Siku-Swettenham ~ KOSMO 24 Feb 2007

Jam di tangan saya menunjukkan ke pukul 10.00 pagi. Kami tiba di Cameron Highland pada pukul 4.00 pagi tadi dan kini mengatur langkah melewati jalan pacuan empat roda di Blue Valley. Blue Valley pernah tersenarai sebagai salah satu kawasan penanaman teh (Camelia chinensis) di Cameron Highland. Jalan berlopak dan berliku itu sebenarnya terhenti di tempat permulaan untuk mendaki Gunung Yong Belar (7,156 kaki). Puncak ketiga tertinggi Semenanjung Malaysia selepas Gunung Tahan (7,186 kaki) dan Gunung Korbu (7,162 kaki). Tetapi, kami tidak menempuh perjalanan sejauh itu tetapi sebaliknya melencong turun ke lorong sempit yang terhenti di sebatang jeram.

Kami meniti batang-batang kayu yang usang, berlumut dan licin yang merentangi aliran jeram yang deras dan jernih itu. Seterusnya kami menempuhi kawasan pertanian yang berteres. Hanya beberapa biji kobis kelihatan dengan helaian-helaian daun berlubang dimakan serangga. Lubang tersebut mungkin simtom serangan larva Plutella xylostella Linnaeus. Sejenis rama-rama yang menjadi perosak utama sayuran dari famili Brassicaceae seperti kobis, sawi dan brokoli.

Laluan tersebut membawa kami ke pinggir hutan. Kami kemudiannya menyambung perjalanan melalui denai hutan. Kawasan hutan yang kami tempuhi itu agak lembap, dingin dan berkabus. Trek yang kami lalui pula berkecerunan sederhana dan licin. Hutan tersebut kelihatannya juga sepi seolah-olah tanpa penghuni.

Kami berjalan dengan menggalas pek kecil yang berkapasiti tidak sampai 20 liter. Perjalanan naik ke puncak Gunung Siku dijangka berlarutan selama sejam setengah sehingga dua jam sahaja. Justeru itu, kami hanya berbekalkan sedikit makanan dan satu dua liter air minuman. Sebahagian besar peralatan perkhemahan kami tinggalkan di dalam kenderaan.

Kami terus menerus berjalan melalui trek yang tidak terlalu mencanak. Kabus nipis dengan cahaya siang yang suram menghadkan sedikit jarak penglihaytan. Tumbuhan liana juga berjuntaian dari pokok-pokok tinggi menghiasi hutan yang kami tempuhi.

Trek yang kami lewati seterusnya membawa kami bersebelahan batu-batu besar. Kawasan tersebut amat curam dan licin. Kami juga menempuhi hutan lumut yang menghijau yang mendominasi kebanyakan kawasan tanah tinggi yang kami lewati seperti di Cameron ini. Kami juga terpaksa merangkak dan meniarap di bawah akar dan batang pokok yang tumbuh merentangi trek. Sesetengah kawasan pula tumbuh subur rumpun buluh. Batang-batang buluh yang hanya sebesar jari kelengkeng itu memayungi rendah trek yang kami jelajahi. Akibatnya kami terpaksa berjalan terbongkok-bongkok dan terangkak-rangkak.

Kami akhirnya tiba di puncak Gunung Siku selepas menempuhi perjalanan selama sejam setengah. Ramai pendaki yangmendahului kami dari awal berada di puncak. Kami bersalam-salaman dan bertukar-tukar khabar. Keadaan di puncak juga meriah dengan gelak ketawa dan senda gurau. Satu senario yang lumrah di kalangan pendaki yang bertemu buat pertama kali.

Tidak banyak yang dapat dilihat dari puncak berketinggian 6,284 kaki itu. Pepohon hijau memagari sebahagian besar kawasan. Kabus tebal pula menghadang pandangan. Tumbuhan parasitik periuk kera dengan struktur berbentuk selinder pelbagai warna juga tumbuh subur. Kami perhatikan juga tiada beirut penanda puncak. Hanya sebatang besi berdiameter dua setengah inci jadi pengganti.

Keadaan di puncak mendung, berangin dan dingin. Dingin tetapi menyegarkan badan yang mula kering setelah puas bermandi keringat. Kami duduk berihat sambil berbual-bual. Makanan dan minuman dikongsi bersama. Sejam setelah berada di puncak, kami mula berjalan turun selepas bergambar kenangan.

Tanah tempat kami berpijak setengah selepas meninggalkan puncak agak peroi. Tanah seumpama itu memang bagus untuk pertumbuhan pokok dan bernilai tinggi kepada pengusaha nurseri tumbuhan ornamental. Tanah peroi membantu pengitaran lembapan dan nutrien kepada pokok. Namun begitu, tanah peroi yang kaya dengan bahan organik hasil pereputan bahan tumbuhan mati boleh mendatangkan musibah kepada pendaki seperti kami. Kami berhati-hati menuruni cerun seumpama itu kerana licin dan mudah tergelonsor.

Hutan yang kami tempuhi juga kaya dengan kepelbagaian flora yang sesetengahnya menghiasi persekitaran yang didiami manusia. Asplenium nidus merupakan satu contoh spesis hutan yang diusahakan secara komersil sebagai tumbuhan ornamental. Spesis epifit yang hidup melekat pada cabang pokok kayu itu sering dilihat di kawasan hutan baik di utara maupun selatan. Hutan yang senantiasa berkelembapan bandingan tinggi.

Kami menamatkan pengembaraan di sebelah laluan Gunung Siku selepas sejam setengah kemudian. Kami seterusnya berkereta ke sebuah pejabat Jabatan Perhutanan yang terletak di sempadan dua negeri di sebelah pantai timur Semenanjung, iaitu Pahang dan Kelantan. Matlamat kami selepas menuruni Gunung Siku adalah mendaki Gunung Swettenham pula.

Peralatan perkhemahan kami kemaskan. Puncak yang satu lagi jadi pertaruhan. Dahulu saya datang dengan pek kecil naik dan turun Gunung Swettenham pada hari yang sama. Kini saya datang lagi berbekalkan beg galas yang lebih besar untuk bermalam di pertengahan jalan. Bermalam sambil menikmati suasana tenang pergunungan yang tak mungkin luput dari ingatan.

Kami mula mengatur langkah pada pukul 3.20 petang. Suasana di perjalanan meriah dengan puluhan pendaki yang menyertai ekspedisi selepas sama-sama Gunung Siku ditakluki. Kami berjalan melalui laluan curam yang sebahagiannya dibina dari konkrit. Laluan sedemikian tidak ujud ketika kunjungan saya dan Mat Som buat julung-julung kalinya ke situ beberapa bulan lalu.

Tak sampai beberapa minit mengatur langkah kami terus bermandikan peluh. Hampir putus nafas kami dibuatnya menongkah laluan yang amat curam. Segala-galanya mudah tatkala datang treking dahulu tanpa menggalas beg galas berat yang mencengkam tubuh. Kini segala-galanya berubah. Nyaris-nyaris kami menyerah kalah. Namun kami tetap bertekad untuk menamatkan pengembaraan yang baru sahaja melepasi garisan permulaan.

Kami kemudiannya melencong kearah denai hutan 20 minit kemudian. Teringin juga meneruskan pendakian melalui jalan yang baru diteroka yang baru kami tinggalkan itu. Ke mana agaknya jalan itu menuju, fikir kami. Tetapi masa tidak mengizinkan kerana objektif kami adalah Gunung Swettenham dan bukannya melencong ke tempat lain. Biarkan sahaja kemusykilan itu bermain di minda.

Laluan di bawah pokok-pokok tinggi yang membentuk hutan itu beransur-ansur mudah. Kami mula meuruni cerun yang tidak terlalu membebankan pergerakan. Kemudian kami terpaksa mendaki semula tetapi tidaklah securam mana. Keadaan trek berubah-ubah mengikut alunan permukaan bumi yang kami tempuhi. Sekejap naik manakala sekejap turun.

Kami kemudiannya berhenti rihat selepas berjalan melebihi sejam. Gelak ketawa dan senda gurau yang kedengaran sebelum ini kini berganti dengan dengusan nafas kepenatan. Kami duduk-duduk sambil menghirup minuman dan menjamah sedikit makanan pengganti kalori yang telah lama kehabisan. Tatkala dibelenggu kepenatan tiada perkataan yang dituturkan. Hanya kesepian menjadi teman.

Kami menyambung perjalanan setengah jam kemudian. Badan yang mulanya letih kini terasa lebih segar selepas berihat singkat. Namun kami mula dicengkam keletihan setelah sekian lama menyambung perjalanan. Keringat terus membasahi tubuh. Trek berliku dan licin kami tempuhi. Matlamat kami belum lagi tercapai kerana masih jauh perjalanan yang harus dihadapi.

Hutan lumut hijau juga kami lewati. Pokok dan batang kayu tumbang yang menyembah bumi menjadi halangan yang terpaksa kami tempuh. Begitu juga pokok rotan. Durinya yang berjuntaian sering mengguris dan melukakan kulit yang terdedah. Namun sesetengah spesis rotan seperti manau bernilai komersil dan digunakan dalam pembuatan perabut bernilai tinggi.

Akhirnya kami tiba juga di punca air terakhir sebelum ke puncak. Sebuah kawasan rata untuk perkhemahan. Ramai juga rakan-rakan pendaki lain yang telah agak lama berhenti rihat di situ. Mereka hanya berhenti sebentar sebelum meneruskan fasa pendakian terakhir ke puncak. Manakala saya dan kira-kira 10 rakan lain mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di situ.

Kami kemudiannya menyediakan tempat untuk bermalam manakala sebahagian besar dari rakan-rakan menyambung perjalanan. Kedinginan dan ketenangan kami di situ tergugat oleh agas. Serangga penghisap darah itu membuatkan kami tidak keruan, tergaru-garu kegatalan. Beberapa spesis agas seperti dari genus Lutzomia dan Phlebotomus dikenalpasti sebagai vektor penyakit Leishmaniasis. Sejenis penyakit berpunca dari protozoa Leishmania spp. yang ujud di Amerika Latin dan Asia Barat. Sebanyak 30 daripada 500 spesis agas dikenalpasti sebagai vektor penyakit yang boleh membawa maut itu. Walaupun demikian, tiada laporan mengenai penyakit tersebut di Negara ini.

Keesokan harinya, kami menempuh perjalanan sejam ke puncak Gunung Swettenham yang berketinggian 6,434 kaki. Kami tidak tunggu lama di puncak yang berkabus dan bersuhu sejuk itu. Kami kemudiannya turun semula ke tapak perkhemahan beberapa minit kemudian.

Kami mengemaskan kesemua peralatan sebaik tiba. Sampah kami kumpulkan untuk dibawa turun. Pukul 12.30 tengahari, kami mulakan perjalanan untuk pulang. Kami menempuhi semula trek yang dilewati semalam. Hutan yang kami tempuhi dan tumpangi ditimpa hujan sepanjang malam tadi. Hanya baru pagi tadi hujan reda.

Kami berhenti rihat setelah agak lama berjalan turun naik trek yang licin. Kami tidak berhenti lama sebaliknya meneruskan perjalanan 15 minit berikutnya. Kami seterusnya menempuh kembali jalan balak yang didaki hingga terpercik keringat di dahi. Nun jauh di seberang kelihatan lebuhraya yang menghubungkan Cameron Highland dengan Gua Musang.

Tepat pukul 3.30 petang, dengan sampainya kami di pejabat Jabatan Perhutanan, tamatlah sudah satu lagi episod pengembaraan. Kami kemudiannya pulang ke Kuala Lumpur. Mungkin satu masa nanti, kami akan kembali lagi. Kembali untuk mendaki puncak-puncak lain yang sedia menanti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: