Kami pernah bersama-sama menjejaki puncak tersebut tahun lepas. Menurut rakan Mahadzir pula, ada trek yang menghubungkan Gunung Chabang dengan Gunung Irau.

Kami berihat-rihat sambil makan minum di puncak. Kami kemudiannya membaringkan badan yang kelesuan setelah mendaki berjam lamanya. Tidak sampai beberapa minit, rakan-rakan saya diulit mimpi indah sehingga ada yang tertidur hingga berdengkur. Cemburu juga saya dibuatnya. Walaupun memandu dari malam hingga ke siang dan kemudiannya mendaki, saya masih gagal melelapkan mata.

Agak lama juga saya menunggu untuk melelapkan mata namun saya gagal. Minda saya kemudiannya terhenti di Ye Olde Smoke House, sebuah hotel yang menjadi mercu tanda Cameron Highland. Pada pandangan saya, hotel yang dibina bercirikan senibina Tudor itu sunggu cantik dan unik. Bangunan yang dibina pada 1937 itu adalah untuk pegawai Inggeris yang rindukan suasana desa England.

Masa terus berlalu dan rupa-rupanya kami telah bersantai di puncak Gunung Suku agak lama juga, iaitu lebih dari sejam. Kami kemudiannya mengemaskan peralatan dan mula bergerak turun pada pukul 3.30 petang. Kami menuruni cerun dengan pantas dan berhenti seketika di punca air yang baru kami lewati beberapa jam tadi. Keringat membasahi tubuh kami yang keletihan.

Perjalanan diteruskan dan kami menghadapi banyak masalah menuruni cerun curam dan licin. Hujan renyai-renyai yang turun sekejap-sekejap di sepanjang perjalanan dengan daun-daun yang jatuh berguguran yang menutupi laluan menghasilkan tempat berpijak yang cukup licin. Banyak kali juga saya dan rakan-rakan tangkap biawak, iaitu jatuh terlentang.

Kami terus menerus menuruni cerun curam dan licin. Jatuh dan bangun di sepanjang perjalanan menjadi asam garam ekspedisi Gunung Suku ini. Walaupun demikian, walau sesukar mana sekalipun, cabaran harus dihadapi dengan cekal dan sabar. Berkat kecekalan dan kesabaran, kami selamat tiba di kaki gunung pada pukul 6.00 petang.

Tiada yang lebih mengembirakan kami selain dari berjaya melepasi ekspedisi ini dengan selamat. Kegagalan bukan bererti berakhir segalanya. Kegagalan boleh menjadi titik tolak untuk menuju kejayaan dan kecemerlangan. Hasrat kami untuk mendaki Gunung Tangga mungkin tidak kesampaian tetapi dengan izin Tuhan, Gunung Suku pula menjadi gantian.

Kami kemudiannya membersihkan badan di bawah aliran air terjun kecil yang berhampiran. Seterusnya, tapak perkhemahan di Sungai Pauh, iaitu berhampiran Tanah Rata menjadi tujuan. Kami bermalam di situ sementara menunggu hari esok. Keesokan paginya, setelah selesai bersarapan dan mengemaskan peralatan, kami pun pulang dengan seribu kenangan.

1 Comment

  1. purplebutton said,

    March 23, 2010 at 11:45 am

    boleh tahu apakah persiapan yang boleh dibuat untuk yang pertama kali mendaki gunung untuk ke gunung Suku ni.
    Harap boleh kongsi. Terima kasih.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: