Stong Somalian ~ KOSMO 05 Jun 2006

Telah sekian lama saya impikan untuk menjejaki laluan alternatif ke Puncak Gunung, di Kelantan. Hasil tinjauan dan rujukan yang saya buat, saya berpeluang menghubungi Encik Rosli. Beliau kemudiannya bersetuju untuk memandu kami melalui pengembaraan yang penuh cabaran yang sukar dilupakan.

Perjalanannya sangat panjang, mencecah 10 jam, dan mungkin mencakupi lebih dari setengah Semenanjung Malaysia. Kami menempuhi negeri-negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Tepat pukul 6.00 pagi, setelah berkeretapi dari stesen KL Sentral, kami turun di stesen Dabong, Kelantan.

Hari masih gelap dan keadaan sunyi sepi. Kedinginan angin pagi mencengkam tubuh, sejuk tetapi menyegarkan. Kami kemudiannya bersarapan pagi selepas menunaikan solat Fajar. Seterusnya menaiki bot dan menyeberangi Sungai Galas yang berwarna teh tarik.

Kami kemudiannya menaiki van dan kereta sewa sebelum menaiki kenderaan pacuan emppat roda. Setengah jam kemudian, kenderaan tersebut berhenti di sebuah jambatan kayu. Beg-beg galas yang besar lagi berat dipunggah keluar. Kami mengemaskan peralatan untuk kegunaan di sepanjang ekspedisi.

Pukul 10.00 pagi, ketika panas terik matahari yang menyengit mula membakar kulit, kami memulakan perjalanan. Kami menyusuri tebing sungai yang mengalir di celah-celah hutan sekunder. Tidak sampai pun beberapa minit bergerak, terdengar jeritan daripada rakan-rakan yang berjalan di hadapan.

Rupa-rupanya seekor ular yang panjangnya hamper-hampir semeter melintas pantas. Pertembungan 2 spesis, iaitu sang ular dan kami manusia, telah mencetuskan kepanikan. Masing-masing menjadi tidak tentu arah dan kelam-kabut meninggalkan kawasan tersebut.

Kami terpaksa menempuh kawasan yang tiada kelihatan denai hutan seperti yang biasa ditemui di tempat lain. Saya berasa kagum kerana Rosli masih mampu mengimbas memori beliau untuk memilih arah yang betul. Pendakian ke puncak Gunung Stong melalui laluan Somalian jarang-jarang dilakukan.

Rosli juga terpaksa menebas dan mencantas. Kami juga tidak boleh berada terlalu jauh di antara satu sama lain untuk mengelakkan dari tersesat. Ada ketikanya kami menemui semula denai hutan dan tiba-tiba ia hilang ditelan kehijauan tumbuhan yang tumbuh marak.

Kami juga meredah anak-anak sungai. Ada rakan-rakan yang jatuh tergelincir ketika berpijak pada batu-batu sungai yang berlumut dan licin. Kami menongkah bukit curam lagi licin yang menyukarkan pendakian. Kami juga terpaksa berhadapan dengan halangan ditumbuhi subur rumpun-rumpun buluh.

Kami seterusnya berhenti berhampiran air terjun kecil setelah berjalan selama 2 jam. Terjunannya membentuk jeram yang alirannya jernih dan cantik menawan. Kami berhenti untuk berehat dan makan minum. Ada juga rakan-rakan yang duduk berendam di dalam jeram yang sejuk menyegarkan.

Rosli membawa kami ke lokasi berhampiran perhentian kami. Kelihatan sekuntum bunga pakma yang belum kembang bergaris pusat 1 kaki. Pakma, atau nama botanikalnya Rafflesia spp. merupakan tumbuhan asli endemik kepada Malaysia, Borneo, Sumatera dan Borneo.

Rafflesia arnoldii yang bergarispusat melebehi 1 meter atau lebih dari 3 kaki, telah dinobatkan sebagai bunga terbesar di dunia. Bunga tersebut telah dijumpai di Sumatera pada kurun kesembilan belas. Namun demikian, saya berasa agak kecewa kerana bunga pakma yang kami jumpai masih lagi belum kembang.

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan. Bukit harus didaki, cerun curam dituruni. Semak samun perlu diredahi. Kadang kala kami terjumpa dengan tapak kaki dan najis binatang buas seperti gajah. Ada setengahnya bergarispusat 1 kaki dan ditakungi air hujan.

Hujan kemudiannya turun renyai-renyai. Kami seterusnya terpaksa mengharungi sungai yang kedalamnya mencecah dada. Kami berpaut pada akar kayu dan meniti batu-batu licin ke seberang. Alirannya agak deras tetapi selamat untuk diharungi. Kami menggigil kesejukan dalam air sungai yang sejuk seperti ais.

Beberapa kemudiannya terjun dan berenang-renang dalam lubuk berhampiran tempat kami menyeberang. Dasar lubuk tidak kelihatan, hitam pekat kerana terlalu dalam. Hujan renyai terus turun tanpa henti. Entah macamana saya terfikir untuk memanjangkan pandangan saya ke hulu sungai.

Saya memberitahu Rosli bahawa saya rasakan seolah-olah aliran air di sebelah hulu semakin besar. Rosli terus mengalihkan perhatiannya. Beliau terus menjerit, “Naik! Naik! Cepat!” Telahan saya benar belaka. Paras air sungai naik secara mendadak dan membahayakan kerana hujan turun tanpa henti.

Kami tanpa berfikir panjang terus melompat dan berlari ke kawasan yang lebih tinggi. Arus sungai yang tidak sampai 20 minit tadi kami harungi telah berubah wajah. Ganas dan menggerunkan. Batu-batu tempat kami berpijak tidak kelihatan. Segala-galanya berlaku begitu pantas.

Tiada siapa yang menduga insiden tersebut akan berlaku. Namun kami bersyukur semuanya selamat. Sekiranya ia berlaku ketika kami menyeberang, mungkin ada yang tenggelam. Mungkin juga ada yang menjadi mangsa dihanyutkan arus deras dan ekspedisi tersebut berakhir dengar tragedi.

Kami yang ketakutan dengan kejadian tersebut bergegas mengemaskan peralatan dan meninggalkan sungai yang sedang bergolak. Hujan kemudiannya reda dan kami akhirnya berhenti di sebuah tapak perkhemahan pada pukul 3.45 petang. Perjalanan hari pertama telah tiba di penghujungnya.

Tapak perkhemahan kami agak semak. Saya mengiyakan kata-kata Rosli. Laluan yang kami jejaki jarang digunakan orang. Anak-anak pokok dan tumbuhan renek mampu tumbuh semula selepas ditinggalkan pendaki. Tanpa tekanan berterusan, tumbuhan liar mudah pulih semula dengan pantas selepas dihenyak.

Berhampiran tapak perkhemahan ada air terjun yang lubuknya dalam. Menurut Rosli, jurupandu jalan yang mengiringi kami, kawasan itu dipanggil Batu Hampar kerana pantai batunya yang luas terhampar. Pemandangannya bukan sahaja indah tetapi unik, terletak di tengah-tengah hutan belantara yang jauh dari ketamadunan manusia.

Keesokan harinya, iaitu pada pukul 9.30 pagi, kami memulakan pendakian. Kami menyusuri tebing sungai. Lama-kelamaan keadaan flora berubah bentuk, kami menempuhi hutan gunung. Setelah agak lama berjalan, kami berhenti berhampiran aliran sungai kecil pada pukul 12.00 tengahari untuk berehat dan makan tengahari.

Kami kemudiannya menyambung perjalanan dengan mendaki bukit yang sederhana canaknya. Kami menemui banyak kawasan lapang di lereng-lereng bukit yang kami daki. Mungkin sesuai untuk tapak perkhemahan, saya memberitahu Rosli. Tetapi mengapa kawasan itu dipenuhi najis gajah kering?

Menurut Rosli, memang tidak salah untuk berkhemah di situ. Persoalannya, sanggupkah kami berkongsi dengan gajah? Rupa-rupanya kawasan itu lapang kerana dilenyek dan dijadikan stesen tempat berehat kawanan gajah liar. Berturutan dengan itu, kami berlalu dari kawasan tersebut senyap-senyap dan berhati-hati.

Laluan hutan montane yang kami tempuhi kemudiannya beransur-ansur rata. Tepat pukul 2.30 petang, setelah menempuh pelbagai dugaan, kami menjejakkan kaki di puncak Gunung Stong, gunung yang boleh didaki dan dituruni dalam masa sehari melalui laluan utama.

Puncak yang tingginya 1,422 meter itu adalah sempit dan tidak rata. Sukar melihat sekeliling kerana dilitupi pokok-pokok tanah tinggi seperti Leptospermum flavescens. Kabus juga tebal, udaranya dingin menyegarkan dan keadaan sekeliling begitu hening. Ketenangan ketika berada di puncak sukar diluahkan dengan kata-kata.

Kami tidak berada terlalu lama di puncak kerana hari makin lewat. Masih jauh lagi perjalanan yang harus ditempuh. Kami seterusnya meninggalkan kawasan puncak, berhati-hati menuruni laluan yang tidak terlalu curam tetapi banyak ditakungi air hujan. Tiada seorang pendaki lain pun yang kami temui di sepanjang laluan sejak semalam.

Saya, Cikgu Rosli dan Man Kecik tiba di tapak perkhemahan berhampiran persimpangan ke puncak Gunung Ayam 2 jam selepas meninggalkan puncak Gunung Stong. Di situlah tempat perhentian bagi kami berkumpul semula sebelum meneruskan perjalanan turun ke Kem Baha.

Saya berasa khuatir kerana beberapa rakan lambat tiba. Sebenarnya mereka mengiringi Bard yang sakit lutut dan terpaksa menuruni laluan perlahan-lahan. Kami kemudiannya mengambil kata putus untuk menyambung perjalanan setelah Bard berkata beliau masih mampu untuk meneruskan cabaran.

Hari semakin gelap ketika kami meninggalkan tempat berkumpul. Malangnya, lampu suluh yang berfungsi hanyalah 4 untuk kami yang bersebelas. Tanpa laluan yang disimbahi cahaya lampu suluh ditambah dengan langit yang gelap pekat, saya dan beberapa rakan lain terpaksa berjalan dalam keadaan yang sukar.

Kami juga terpaksa berhati-hati menyeberangi sungai dalam gelap. Lalun licin terus menerus kami turuni. Tiba-tiba saya rasakan yang kaki saya tidak lagi berpijak pada bumi nyata dan badan pula terasa terhimpit. Tanpa saya sedari, saya telah terjerumus ke dalam lubang yang agak sempit.

Sekiranya lubang itu luas, saya mungkin terperosok lebih jauh ke dalam. Saya kemudiannya berjaya keluar tanpa sebarang masalah. Hanya keyakinan diri dan fokus saya hilang untuk seketika. Namun saya bersyukur kerana tidak ada apa-apa yang tercedera, hanya kaki saya yang diselaputi selut lubang.

Kami kemudiannya menyambung perjalanan. Akhirnya setelah berjalan lebih dari 2 jam atau mungkin menghampiri 3 jam dari perhentian terakhir, kami selamat tiba di destinasi berikutnya,iaitu Kem Baha. Kami menarik nafas lega, tamat sudah pengembaraan hari kedua yang berlanjutan hingga waktu malam.

Keesokan paginya, kami bersidai di puncak air terjun Jelawang di Kem Baha untuk menikmati pemandangan fajar menyinsing. Tetapi kabus tebal berarak, jarak pemandangan hanyalah kira-kira 10 meter. Tiada yang kelihatan, kesemuanya samar-samar diseliputi kabus tebal yang memutih.

Kami kemudiannya menghabiskan masa mandi-manda dan berenang-renang di Kolam Puteri yang terletak berhampiran dengan Kem Baha. Sungguh seronok dapat bermain air dan bersantai, setidak-tidaknya dapat mengurangkan lenguh-lenguh badan selepas teruk berjalan kaki selama 2 hari.

Tepat pukul 4.00 petang, setelah mengemaskan peralatan dan mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan jurupandu jalan di Kem Baha, kami meninggalkan Hutan Jelawang. Kami terus berjalan menuruni jalan balak dan denai hutan tanpa henti selama hampir sejam.

Pada pukul 6.00 petang pula, van dan kereta sewa yang ditempah membawa kami ke jeti. Kami menyeberangi semula Sungai Galas seperti mana yang kami lakukan pada hari pertama ketibaan kami. Kami kemudiannya berjalan kaki ke stesen keretapi Dabong yang terletak hanya 5 minit dari jeti.

Kami makan besar di gerai berhampiran sementara menunggu keretapi tiba. Kami meninggalkan stesen Dabong pada pukul 8.30 malam. Pengembaraan kami mungkin penuh dengan pahit maung dan insiden yang mencemaskan tetapi ia tetap terpahat sebagai kenangan yang cukup manis lagi lagi segar dalam ingatan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: