Nuang ~ KOSMO 29 Disember 2007

Sebuah akhbar tabloid pernah melaporkan tentang seorang pelajar kolej swasta yang mengalami kekejangan otot terpaksa dibantu turun dari Gunung Nuang. Manakala seminggu sebelum itu, seorang jurugambar bebas pula maut selepas menyelamatkan dua rakan pendaki yang hanyut dibawa arus deras ketika menuruni puncak yang sama. Tidak terkecuali adalah kejadian yang melibatkan pendaki-pendaki yang tersesat jalan turut tersiar di dada-dada akhbar tempatan.

Walaupun begitu, Gunung Nuang tetap menggamit pengunjung dari jauh maupun dekat. Ramai yang datang samada sekadar berkhemah di Kem Lolo atau pun menjejaki laluan penuh likunya hingga ke puncak. Saya sendiri sering kembali saban tahun bersama rakan taulan bagi mendaki dan menuruni laluan Gunung Nuang yang penuh cabaran. Berikut adalah salah satu pengembaraan penuh kenangan menawan puncaknya yang buat pertama kalinya saya takluki pada cuti Tahun Baru 1993.

Hari Pertama: Kami tiba di satu pagi Sabtu kira-kira pada pukul 7.00 di pakir calet Jabatan Perhutanan berhampiran Ulu Pangsoon, Hulu Langat. Seperti sebelumnya, kami dikehendaki mendaftar terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang program pendakian maupun perkhemahan. Ia merupakan satu langkah bijak yang diambil oleh pihak berkuasa bagi mengesan keluar masuk pengunjung ke Hutan Lipur Gunung Nuang.

Kami kemudiannya menyusun langkah menggalas beg berkapasiti kira-kira 20 liter melalui jalan pacuan empat roda. Kiri kanannya subur dengan pepohon pine yang berusia puluhan tahun yang memayungi redup jalan yang kami lewati. Saya pernah menaiki kenderaan pacuan empat roda. Dengan cara itu, pendaki mampu menjimatkan masa berjalan kaki untuk sekurang-kurangnya sejam. Setelah sekian lama berjalan, laluan yang kami tempuhi itu menokok kecuramannya. Kira-kira 20 minit selepas bermula, dengan keringat keluar mencurah-curah, kami tiba di satu persimpangan yang sangat lecak.

Tiada pokok-pokok pine yang kelihatan dari tahap ini. Sebaliknya, kawasan kiri kanan jalan sarat dengan semak samun. Satu indikator hutan tahap kedua atau hutan sekunder. Jalan yang kami lewati turut berlopak dalam yang terhasil daripada hakisan air hujan dan gelekan tayar kenderaan. Kenderaan pacuan empat roda agak kerap melewati tanahnya yang kemerahan dan kekuningan.

Rumpun buluh turut menyuburi kiri kanan jalan yang kami lewati. Tumbuhan itu begitu dihargai oleh masyarakat Orang Asli untuk pelbagai kegunaan seperti membuat rumah, sumpitan dan rakit. Lemang, sejenis makanan tradisional masyarakat Melayu, turut dimasak di dalam batang buluh bagi menerbitkan aroma yang menyelerakan. Di samping itu, halia hutan, Zingiber spectabile, dengan bunga berwarna kemerahan dan berbentuk unik juga mudah dijumpai. Sesetengah spesis herba dari famili Zingiberaceae itu, yang membiak dari rizom di permukaan lantai hutan, mampu membesar setinggi dua hingga tiga meter.

Bunyi deruan jeram yang mengalir deras kedengaran kira-kira sejam selepas kami meninggalkan pejabat Jabatan Perhutanan. Kami kemudiannya tiba di penghujung jalan pacuan empat roda dengan pondok istirehat usang tegak berdiri. Kami yang keletihan terus meletakkan beg galas dan duduk di bawah naungan pondok itu. Minuman penghilang dahaga dan pengganti kelembapan badan kami nikmati sebelum menempuhi denai hutan yang selari dengan jeram yang mengalir jernih dan dingin.

Kami berjalan perlahan-lahan serta penuh hati-hati turun naik denai hutan yang agak licin itu. Kami kemudiannya meniti batu-batu ke seberang jeram sebelum memanjat tebing curam. Trek itu terletak bersebelahan dengan batang besi paip air bersaiz besar yang telah usang dimamah usia dengan kekotoran lembap membaluti permukaannya. Kami terus berjalan dan kemudiannya menyeberang jeram buat kali kedua. Trek itu kemudiannya membawa kami berhadapan dengan bukit mencanak yang terhenti di hadapan empangan kecil dengan sebuah pondok usang tinggal.

Suatu masa dahulu, sebuah keluarga Orang Asli pernah menginap di pondok kayu itu. Pendaki-pendaki akan disambut dengan salakan anjing kecil besar dengan pelbagai warna yang dibela keluarga itu apabila menghampiri kawasan kediaman mereka. Kini, ia sepi tanpa penghuni dan ke mana mereka menghilang diri, tak siapapun yang dapat memberikan jawapan yang pasti. Kami kemudiannya melewati kawasan yang dipenuhi bongkah-bongkah batu sungai. Kawasan itu pada asalnya adalah tapak perkhemahan tetapi hujan lebat dengan arus deras telah merubah bentuknya.

Kami mula melewati Kem Lolo yang sering dibanjiri pengunjung di hari-hari cuti. Apa yang menyedihkan, terdapat segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab mencemarkan kawasan ini dengan sampah sarap. Satu karakter menjengkilkan yang sering ditimbulkan oleh pelbagai pihak. Bukan sedikit kempen pembersihan yang telah dijalankan tetapi sifat buruk pengotor-pengotor ini tidak mampu mengekalkan kemurniaan hutan yang pada satu masa dahulu bebas dari sebarang pencemaran. Masalah ini pernah mendapat liputan sebuah stesen televisyen swasta tempatan.

Kami terus berjalan tanpa henti dan kira-kira 20 minit selepas meninggalkan pondok istirehat di penghujung jalan pacuan empat roda, kami berhenti di satu lagi kawasan lapang. Kami menyeberangi beberapa kali jeram yang mengalir deras dan cetek untuk ke tapak perkhemahan dengan pondok istirehat itu. Balak tumbang serta semak-samun hampir-hampir sahaja menenggelami beberapa tapak perkhemahan yang kami tempuhi ketika ke mari.

Trek yang kami tempuhi berikutnya agak mencanak dan melewati kawasan yang turut bertumbuhkan sebatang pokok durian yang menjulang tinggi. Saya bersama beberapa rakan pernah menikmati sumber alam yang dikenali sebagai raja buah itu. Walaupun isinya nipis dengan biji tersembul, rasanya enak dan tidak kalah dengan klon-klon bernilai tinggi di pasaran. Durian, atau Durio zibethinus, merupakan sebahagian daripada ribuan spesis tumbuhan warisan alam semulajadi Negara yang ujud sejak jutaan tahun. Namun, tanpa satu spesis kelawar kecil, iaitu Eonycteris spelaea, tidak mungkin bunganya menghasilkan buah. Mamalia bersayap itulah yang menjadi pendebunga utama pepohon durian di negara ini.

Kami terus mendaki laluan yang berterusan meningkat kecuramannya. Keadaan hakisan agak teruk di beberapa lokasi dengan lopak-lopak digenangi air hujan serta batu-batan tersembol dari permukaan tanah. Rumpun-rumpun buluh merupakan antara flora yang tumbuh subur di tebing bukit yang kami lewati. Kira-kira sejam selepas meinggalkan tapak perkhemahan, kami tiba di satu kawasan lapang yang dikenali Dataran Pacat. Dahulu, kawasan ini redup dengan pepohon kayu yang tumbuh tinggi. Kini, keadaannya agak panas disimbahi sinar mentari setelah banyak pokok-pokok besar yang mengelilinginya ditebang. Tiada siapa pun yang mengetahui bagaimana dan mengapa perkara ini harus terjadi.

Kami duduk berlapikkan batang kayu tumbang. Keringat mencurah-curah setelah bersusah-payah mendaki cerum curam. Makanan alas perut dikongsi bersama disulami minuman dingin penghilang dahaga. Menurut yang empunya cerita, kawasan itu mendapat nama kerana merah dengan darah pendaki-pendaki yang membuang pacat yang melekat pada kaki. Agak lama juga kami berhenti rehat di situ sebelum menyusun langkah meninggalkan Dataran Pacat menempuhi trek yang semakin meningkat kecuramannya.

Kira-kira 20 minit selepas menyambung pendakian, trek dipenuhi batu pelbagai saiz dan bentuk. Kami terpaksa berpaut pada bongkahan batu dan akar-akar pokok kayu. Pendakian terasa begitu memenatkan dan kira-kira 45 minit selepas meninggalkan Dataran Pacat, kami tiba di satu lagi mercu tanda Gunung Nuang yang dipanggil Batu Besar. Kami duduk di situ dengan nafas tercungap-cungap menahan kepenatan yang keterlaluan. Kami tiba di situ pada kira-kira pukul 12.30 tengahari.

Kira-kira 15 minit kemudian, kami menyambung pendakian. Trek yang terpaksa kami tempuhi selepas tahap ini amat curam, agak berbatu dan licin. Akar pokok tinggi turut merentangi laluan. Kami mendaki perlahan-lahan dengan keringat membasahi badan yang telah lama keletihan. Selang beberapa minit kemudian, kami tiba di Puncak Pengasih dan mulai tahap ini, trek bersifat menurun. Satu ‘bonus’ bagi pendaki-pendaki yang dibelenggu kemengahan.

Kami seterusnya berjalan di celah-celah batu besar yang berselimutkan lumut dan tumbuhan renek yang menghijau. Tanah gambut yang kami pijaki pula lecak dan licin. Kemudian, kami menuruni trek berbatu yang kiri kanannya juga sarat dengan tumbuhan. Agak lama juga kami menuruni trek curam itu sebelum laluan mencanak kami hadapi semula. Tumbuhan renek dengan pelbagai warna bunga seperti merah jambu, kuning dan putih juga kami temui. Begitu juga dengan pepohon pisang liar, Musa sp., yang menyuburi laluan yang kaya dengan kelembapan. Pada malam hari, tahap kelembapan bandingan di kawasan hutan yang di sebelah siangnya bercahaya suram boleh mencecah sehingga 100%.

Kami berterusan mendaki tanpa henti. Kami turut menempuhi dengan hati-hati kawasan bertebing curam dan licin. Kira-kira setengah jam selepas meninggalkan Puncak Pengasih, kami tiba di puncak Gunung Nuang. Struktur besi penanda puncak, atau beirut, terbina di gunung beraltitud 4,898 kaki itu. Keadaan di puncak begitu tenang dengan angin sepoi-sepoi bahasa bertiup, satu kenikmatan kepada kami yang mendaki hingga kepenatan.

Kami duduk berihat sambil makan dan minum. Mata pula tidak lepas-lepas menikmati panorama hutan batu kotaraya Kuala Lumpur yang sering diselimuti jerebu. Turut menceracak di celah-celah bangunan tinggi rendah di situ adalah Menara Berkembar Petronas, yang pernah dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di dunia. Kami bernasib baik kerana bukan setiap masa cuaca cerah dengan langit biru menyambut pendaki. Pemandangan dari mana-mana puncak tinggi di Negara ini sering kali terselindung oleh kabus tebal yang seolah-olah enggan berarak pergi.

Kira-kira pada pukul 2.00 petang, kami meninggalkan puncak yang boleh juga didatangi dari sebelah Janda Baik di Pahang. Kami berhati-hati menuruni cerun curam lagi licin itu. Kami berselisih dengan beberapa pendaki yang keletihan yang datang untuk menggapai puncak yang baru kami tinggalkan. Kami turut berhenti sekejap-sekejap sebelum menyambung perjalanan turun. Lebih dua jam selepas meninggalkan puncak Gunung Nuang, kami tiba di Kem Lolo. Kami berhenti di situ untuk membasahkan tekak dan menunaikan solat Jamak Zuhur dan Asar.

Saya kemudiannya duduk di atas batu berhadapan aliran jeram yang mengalir deras, dingin dan menyegarkan itu. Pengalaman penuh ketenangan berada dalam hutan menghijau dengan deruan jeram yang mengalir sedemikian merupakan sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Hati meronta-ronta untuk turun dan mandi dalam alirannya. Tetapi, masa tidak menyebelahi saya dan rakan-rakan. Kami terpaksa meneruskan perjalanan hingga ke penghujungnya.

Kami seberangi kembali jeram, denai hutan dan diikuti dengan jalan pacuan empat roda. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam setengah dari Kem Lolo itu akhirnya berakhir apabila kami tiba di calet Jabatan Perhutanan. Kami kemudiannya pulang ke rumah dalam keletihan tetapi berbekalkan senyum kepuasan. Semoga Gunung Nuang akan kami kunjungi kembali di masa hadapan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: