Tangga ~ KOSMO 20 Jan 2007

Kegelisahan masih membelenggu diri saya setiap kali membicarakan tentang Gunung Tangga. Manakan tidak, telah tiga kali percubaan saya untuk menjejaki laluan ke puncaknya menemui kegagalan. Kini saya datang lagi untuk mempertaruhkan nasib buat kali keempat, dengan harapan kejayaan menjadi milik saya khasnya, dan rakan-rakan pendaki lain amnya. Mungkin harapan ini lebih tinggi dari puncak gunung yang ingin digapai itu sendiri.

Segalanya bermula pada pukul 11.00 pagi berhampiran Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, sebuah penempatan orang asli di jajahan Gua Musang, Kelantan. Kami mengorak langkah dengan berjalan menyusuri jalanraya bitumen yang menghubungkan Cameron Highland di sebelah Pahang dan Gua Musang di sebelah Kelantan. Kami seterusnya mendaki kawasan curam melalui struktur konkrit parit penyalir air hujan sebelum berjalan melewati laluan balak.

Laluan balak yang kami tempuhi agak becak dan licin dek hujan yang kerap melanda seluruh Negara sejak berbulan lamanya. Kami juga melintasi titian kayu dan buluh. Laluan balak itu beransur-ansur mengecil dan kami kemudiannya berjalan di lereng bukit yang banyak disuburi flora seperti pisang hutan dan rumpun buluh. Pada pukul 12.40 tengahari kami berhenti di sebuah kawasan berpasir yang lapang dan rata yang diairi sebatang anak sungai yang cetek.

Kami mengeluarkan makanan mentah dan peralatan memasak sambil duduk berihat. Beberapa rakan bertungkus-lumus menyediakan makan tengahari. Kira-kira setengah jam kemudian, kami sama-sama menikmati bihun goreng lazat sambil berborak-borak kosong. Solat jamak Zuhur Asar kami dirikan. Peralatan kami kemaskan dan pada pukul 3.00 petang, perjalanan kami teruskan.

Pokok orkid liar dengan bunga-bunga cerah yang kembang mekar menambahkan lagi kecerian hijau hutan hujan tropika yang kami tempuhi. Orkid buluh, iaitu Arundina graminifolia, antara orkid liar yang dapat dilihat dengan bentuk dan warnanya yang memukau. Walaupun demikian, saya ragu-ragu berapa lama lagi warna-warna indah kehidupan itu akan kekal untuk generasi akan datang. Kurang enam peratus kawasan daratan di bumi ini masih diliputi hutan hujan tropika dan saban hari, saiz ini makin mengecil.

Trek tersebut kemudiannya membawa kami ke pinggir air terjun yang mengalir agak lesu. Kami juga melewati anak sungai dan melintas jeram. Bekas-bekas air kemudiannya diisi memandangkan tiada punca air di sepanjang perjalanan ke puncak yang bakal kami tempuhi.

Kami kemudiannya tiba di kawasan yang banyak ditumbuhi bunga pakma, atau Rafflesia. Bunga unik ini sememangnya menarik minat pencinta alam. Spesis yang tergolong sebagai bunga terbesar di dunia ini merupakan hidupan parasit yang hanya tumbuh pada tumbuhan menjalar dari famili Tetrastigma. Pokok anggur juga tergolong di bawah famili itu. Rafflesia merupakan tumbuhan aneh tanpa daun dan batang manakala pergantungannya yang hanya pada batang Tetrastigma merupakan satu misteri kepada pakar botani hingga kini.

Rafflesia mendapat nama dari seorang pentadbir kerajaan British di zaman kolonial, Thomas Stamford Raffles. Bunga terbesar di dunia pula adalah Rafflesia arnoldii, yang dijumpai buat pertama kalinya oleh petunjuk jalan yang bekerja dnegan seorang pakar sains British, Dr. Joseph Arnold, di kepulauan Sumatera pada 1818. Bunga tersebut sememangnya wajar dinobatkan dalam dunia botani kerana diameternya melebihi 1 meter atau melebihi tiga kaki.

Agak lama juga kami berada di kawasan tersebut untuk mencari bunga yang sedang mengelopak. Namun, kami berasa kecewa kerana tiada bunga Rafflesia yang kembang mekar. Kalau yang ada pun, ia telah lama layu dan mati. Kami juga menemui kudup bunga yang sesetengahnya besar sedikit dari penumbuk lelaki dewasa. Kudup bersaiz demikian mengambil masa kira-kira 9 bulan untuk mengelopak.

Petunjuk jalan kami, iaitu seorang lelaki orang asli separuh umur menakek batang-batang pokok sebagai panduan. Beliau juga mencantas duri rotan, ranting dan anak-anak pokok. Turut bersama beliau adalah seorang anak lelaki dan rakan yang hampir seusia dengan beliau. Ketiga-tiga mereka berasal dari Pos Brooke.

Kawasan yang jarang-jarang menerima kunjungan manusia itu amat curam, licin dan sukar dijejaki treknya dek semak-samun yang tumbuh subur. Kami terpaksa berjalan perlahan-lahan menongkah bukit curam sambil menggalas beg berat. Sejam kemudian, kami berhenti berhampiran pokok yang banirnya amat besar.

Hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Selepas itu, kami mengorak langkah meneruskan perjalanan melalui laluan yang tidak banyak berubah karakter fizikalnya; licin, curam dan menyukarkan pergerakan. Laluan juga terhalang oleh pokok tumbang, dahan patah yang menyembah bumi dan anak-anak pokok. Kadang-kala kami tersasar arah kerana sukar menjejaki laluan sebenar.

Keringat mambasahi tubuh, badan terasa begitu letih dan lutut dirasakan begitu lemah. Namun perjuangan masih jauh dari selesai. Kadang-kala saya berhenti sekejap-sekejap untuk mengurangkan kepenatan. Keadaan fizikal saya yang dibelenggu batuk dan selsema akhir-akhir ini memburukkan lagi keadaan yang serba sukar itu.

Lebih sejam selepas meninggalkan kawasan bunga pakma, barulah kami berpeluang menuruni cerun. Namun itu hanyalah sementara sebelum kami terpaksa mendaki semula. Keadaan trek yang naik dan turun itu silih berganti tetapi kecerunan tidaklah sehebat di peringkat awal pendakian.

Hujan turun dengan lebatnya dan tidak sampai beberapa minit kami basah kuyup. Suhu sejuk tanah tinggi dengan tubuh basah kuyup ditimpa hujan menambahkan lagi kesengsaraan, menyebabkan kami kerap menggigil kesejukan. Malam mula berlabuh dan tiada tanda-tanda hujan akan berhenti. Kami terus menerus berjalan dan berhenti sekejap- kejap untuk melepaskan lelah. Namun demikian, jika berhenti terlalu lama, badan yang terasa hangat sedikit tadi akan cepat kehilangan habanya dan kami akan kembali menggeletar diburu kesejukan yang amat sangat.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah keadaan kami. Air hujan yang mengalir turun menyebabkan trek tempat kami berpijak begitu lecak dan licin. Kami hampir-hampir sahaja gagal meneruskan pendakian kerana setiap kali kami cuba untuk melangkah ke hadapan, setiap kali itulah kami tergelonsor dan jatuh bergelumang dengan selut hitam.

Namun, saya dan dua rakan lain, Jay dan Pisang, menarik nafas lega apabila kami terlihat lampu gas yang terpasang di tapak perkhemahan. Kini, azab menempuh kegelapan malam dalam hujan lebat berakhir. Beg galas ditanggalkan dari badan. Kami menanggalkan pakaian basah, serta menggantikannya dengan yang kering dan selesa. Tibalah masanya untuk berhenti rihat sementara menunggu hari esok. Kerana esok masih ada untuk menghadapi pengembaraan yang belum menemui tanda noktahnya.

Makan malamnya cukup hebat. Udang tempura, ayam masak merah, kari sardin dan sup sayur campur merupakan menu makan malam kami. Tahniah kepada para tukang masak yang bertungkus lumus di dapur untuk menyediakan sajian yang hebat sehinggakan kami semua tidur kekenyangan sambil dibuai mimpi indah!

Keesokan harinya, kami bermula agak lewat, iaitu kira-kira pada pukul 11.00 pagi. Kami naik dan turun bukit silih berganti menempuh trek berliku yang melalui hutan montane. Kebanyakan pokok dan tumbuhan di paras melebihi 6,000 kaki itu diselaputi lumut dan tidak salah jika hutan dingin dan berkabus itu diberi jolokan hutan lumut. Trek tanah gambut yang sinonim dengan hutan tanah tinggi itu kami jejaki dengan berhati-hati kerana lecak dan licin.

Kami terjumpa dengan tompokan-tompokan najis gajah di pertengahan laluan ke puncak. Sungguh mengagumkan. Mamalia terbesar Negara yang sesetengahnya seberat melebihi satu tan mampu menerobos kawasan tanah tinggi yang menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia, iaitu Banjaran Titiwangsa.

Sejam setengah selepas meninggalkan tapak perkhemahan, saya dan dua rakan lain selamat tiba di puncak Gunung Tangga. Beberapa rakan yang mendahului kumpulan kami tiba lebih awal. Saya berasa amat gembira dan teruja kerana berjaya juga menjejakkan kaki di puncak berketinggian 6,609 kaki itu. Kejayaan itu amat bermakna bagi saya dan Jay kerana kami telah gagal untuk menakluki Gunung Tangga dalam tiga percubaan lepas.

Namun begitu, tiada pemandangan dari puncak yang dapat kami nikmati kerana tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok berketinggian sederhana tumbuh memagari kawasan puncak. Nepenthes spp. dan Rhododendron spp. merupakan antara flora yang tumbuh subur. Kami kemudiannya menikmati makanan dan minuman ringan sambil duduk-duduk berihat. Seterusnya, kami beransur-ansur meninggalkan kawasan puncak selepas mengambil gambar kenangan.

Sejam kemudian, kami tiba di tapak perkhemahan. Kami mengemaskan kesemua peralatan dan pada pukul 3.00 petang, kami mula mengorak langkah menuruni cerun. Keadaan fizikal trek tidak banyak berubah, masih licin dan sukar. Berdasarkan kajian perubatan, lutut menerima tekanan tiga kali ganda berat badan seseorang tatkala menuruni cerun curam. Keadaan ini jadi bertambah buruk terutamanya pada diri saya yang menghadapi masalah osteoarthritis pada sendi lutut.

Saya mengambil masa hampir dua jam setengah untuk menuruni cerun curam tersebut sebelum tiba di kawasan bunga pakma. Seperti mana semalam, trek yang kami lalui dari tahap itu jadi lebih mudah. Kami juga meniti batu-batu dan mengharungi sejuk air sungai yang mengalir deras dan dingin sebelum tiba di kawasan lapang berpasir untuk berhenti rihat.

Kami berhenti di situ agak lama juga, iaitu kira-kira setengah jam. Saya menggunakan peluang itu untuk menunaikan solat jamak Zuhur Asar. Kami kemudiannya menyambung perjalanan pada pukul 6.20 petang, ketika hari beransur-ansur gelap dan hujan renyai-renyai mula turun kembali.

Kami bergerak pantas mengatur langkah turun naik lereng bukit yang berkecerunan sederhana. Beberapa minit kemudian, kami meniti titian buluh dan mula menempuh jalan balak yang masih lecak dan licin. Perjalanan kami tidaklah sesukar semalam kerana kami lebih banyak menuruni dari mendaki. Kami juga melintasi satu, dua lagi titian kayu yang merentangi tanah merekah yang teruk dimamah hakisan.

Pada pukul 7.40 malam, saya, Dabom dan Jay, selamat tiba di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke. Alhamdulillah, kami berasa gembira sekali kerana pengembaraan penuh cabaran ini tiba juga akhirnya, di garisan penamatnya. Sesungguhnya kegagalan lepas banyak membentuk manusia untuk menjadi insan yang lebih sempurna. Tiada pengganti yang lebih baik untuk sesuatu kegagalan melainkan kejayaan manis yang dapat dicipta.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: