Rajah ~ KOSMO 02 April 2006

2 Mei 2004. 2 mati manakala 20 lagi cedera dipanah petir ketika berkhemah di puncak Gunung Rajah, di Bentong, Pahang. Begitulah sebahagian petikan akhbar mengenai satu kejadian tragis yang pernah mendapat liputan meluas di Negara ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua.

Berikutan dengan insiden tersebut, banyak kritikan dan saranan yang datang dari pelbagai pihak. Ada yang mencadangkan supaya pihak berkuasa memantau mereka yang terlibat dengan aktiviti pendakian. Tidak kurang juga yang meminta supaya aktiviti ini dihentikan buat sementara waktu.

Air Terjun Chamang, salah satu destinasi pelancongan di Pahang menyaksikan kedatangan 34 pendaki. Turut serta adalah 3 jurupandu jalan. Rob, selaku penyelaras program mendaki Gunung Rajah, memberikan taklimat ringkas. Pengembaraan kami bermula pada pukul 8.15 pagi.

Kami terpaksa berhempas pulas mendaki cerun yang cukup curam untuk kira-kira 10 minit pertama pendakian. Perjalanan kemudiannya menjadi lebih mudah. Kami menyusuri laluan yang pernah digunakan untuk kerja-kerja pembalakan. Keadaan jalan agak rata walaupun sedikit curam di beberapa tempat.

Jalan balak yang kami lalui agak lembap dan ditakungi air. Hujan kerap turun kebelakangan ini. Kami berhenti di satu persimpangan setelah berjalan selama sejam. Kami duduk berehat untuk 20 minit sebelum menyambung perjalanan ke destinasi berikutnya.

Orkid buluh,iaitu Arundina graminifolia, tumbuh subur di kiri kanan jalan balak balak yang kami tempuhi. Bunga orkid tersebut mempunyai warna dan bentuk yang menarik, persis Cattleya. Tidak seperti kebanyakan spesis orkid lain yang memerlukan naungan, orkid buluh tumbuh subur di kawasan yang disinari cahaya matahari.

Lama-kelamaan, jalan balak yang kami lalui mengecil. Semak-samun dan anak-anak pokok tumbuh subur di kiri kanan jalan. Kami kemudiannya mula menyusuri denai hutan di tebing bukit yang curam. Tepat pukul 11.00 pagi kami tiba di satu jeram yang dipanggil Kuala Sungai Chagar.

Kami tidak berhenti lama di kawasan itu. Kami meniti dan memanjat batu-batu sungai untuk ke seberang. Trek yang kami lalui kemudiannya melalui bongkah batu-batu besar. Keadaan trek beransur-ansur sukar didaki kerana mencanak. Balak dan pokok tumbang juga merentangi trek.

Destinasi berikutnya adalah Lata Naning. Kawasan ini cantik dengan jeram yang alirannya jernih. Aliran sungainya juga membentuk kolam cetek yang sederhana besarnya. Kami tiba pukul 12.05 tengahari. Kami mengambil kata sepakat untuk berehat-rehat sambil makan tengahari.

Tepat pukul 1.30 tengahari, saya dan beberapa rakan lain mula meninggalkan Lata Naning. Kami meniti batu-batu untuk ke seberang. Perjalanan seterusnya adalah melalui jeram yang telah lama kering. Yang tinggal hanyalah batu-batu sungai. Kami berjalan berpandukan batu-batu yang disusun bertingkat-tingkat.

Selepas itu kami menyusuri tebing sungai. Semakin jauh kami berjalan, semakin cantik sungai yang kami saksikan. Penataan cahayanya suram kerana kurang mendapat sinaran cahaya matahari. Batu-batu sungai kelihatan lembap dan menghijau ditumbuhi lumut. Indah sungguh ciptaan Tuhan.

Tumbuhan dari keluarga rumput, iaitu Graminae, juga tumbuh di atas dan celah-celah batu yang lembap. Sungainya mengalir agak perlahan. Saya tidak melepaskan peluang merakamkan pemandangan indah dan mempersonakan itu melalui lensa kamera digital yang saya bawa.

Kami juga menyeberangi anak-anak sungai yang mengalir lesu. Anak-anak sungai seumpama itu, yang mengalir jauh dalam hutan-hutan dara yang kami jelajahi, membentuk sungai dan air terjun besar seperti Air Terjun Chamang. Selepas itu saya kembali mendaki bukit curam.

Saya banyak berjalan seorang diri ketika itu. Keadaan sekeliling begitu hening. Saya rasakan seolah-olah hanya saya seorang sahaja yang berada di belantara itu. Sejam selepas meninggalkan Lata Naning, saya pun tiba di sebuah tapak perkhemahan berhampiran jeram.

Saya mengambil keputusan berhenti berehat dan minum. Saya juga mengisi bekas minuman yang telah lama kering. Tidak lama selepas itu, Makhdir dan Shah tiba. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan pada pukul 3.00 petang. Kami menempuhi beberapa tapak perkhemahan.

Pada pukul 4.00 petang, kami berhenti di satu kawasan yang agak lapang. Jurupandu jalan, iaitu Ujang, ada di situ. Saya bertanyakan mengenai banjaran gunung yang jelas kelihatan dari tempat kami berhenti. Menurut beliau, itulah objektif kami, iaitu puncak Gunung Rajah.

Ramai juga rakan-rakan yang berhenti di situ. Ada yang memanjat pokok untuk mengambil gambar berlatar belakangkan Gunung Rajah. Kadang-kala kabus bertiup dan puncak gunung yang bakal kami takluki hilang dari pandangan. Kami kemudiannya menyambung perjalanan yang masih jauh.

Kami menuruni laluan curam beberapa minit selepas menyambung perjalanan. Keadaan ini hanya sementara sahaja kerana selepas itu trek mula mencanak. Sudah agak lama kami berjalan di bawah hutan gunung. Tanah gambut mendominasi hutan yang kami jelajahi.

Tanah gambut adalah sinonim dengan hutan montane. Tanah gambut terhasil daripada pereputan bahan organan tumbuhan seperti daun dan kayu mati. Ianya mempunyai kadar kelembapan yang tinggi. Kadar keasidannya juga tinggi manakala tahap kesuburannya rendah.

Keadaan trek berikutannya begitu curam dan licin. Pergerakan kami jadi sukar dan lambat. Kami terpaksa berpaut pada tali dan akar-akar pokok. Keseluruhan tubuh badan kami diselaputi selut hitam tanah gambut. Saya terasa keletihan yang amat sangat memanjat tebing curam dengan menggalas beg berat.

Keadaan yang cukup mencabar ini dirasakan begitu lama, seperti tiada penghujungnya. Kami hanya mampu untuk mendaki beberapa meter sahaja untuk satu-satu masa sebelum terduduk tercungap-cungap. Kemudian kami berhenti di satu lereng bukit untuk mengambil air dan berehat.

Terdapat air terjun kecil berhampiran tempat kami berhenti. Terjunannya menghasilkan air yang berwarna sedikit berkarat seperti warna teh-o. Menurut jurupandu jalan, sumber air yang mengalir melalui tanah gambut hutan gunung itu adalah sumber terakhir sebelum meneruskan cabaran ke puncak.

Kami memenuhkan bekas-bekas kosong yang kami bawa. Bertambah beratlah beg yang bakal digalas. Saya sendiri mengambil kira-kira 3.5 liter air, jadi berat yang perlu dipikul bertambah sebanyak 3.5 kg. Kami kemudiannya meneruskan saki baki pendakian kerana hari hampir gelap.

Keadaan trek tidak securam ketika kami terpaksa mendaki ke punca air terakhir. Tetapi keadaannya tetap tidak berubah, lecak dan licin. Kami diberitahu bahawa kami akan tiba di destinasi terakhir untuk hari pertama kurang dari sejam. Namun akibat keletihan, ianya dirasakan masih jauh.

Setelah puas bergelumang dengan selut, setelah puas memecah keringat, dan setelah puas menongkah tebing curam, pada pukul 7.00 petang, saya pun mancecahkan kaki di puncak Gunung Rajah. Gunung yang tingginya 1,483 meter itu saya rasakan amat tenang dan sepi.

Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa mendinginkan kulit yang terdedah. Matahari hampir tenggelam di ufuk barat. Kabus menutupi pemandangan. Puncak Gunung Rajah kecil, tidak sampai pun 100 kaki persegi. Beberapa rakan pendaki telah tiba lebih awal.

Memandangkan jumlah yang mendaki ramai, kami tidak mempunyai banyak pilihan untuk tapak perkhemahan yang baik. Tapak yang dipilih oleh Saiful, salah seorang rakan yang tiba lebih awal, kurang selesa kerana kurang rata. Namun begitu, kami terpaksa berpuas hati dengan apa yang ada.

Hujan renyai kemudiannya turun membasahi bumi. Seorang demi seorang rakan yang lain tiba. Semua daripada kami selamat tiba pada pukul 10.00 malam. Tempat bermalam saya dan 3 rakan lain hanya berbumbungkan 2 helai tarpaulin yang setiap satunya berukuran 3 meter kali 3.5 meter.

Ada juga rakan-rakan yang bermalam dalam khemah. Kami berlindung daripada kedinginan udara puncak gunung dalam beg tidur tebal selepas makan malam. Kami yang terdiri daripada hampir 40 pendaki, terpaksa berasak-asak di kawasan puncak yang sempit.

Keesokan harinya, selepas solat Suboh, saya berdiri semula di puncak tertinggi Gunung Rajah. Udaranya terasa begitu menyegarkan walaupun kadang-kala saya menggigil kesejukan. Ufuk timur bertukar merah. Kabus tebal beransur-ansur hilang diikuti dengan pemandangan indah yang amat mempersonakan.

Saya dapat menyaksikan Taman Tema Genting Highland. Banjaran Titiwangsa yang membiru dan menghijau juga terhampar di depan mata. Ujang menunjukkan kepada saya Gunung Benom, puncak kesepuluh tertinggi di Semenanjung yang telah saya daki seminggu sebelum menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Pokok-pokok renek Rhododendron spp. dengan bunganya yang berwarna merah tumbuh subur di kawasan puncak. Pokok-pokok lain termasuklah Dacrydium comosum. Rata-rata tumbuhan periuk kera (Nepenthes spp.) yang dijumpai, dengan warna seperti merah samar dan hijau pucat, bersaiz kecil.

Saya dan rakan-rakan banyak mengambil gambar pemandangan dari puncak Gunung Rajah. Kami juga mengambil gambar kumpulan. Selepas itu, sarapan pagi dijamah. Seterusnya kami mengemaskan peralatan dan membersihkan tapak perkhemahan sebelum turun pada pukul 9.45 pagi.

Keadaan trek yang kami turuni tidak banyak berubah, lecak dan licin. Kami berasa lega kerana dapat melepasi halangan sukar dan merbahaya berhampiran jurang yang tidak diketahui kedalamannya. Kesukaran mendakinya semalam masih segar dalam ingatan.

Saya, Shah dan Makhdir terus menuruni cerun curam sebelum tiba di Lata Naning. Saiful yang turun dahulu dari puncak sedia menunggu kami. Kami berempat kemudiannya meneruskan perjalanan sehingga ke Kuala Sungai Chagar. Kami telah meninggalkan puncak hampir 4 jam yang lalu.

Hujan renyai-renyai turun. Kami berhenti berehat sambil makan dan minum. Ketika ditanya, Ujang menyatakan bahawa kami mampu sampai ke Air Terjun Chamang dalam masa 2 jam. Tepat pukul 2.00 petang, kami menyambung perjalanan. Perjuangan masih belum selesai, matlamat masih belum tercapai.

Hujan mula reda apabila kami mula menyusuri jalan balak. Cuaca kemudiannya panas terik. Namun demikian, ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Hujan kemudiannya turun kembali. Kami kemudiannya basah kuyup ditimpa hujan lebat.

Tepat pukul 4.15 petang, kami selamat tiba di Air Terjun Chamang. Hujan masih turun dengan lebat. Walaupun basah kuyup kami masih mampu tersenyum keriangan kerana perjalanan ini telah sampai di penghujungnya. Bersyukur kepada Allah kerana kami selamat pergi dan kembali.

Saya dan 5 rakan lain meninggalkan Air Terjun Chamang pada pukul 9.00 malam. Saya difahamkan oleh Rob, kemudiannya, bahawa peserta terakhir selamat tiba pada pukul 1.00 pagi. Mereka terpaksa berjalan perlahan-lahan kerana sakit lutut dan keletihan yang amat sangat.

1 Comment

  1. hayati said,

    November 11, 2009 at 12:16 am

    subhanallah…cantikny gmbr batu berlumut kt sungai tu…
    sy amek…..


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: