Ulu Pilah ~ KOSMO 07 Julai 2007

911 merupakan tiga angka ‘keramat’ di Amerika Syarikat. Manakan tidak, tiga angka itulah yang menjadi talian hayat di antara pasukan menyelamat dengan mangsa kecemasan. Di Negara ini pula, 911 merupakan ketinggian dalam meter gunung yang kami gapai di pedalaman Negeri Sembilan, negeri yang tersohor dengan Adat Perpatihnya. Berikut adalah catatan pengembaraan kami mendaki dan menuruni puncak Gunung Ulu Pilah yang berketinggian 911 meter itu.

Pagi Sabtu itu indah. Kami bertiga menempuhi lebuhraya Utara-Selatan dari kotaraya Kuala Lumpur. Kenderaan seterusnya membelok ke arah Senawang dan kemudiannya melalui jalanraya berliku ibarat ular kena palu menghala ke Kuala Pilah. Kawasan hutan berhampiran Bukit Putus yang dahulunya hijau dan tenang kini berubah wajah. Bukit bertarah dengan tebing konkrit sebagai ganti. Manakala jentera berat dan pekerja-pekerja bertungkus-lumus menyiapkan jalanraya baru untuk mengurangkan kesesakan yang tidak seberapa di jalan lama.

Kawasan pedalaman yang kami tempuhi kemudiannya kelihatan indah. Halaman rumah yang menghijau. Pepohon getah dan buahan menghias bumi. Begitu juga rumah-rumah yang sesetengahnya masih mengekalkan ciri-ciri tradisional ala-Minangkabau yang menghiasi kiri kanan jalanraya yang kami tempuhi. Kawasan desa masih mengekalkan karakter tenang dan indah yang berharmoni dengan alam. Kami juga melewati istana lama Seri Menanti yang kini dijadikan muzium diraja menghimpun artifak yang berkurun usia. Istana kayu yang tersergam indah tempat Yam Tuan terdahulu duduk bersemayam. Kini terjaga rapi menunggu kunjungan pelawat dari dalam dan luar negeri.

Kami meneruskan perjalanan dan kira-kira tujuh kilometer dari pekan Seri Menanti, kami berhenti di Kampung Ulu Pilah. Rakan-rakan yang puluhan orang jumlahnya dari SIRIM Berhad yang beribu-pejabat di Shah Alam, Selangor turut berada di situ. Bihun goreng enak jadi makanan dan teh panas jadi minuman. Kami berbual-bual sambil menikmati sajian. Kami semua hanya ada satu hasrat, satu semangat, dan satu tekad iaitu untuk menggapai puncak Gunung Ulu Pilah. Gunung yang terletak di hutan simpan Senaling-Inas.

Taklimat kemudiannya mengambil tempat diikuti dengan sesi regangan otot. Doa pelindung dari segala bencana dipohon dari yang Maha Esa. Seterusnya kami mengorak langkah untuk bermula. Jam di tangan menunjukkan ke pukul 10.30 pagi tatkala kami meniti batu-batu sungai yang alirannya cetek tetapi jernih. Kami juga melewati kawasan menghijau dengan rumput serta pepohon seperti durian dan getah dalam kedinginan pagi yang embunnya baru kering. Langkah kami kemudiannya terhenti di naungan pokok-pokok yang menjulang tinggi. Naungan yang menghasilkan kelembapan bandingan melebihi 80%.

Saya kira pepohon yang menaungi trek yang kami lewati adalah ara, Ficus sp. Ara, flora parasitik yang asalnya tumbuh menumpang di atas pokok-pokok yang tinggi. Lambat-laun, ara akan membentuk kanopi ekstensif yang bersaing untuk cahaya matahari sambil mencengkam erat pokok yang menjadi hosnya. Lambat laun, hos akan mati dan ara tumbuh secara bebas pada pokok yang kini tinggal rangka. Satu fenomena hidup dan mati tetapi masih mampu mengekalkan kesinambungan serta keseimbangan ekosistem yang ujud sejak jutaan tahun.

Kami tidak berhenti lama di situ dan meneruskan perjalanan selepas mengambil gambar kenangan. Keadaan trek turun naik dan agak lembap dek hujan yang kerap turun akhir-akhir ini. Langkah kami kemudiannya terhenti di cek poin satu di mana mengalir jernih jeram yang membentuk air terjun kecil bertingkat. Kejernihan dan kedinginan airnya memang menarik perhatian sehinggakan beberapa rakan berhenti untuk menghilangkan dahaga serta membasahkan muka. Walaupun demikian, saya dan sebahagian kecil rakan meninggalkan mereka untuk meneruskan perjalanan yang akan tamat entah bila.

Trek itu kemudiannya melalui lereng bukit yang berserakkan daun kering. Langkah kami tiba-tiba terhenti. Shah yang berada di hadapan tercegat berdiri sambil jarinya menuding ke arah sesuatu. Alangkah terkejutnya saya. Mata saya tertumpu pada lingkaran haiwan yang sering digeruni di hutan dan belukar iaitu ular sawa. Badannya kelabu berkilau dengan caletan hitam dan warna oren. Saiznya agak besar dengan panjangnya melebihi empat meter. Ular sawa (Phyton reticulatus) belum pernah saya temui di sepanjang penglibatan saya dengan aktiviti penjelajahan hutan dan pendakian gunung. Pertembungan manusia dengan spesis itu memang mengujudkan ketegangan. Saya, dengan gerak perlahan mengeluarkan kamera yang sering saya simpan dalam pek galas dan merakamkan sebanyak mungkin imej digital fauna tersebut.

Tiba-tiba seekor tikus besar melompat dan menyusup pantas ke dalam semak berhampiran. Rupa-rupanya sang ular sedang menghendap mamalia yang bakal menjadi santapannya. Reptilia itu kemudiannya membuka lingkaran badan dan menyusur masuk ke dalam lubang yang ditinggalkan si-tikus. Saya kemudiannya cepat-cepat meninggalkan tempat itu mengejar rakan-rakan yang berada jauh di hadapan. Kekagetan dan keterujaan masih mencengkam kami yang baru sahaja dikejutkan dengan kehadiran reptilia karnivor itu.

Kami juga terpaksa berhadapan dengan pokok dan dahan tumbang. Tebing-tebing curam dan licin juga tidak kurang memberikan cabaran. Kami terus berjalan melewati trek yang tidak pernah lekang dengan daun dan ranting mati. Flora seperti bemban dan rotan dengan onak mencengkan kuat serta bertam (Eugeissona brachystachys) yang lebat berbuah turut tumbuh subur di kiri kanan trek yang kami tempuhi. Keringat telah lama terpecah di dahi namun puncak yang ditujui masih belum menampakkan diri.

Kami yang bermandikan keringat terduduk keletihan di beberapa cek poin. Menurut jurupandu jalan, terdapat lima cek poin kesemuanya sehingga ke puncak Gunung Ulu Pilah. Kami duduk berbual sambil mulut mengunyah makanan dan disulam dengan minuman. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan setelah badan terasa sedikit selesa selepas berihat seketika.
Kami terus berjalan turun naik laluan yang boleh dikatakan tidak terlalu curam. Cuma lecaknya dan licinnya memberikan sedikit halangan dan cabaran. Kawasan yang tanahnya terdedah pula didominasi resam, Gleichenia truncata. Flora yang sering ditemui pendaki serta sinonim dengan belukar dan hutan sekunder. Flora yang tumbuh agresif dan padat serta sukar ditembusi pengembara belantara.

Kami akhirnya tiba di puncak Gunung Ulu Pilah pada pukul 1.30 tengahari. Hanya sebahagian kecil rakan bersama saya. Keadaan puncak yang terletak di tiga daerah iaitu Kuala Pilah, Rembau dan Tampin itu sepi tanpa penghuni. Tiada beirut penanda puncak menanti kami. Hanya papan tanda putih dengan tulisan merah cek poin nombor lima jadi pengganti. Manakala melodi riang-riang, cengkerik dan ungka memecahkan keheningan.

Saya mengamati kerimbunan dan kehijauan yang membentuk hutan hujan tropika itu. Hutan unik yang merangkumi hanya enam peratus dari kawasan daratan di planet ini. Kawasan yang dirangkuminya memang kecil tetapi ia menampung kehidupan kira-kira tiga perempat daripada jumlah spesis flora dan fauna yang ujud di muka bumi ini. Satu angka yang cukup besar untuk kawasan yang amat terhad yang diancam kepupusan. Sukar digambarkan apa yang akan berlaku kepada dunia ini yang diancam pemanasan global hasil dari penebangan hutan yang berterusan hingga mencecah 40 hektar atau 100 ekar seminit. Masih adakah lagi yang tinggal untuk generasi yang mendatang?

Tiada pemandangan indah yang dapat dinikmati di puncak yang berketinggian 911 meter atau 3,006 kaki itu. Pepohon hijau berketinggian melebihi 10 kaki masih memayungi dan mendominasi di tempat kami merehatkan diri. Begitu juga flora bersaiz sederhana seperti rotan memagari rapat sudut pandangan. Kami duduk menikmati makanan dan minuman sambil menunggu rakan-rakan lain tiba. Kesemua dari kami selamat tiba pada pukul 2.30 petang.

Saya dan beberapa rakan lain meninggalkan kawasan puncak pada pukul 2.40 petang selepas bergambar kenangan. Keringat telah lama mengering dari badan dan kepenatan telah lama menghilang. Sekiranya ketika mendaki kami bergerak perlahan, kini temponya ternyata berubah. Kami menuruni pantas denai dan lurah. Dek kerana kegopohan, hampir sahaja tindakan kami ini mengundang padah. Nasib baik tiada yang jatuh tersungkur dengan kecederaan parah.

Trek yang sarat dengan daun serta ranting mati itu kami turuni kemudiannya dengan hati-hati walaupun kepantasannya tidak kami kurangi. Namun ada juga yang jatuh terduduk kerana hilang kawalan menuruni trek yang tidak pernah kering. Perasaan berdebar-debar masih menghantui kami apabila menempuhi kawasan yang sebelum ini ular besar jadi penghuni. Kami melewati kawasan itu dengan hati-hati. Apabila pasti tiada kelibat ular yang menanti, kami angkat kaki dan terus cabut lari.

Kami terus berjalan turun dan langkah kami terhenti di cek poin satu. Beberapa rakan yang mendahului tatkala turun dari puncak kelihatan duduk berbual manakala ada juga yang sedang menikmati aliran sungai dan air terjunnya yang mengalir jernih, dingin serta menyegarkan. Kami singgah di situ untuk melepaskan lelah sambil meneguk air pembasah tekak. Kami kemudiannya meninggalkan mereka yang leka diulit kedinginan dan kesegaran air yang mengalir dari celah-celah bukit. Air kelas satu yang bebas pencemaran dan tidak perlukan sebarang bentuk rawatan.

Kira-kira pukul 4.00 petang, kami tiba di perkarangan Kampung Seri Pilah yang baru kami tinggalkan beberapa jam yang lalu. Alhamdulillah. Kami berjaya menamatkan ekspedisi ini dengan selamat. Setelah keringat di tubuh mula menyejat, kami turun ke anak sungai cetek tapi jernih untuk menkmati alirannya yang dingin lagi menyegarkan. Hilang segala lenguh sendi dan sakit badan.

Selepas mengenakan pakaian dan mendirikan solat, kami terus duduk menghadapi hidangan. Hidangan tradisional Negeri Sembilan yang tidak lain dan tidak bukan adalah masak lemak cili api. Hirisan daging salai dengan terung kecil dimasak sedemikian. Tidak ketinggalan nanas masak lemak dengan ikan kering. Minumannya juga tidak kurang hebatnya, cendol sejuk yang menyegarkan badan.

Kami kemudiannya meninggalkan rakan-rakan dari SIRIM Berhad yang pulang kemudian. Kepulangan kami bukan buat selamanya. Jika diizinkan Tuhan, kami akan datang lagi kerana masih banyak puncak berhampiran yang harus kami daki. Puncak-puncak yang tidak pernah jemu menunggu insan-insan seperti kami yang dipanggil pendaki.

1 Comment


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: