Pine Tree Hill ~ KOSMO 01 Disember 2007

Memandu kereta melalui jalanraya berliku dari pekan Kuala Kubu Baru ke Bukit Frazer memang mengasyikkan. Udara segar dan dingin kawasan tanah tinggi dengan banjaran gunung biru hijau menyejukkan mata yang memandang. Kehijauan hutan primernya dengan air terjun yang mengalir dari tebing-tebing batu turut mencuri perhatian. Saya sempat berhenti sebentar bagi membasuh muka dengan alirannya yang sejuk lagi menyegarkan sebelum meneruskan perjalanan ke Bukit Frazer. Jalanraya yang kami tempuhi agak lengang di awal pagi Sabtu itu.

Kami tiba di Bukit Frazer pada pukul 9.15 pagi. Stesen bukit yang meliputi kawasan seluas 2,804 hektar dan sinonim dengan bangunan kolonial itu agak lengang tatkala kami tiba. Ia dibuka secara rasmi oleh pihak British pada 1921 semasa mereka memerintah Tanah Melayu. Terdapat lapan denai hutan yang agak terkenal di sini. Denai-denai ini dikenali dengan nama-nama seperti Abu Suradi, Rompin, Kindersley serta Hemmant. Frank Hemmant adalah akitek yang merekabentuk padang golf 9-lubang yang dibina di Bukit Frazer pada pertengahan 1920-an.

Kunjungan saya ke Bukit Frazer kali ini adalah untuk menjejaki semula laluan ke puncak Pine Tree Hill. Puncak ini mendapat nama dari pokok pine Dacrydium comosum, yang terkenal dengan bentuk tanduk rusanya. Pengembaraan saya turut disertai oleh dua anak lelaki yang kini mula berjinak-jinak dengan aktiviti pendakian. Ibarat kata pepatah, di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Pengembaraan kami bermula pada pukul 10.00 pagi berhampiran Banglo Admiralty dan Banglo High Pines. Kami menuruni tebing cetek yang bersambung dengan denai hutan. Keadaan trek agak lembap dan sedikit lecak di beberapa lokasi dek hujan yang kerap turun tanpa jemu untuk menjamin kehidupan. Batang-batang pokok yang telah lama menyembah bumi diselaputi lapisan lumut hijau yang unik serta cantik. Batang kayu bersalut lumut ini merupakan satu daripada ribuan hasil seni alam semulajadi yang menghiasi trek yang kami lewati. Sementara itu, lumut hijau seperti Versicularia sp. tumbuh subur meliputi indah tebing bukit yang kami lewati. Flora yang lebat berbunga dengan pelbagai warna putih, kuning dan merah turut menyemarakkan lagi keindahan alam ciptaan Tuhan yang tiada tolok bandingnya.

Hati saya terpaut dengan warna merah putih bunga Achasma megalocheilos yang tergolong dalam famili Zingiberaceae. Ramai pakar botani menyifatkan herba yang tumbuh di lantai hutan dari famili ini mengeluarkan bunga yang paling cantik di kalangan flora yang hidup subur dalam hutan hujan tropika. Daun tumbuhan ini juga mengeluarkan aroma yang harum jika diramas. Flora dari famili Zingiberaceae sering dilihat mengeluarkan bunga dengan rona-rona indah seperti merah, kuning dan putih yang memecahkan kehijauan hutan tertua di dunia.

Kami terus mendaki dan menuruni trek yang sesetengahnya agak curam. Tiada insan lain pun yang kami temui, sesuatu yang agak ganjil jika dibandingkan dengan puncak-puncak yang sering menjadi tumpuan seperti Gunung Nuang di Selangor, Gunung Ledang di Johor dan Gunung Angsi di Negeri Sembilan. Denai Pine Tree Hill sebenarnya mudah didatangi oleh sebarang kenderaan kerana dihubungkan dengan jalan bertar yang sempit tetapi masih berkeadaan baik.

Kira-kira sejam selepas kami bermula, kami terjumpa dengan papan tanda kayu yang menyatakan jarak, dalam kilometer, yang harus kami tempuh untuk ke puncak Pine Tree Hill. Sepanjang ingatan saya yang pernah ke sini beberapa tahun lalu, terdapat papan tanda yang terpacak di sisi trek hampir di setiap kilometer. Mungkin papan tanda empat kilometer ini sahaja yang tinggal, fikir saya.

Kami juga tersua dengan pondok-pondok istirehat yang kesemuanya usang dimamah usia. Hanya dua sahaja yang masih teguh berdiri manakala yang dua lagi telah lama menyembah bumi. Namun kedua-dua yang tegak berdiri itu pun berada dalam situasi yang menyedihkan, mereput di sana sini. Cuaca ekstrem hutan hujan tropika dengan kelembapan tinggi berserta serangan agen pereputan seperti kulat dan anai-anai tidak membolehkan struktur binaan dari kayu mampu bertahan. Mungkin konkrit yang tahan lasak dan lebih murah boleh menjadi pengganti.

Pada pukul 11.20 pagi, anak-anak saya yang keletihan meminta saya berhenti untuk berihat. Kami kemudiannya duduk di atas lantai hutan sambil meneguk minuman pembasah tekak. Telah agak lama kami berjalan dan badan kini lencun dengan keringat. Kami kemudiannya menyambung perjalanan setelah mengah mula menyusut menempuhi semula trek yang masih kelihatan sunyi dari sebarang penghuni.

Kami juga terpaksa berhadapan dengan pokok dan dahan tumbang. Kami merangkak dan adakalanya meniarap untuk melepasi halangan yang sering merentangi laluan. Kami juga berjalan berhampiran kawasan yang ada tanda-tanda telah digunakan sebagai tapak perkhemahan. Berhampiran kawasan itu kederangan bunyi air yang mengalir namun saya membatalkan hasrat untuk turun dan memeriksa punca bunyi berkenaan. Turut terpacak di trek yang kami tempuhi adalah batu-batu konkrit berbentuk selinder. Batu itu menandakan sempadan antara dua negeri, iaitu Selangor dan Pahang.

Agak menyeronokkan berjalan di atas garis sempadan kedua-dua negeri itu. Sekejap kami berada di Pahang manakala sekejap lagi kami berada di sebelah Selangor pula. Perkara yang sama pernah saya alami ketika mendaki di Gunung Swettenham di mana kami berjalan samada di sebelah Pahang atau Kelantan. Manakala di Gunung Irau pula, kami berkesempatan untuk berjalan di atas garis sempadan negeri Pahang dan Perak.

Kami terus berjalan mengikuti trek yang mula meningkat kecuramannya. Keringat keluar mencurah melencunkan tubuh walaupun kami berjalan di kawasan tanah tinggi yang agak rendah suhunya. Bukit Frazer, yang bermuka bumi curam, didominasi Hutan Pergunungan Bawah yang juga dikenali sebagai Hutan Oak-Laurel. Kawasan tanah tinggi yang kami rentasi ini juga menjadi kawasan tadahan air yang penting untuk Sungai Selangor di Selangor dan Sungai Teranum di Pahang.

Kami kemudiannya berhadapan dengan tebing berbatu dan bertanah keras yang agak licin. Tebing itu juga dipasang dua utas tali nilon, yang satunya putih manakala yang satu lagi kuning. Kami mendaki tebing curam itu dengan hati-hati dan sebaik sahaja melepasinya, kelihatan kemas kain rentang yang dipasang oleh kumpulan pendaki terdahulu. Rupa-rupanya, kami selamat tiba di puncak Pine Tree Hill dan jam di tangan saya menunjukkan ke pukul 12.40 tengahari. Sebagaimana di sepanjang trek yang kami lewati, tidak ada sebarang insan yang kami temui di puncak yang hening itu.

Kami kemudiannya mendaki ke kawasan gondol berhampiran yang merupakan puncak sebenar Pine Tree Hill. Hanya tapak konkrit dengan bekas besi paip usang menjadi bukti bahawa kami kini berpijak di puncak. Tiada besi penanda puncak, iaitu beirut, menyambut kami bertiga di kawasan berketinggian 1,505 meter itu. Walaupun tiada mentari mencelah meriah dengan langit biru menghiasi alam, namun kami masih mampu menikmati pemandangan indah Banjaran Titiwangsa yang hampir tenggelam dek kabus tebal yang berarak perlahan. Banjaran mengunjur dari utara ke selatan yang juga dikenali sebagai tulang belakang Semenanjung Malaysia.

Angin sepoi-sepoi bertiup menggigilkan tubuh yang mula kering dari keringat. Langit pula kedam macam nak hujan. Kami kemudiannya bergambar kenangan sebelum turun semula ke kawasan yang terpasang kain rentang dan bernaungkan pokok-pokok berselimutkan lumut hijau kuning Rintik-rintik halus hujan kemudiannya turun berserta kabus yang menyesakkan pandangan.

Kami kemudiannya menikmati bekal nasi lemak yang berlaukkan sambal sotong dan telur rebus. Makanan dari rumah itu sememangnya menyelerakan kami yang macam dalam kebuluran! Epal dan pisang kemudiannya jadi pilihan sebelum air mineral dan susu soya jadi minuman. Kami kemudiannya terduduk keletihan setelah menempuh perjalanan panjang selama hampir tiga jam.

Telinga saya kemudiannya menangkap bunyi seperti orang yang sedang bercakap-cakap. Rupa-rupanya kehadiran kami ini bukannya tanpa teman. Dua pendaki muncul dari trek yang tidak kami tempuhi sebelum ini. Kami saling memperkenalkan diri dan mereka mengatakan bahawa mereka datang dari Petaling Jaya. Mereka baru sahaja berjalan turun dari Twin Peak, satu puncak yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari tempat kami berdiri. Agak lama juga kami berbual sebelum kami berpisah membawa haluan masing-masing. Mereka berdua naik ke puncak Pine Tree Hill manakala kami tiga beranak mendekati tebing curam untuk memulakan perjalanan turun.

Dek kerana kegopohan menuruni cerun yang agak curam di beberapa lokasi, kedua-dua anak saya jatuh terduduk di trek. Tangkap biawak menurut kata pendaki. Namun, di sebalik comotan selut dan lanar pada pakaian, mereka tidak mengalami sebarang kecederaan. Kami terus berjalan menuruni trek yang curam serta licin di beberapa tempat dan adakalanya, kami terpaksa mendaki pula bukit mencanak yang meletihkan. Kami seterusnya berhenti berihat berhampiran pondok yang hampir tersembam dimamah usia.

Kami duduk berihat sambil meneguk minuman pengganti kelembapan yang mencurah-curah keluar dari badan. Seekor rama-rama dengan warna dan corak menarik jadi tumpuan. Saya cepat-cepat mengambil gambar serangga yang melekap di permukaan lantai hutan yang sentiasa dilencun kelembapan. Fauna dari kumpulan Lepidoptera itu termasuklah kupu-kupu. Kedua-duanya memang kelihatan serupa tetapi ada beberapa garis pemisah yang ujud sebagai pembeza. Kami kemudiannya menyambung perjalanan yang belum tiba di penghujungnya.

Kawasan berbukit yang kami tempuhi menyimpan sejarah yang menarik. Trek Pine Tree Hill ini dibuka lewat 1920-an oleh pihak British sebagai laluan untuk ke puncak gunung itu. Mereka mendaki di sebelah sini untuk menikmati pemandangan indah persekitaran Bukit Frazer yang dirangkumi Banjaran Titiwangsa. Trek ini, dengan jarak enam kilometer, merupakan denai hutan paling panjang di antara denai-denai yang ujud di Bukit Frazer.

Pada pukul 3.45 petang, kami menamatkan pengembaraan yang bermula sejak 10.00 pagi tadi. Mungkin di lain masa kami akan datang lagi dan kali ini puncak Twin Peak, yang dikatakan sama tinggi dengan Pine Tree Hill akan kami takluki. Kami kemudiannya pulang ke Kuala Lumpur selepas menikmati makanan Mamak yang menyelerakan di pekan Kuala Kubu Baru.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: