Ledang Dari Asahan ~ KOSMO 28 Julai 2007

Puncaknya sering dikaitkan dengan mitos dan lagenda. Kecantikan puteri misteri yang dikatakan tinggal di situ menjadikan Sultan Melaka zaman silam tidur dalam igauan. Walau apa pun ceritanya, ia tetap menjadi tumpuan pendaki jauh maupun dekat. Gunung Ledang, begitulah nama puncak tertinggi negeri paling selatan di Semenanjung, iaitu Johor. Puncak yang menjadi nostalgia kerana di situlah kegilaan mendaki saya bermula. Rentetan dari kejayaan menakluki gunung itulah, saya terus memburu puncak demi puncak tanpa jemu hingga kini.

Hampir setiap tahun saya kembali. Kembali untuk menggapai puncaknya yang tidak pernah luput dari ingatan. Bukan Puteri Gunung Ledang yang dicari. Tetapi keindahan alamnya yang tidak jemu-jemu saya tatapi. Baik dari sebelah Johor, maupun dari sebelah Melaka, puncak itu tidak jerih saya datangi. Berikut adalah salah satu pengembaraan saya menyusuri laluannya melalui sebelah Asahan, di Melaka bersama seorang teman.

Perjalanan berkereta itu telah menjangkau jarak melebihi 100 kilometer dari Kuala Lumpur. Kini, kami mula menempuhi pekan Asahan yang sunyi di malam hari yang langitnya bertaburan bintang berkerlipan. Lama-kelamaan, kereta yang saya pandu mula menempuhi ladang kelapa sawit. Kami melewati jalan ladang yang agak kering, berdebu dan berlubang-lubang. Jalan itu kemudiannya terhenti di kawasan lapang yang hanya kedengaran aliran sungai berhampiran. Kami seterusnya merebahkan badan dan terlena dek keletihan diulit mimpi-mimpi indah.

Keesokan paginya, kami mula menyusun langkah pada kira-kira pukul 8.00 selepas membersihkan badan dan mengambil sarapan pagi ringan. Hanya kami berdua berada di situ, di satu pagi yang hening dengan udara segar dan dingin. Kami kemudiannya menongkah bukit curam dan melewati denai hutan yang dinaungi pokok-pokok berkayu menjulang tinggi yang rata-rata flora Dipterocarp mendominasi. Dipterocarp bermaksud biji bersayap dua.

Pokok Costus speciosus dengan bunga unik merah putih turut kami temui. Tumbuhan dari famili Zingiberaceae itu termasuklah kantan (Nicolaia speciosa), yang sering dijadikan sajian. Kantan merupakan herba berbau harum yang penting di dalam ramuan makanan tradisional popular seperti Laksa Penang dan nasi kerabu. Satu sumbangan alam yang cukup bernilai kepada kebudayaan masyarakat Melayu zaman berzaman.

Trek yang kami tempuhi mencanak diikuti dengan melandai dan kemudiannya menokok kembali kecuramannya. Hutan yang kami tempuhi begitu hening, seolah-olah hanya kami berdua yang ujud di dalamnya. Saintis berpendapat, lebih kurang 75 peratus daripada keseluruhan flora dan fauna di planet ini ujud dalam hutan hujan tropika. Tetapi rata-rata fauna yang hidup bebas di sini bersifat pemalu dan sukar dikesan kehadirannya. Hanya mereka yang berpengalaman dan sabar mampu melihat sendiri haiwan-haiwan berkenaan.

Kami kemudiannya duduk berihat di atas balak tumbang setelah melewati perjalanan selama sejam. Badan lencun dengan keringat dengan kemengahan membelenggu diri. Kami duduk melepak sambil meneguk minuman dan menjamah makanan. Mata saya mengimbas lantai hutan yang agak suram dek naungan kanopi pepohon tinggi yang menyaring sinar cerah mentari. Naungan yang memberikan kedinginan kepada kami walaupun di luar sana kepanasan sang surianya sungguh memedihkan.

Deretan anai-anai kemudiannya mencuri perhatian. Serangga hidup berkoloni itu tidak disenangi dan dibenci ramai. Manakan tidak, ia merupakan perosak utama struktur kayu di kebanyakan rumah kediaman. Walaupun begitu, ia adalah agen pereputan dan pengitaran semula nutrien paling penting dalam ekosistem hutan yang sering berada dalam keseimbangan. Tanpa pengitaran semula tumbuhan mati, tidak mungkin hutan menghijau mampu ujud sejak jutaan tahun. Anai-anai (Macrotermes carbonarius) merupakan spesis primitif yang melalui kitaran hidup metamorfosis tidak lengkap di mana juvananya kelihatan hampir sama dengan dewasa. Kulat dan sesetengah spesis kumbang juga berfungsi sebagai agen pereputan dan pengitaran semula nutrien.

Kami seterusnya menyambung perjalanan menempuhi trek yang sedikit lembap dan licin. Laluannya boleh dikatakan mencanak dan tidak sampai beberapa minit, kami dibelenggu semula rasa penat dengan peluh mencurah-curah. Tidak seperti di trek hutan lain yang pernah saya redahi, misalnya di Gunung Bujang Melaka di Kampar, onak dan duri bukanlah menjadi masalah besar tatkala merentasi laluan di sebelah sini.

Kami kemudiannya tiba di cerun berbatu lapang yang agak luas. Kami mendaki cerun tanpa naungan itu perlahan-lahan dengan permukaan berbatunya yang agak gerutu serta bercuram sederhana. Pokok-pokok orkid buluh (Arundina graminifolia), dengan kuntuman putih ungu menghiasi indah kiri dan kanan laluan yang kami tempuhi. Kami mengambil masa hampir 15 minit untuk melepasi halangan tersebut yang membawa kami ke satu kawasan lapang yang sering digunakan pendaki untuk bermalam. Saya sendiri pernah berkhemah di situ dalam beberapa siri pengembaraan lepas. Kami kemudiannya terduduk keletihan dengan badan yang bermandikan keringat.

Kenangan silam memenuhi benak saya setiap kali menempuhi cerun berbatu yang baru sahaja kami lepasi itu. Saya, bersama-sama beberapa rakan, pernah mengatur langkah pada malam hari di bawah rembulan mengambang penuh. Kami berjalan sambil memadamkan lampu suluh dan kawasan cerun yang lapang itu cerah disimbahi cahaya indah dari langit sehinggakan bayang-bayang kami jelas kelihatan. Angin turut bertiup lembut menyegarkan badan yang telah keletihan berjam menempuh halangan. Indah sungguh ciptaan Tuhan. Menganugerahkan kami pengalaman indah yang tidak mungkin luput dari ingatan.

Kami berdua kemudiannya menapak ke arah air terjun yang mengalir tidak jauh dari tapak perkhemahan. Tapak perkhemahan dengan air terjun itu merupakan satu-satunya yang ujud di sepanjang laluan ke puncak dari sebelah Melaka. Kami minum air bebas pencemaran sepelusid kristal dan sedingin salju itu sepuasnya. Kami turut mengisi bekas kosong yang sentiasa diusung sebelum meneruskan pendakian. Biodiversiti mula menyusut dengan meningkatnya altitud yang kami capai yang saya anggarkan mencecah kira-kira 1,000 meter dari aras laut.

Hampir setengah jam selepas meninggalkan tapak perkhemahan, kami tiba di satu puncak bukit berbatu. Bangunan pemancar telekomunikasi Syarikat Telekom Malaysia jelas kelihatan terbina di lereng batuan tinggi dipisahkan oleh jurang berhampiran tempat kami berdiri. Pemandangan dari puncak itu sememangnya indah dengan ngarai dan tebing berbatu yang ditumbuhi pepohon ala bonsai Baeckea frutescens dan Leptospermum flavescens. Langit biru dengan awan putih berkepul-kepul memperlengkapkan keindahan alam maya ciptaan Tuhan yang telah ujud sejak jutaan tahun. Kami tidak berada lama di situ kerana tidak tahan dengan terik mentari yang membakar perit kulit.

Kami menyambung perjalanan dengan menuruni laluan curam yang berselirat dengan akar pokok. Laluan itu boleh dikatakan kering, jadi kami tidak menghadapi masalah mengatur langkah demi langkah. Kami kemudiannya menempuh kawasan lembah yang agak lembap dan sarat dengan pelbagai spesis tumbuhan. Berikutnya kami berhadapan dengan bukit mencanak yang floranya menipis kembali. Kini, puncak Gunung Ledang semakin dekat dengan kami.

Agak lama juga kami menongkah bukit curam itu. Kami kemudiannya berhadapan dengan tebing berbatu yang terpasang tali nilon usang. Perjalanan di peringkat ini adalah yang paling sukar kerana kami terpaksa bermandikan keringat menggunakan kekuatan sepasang tangan dan sepasang kaki untuk mendaki bongkah dan rekahan dinding berbatu yang sesetengahnya berlumut dan licin.

Kira-kira sejam selepas meninggalkan satu-satunya tapak perkhemahan di sepanjang laluan ke puncak, kami tiba di persimpangan mendaki Gunung Ledang dari sebelah Johor. Kami masih berhati-hati menyusun langkah dan berpaut erat pada rekahan dan bongkahan batu-batu pejal. Tersilap langkah, tubuh yang keletihan boleh terhumban jauh ke dalam jurang. Tiada ruang untuk melakukan kesilapan walau sedikit pun. Semakin dekat pendaki dengan puncak, semakin besar bahaya yang menunggu.

Tepat pukul 1.00 tengahari, dengan izin Tuhan, kami berjaya menjejakkan kaki di puncak tertinggi di Johor yang berketinggian 1,276 meter. Puncak itu ternyata sepi kerana tidak seorang pendaki lain pun yang kami temui. Cuaca agak redup tatkala kami sampai, dengan angin bertiup perlahan menambahkan ketenangan. Hanya binaan konkrit kira-kira tiga kaki tinggi menyambut kedatangan kami di puncak yang hanya berflorakan rumput liar yang menyondong kiri dan kanan mengikut angin yang menghembus perlahan.

Berhampiran dengan puncak terdapat tangga besi yang boleh dituruni untuk ke kawasan berhampiran yang pernah digunakan sebagai tapak perkhemahan. Namun begitu, pihak berwajib melarang mana-mana pendaki bermalam di situ kerana kawasan itu terdedah dan berisiko tinggi. Beberapa pendaki telah menemui ajal disambar petir ketika berkhemah dalam hujan lebat beberapa tahun yang lalu. Pemancar telekomunikasi Syarikat Telekom Malaysia juga kelihatan dari tempat kami berdiri.

Kira-kira pada pukul 3.00 petang, kami mula menyusun langkah meninggalkan puncak. Kami melangkah dengan hati-hati, menjejaki kembali laluan yang ditempuh sejak dari pagi. Satu demi satu halangan kami lepasi dan kurang sejam kemudian, kami mula menuruni tebing batu gerutu tanpa naungan pepohon menghijau. Perjalanan turun kami tidak terhenti di situ. Kami terus berjalan pantas tanpa memandang ke belakang.

Agak lama juga kami berjalan sebelum berhenti dan terdampar keletihan di atas balak tumbang yang telah lama menyembah bumi. Sesekali terdengar bunyi unggas dan siamang yang memberikan melodi kepada belantara yang sering sepi. Setelah tenaga terbina kembali dan setelah peluh mengering di dahi, kami terus angkat kaki. Menyusuri kembali denai yang kadang-kala kelihatan gonggok besar dan semut gergasi melintasi.

Kira-kira pada pukul 6.00 petang, bunyi tawa riang kanak-kanak jelas kedengaran. Jeram yang awal paginya sepi kini berubah wajah, dibanjiri pengunjung yang mandi-manda, tak kira tua maupun muda. Pengembaraan ini tamat sudah tetapi, di lain masa, kami akan kembali. Kami kemudiannya meninggalkan Hutan Lipur Gunung Ledang di sebelah Asahan dan pulang ke Kuala Lumpur.

4 Comments

  1. bahariah baharudin said,

    February 27, 2009 at 8:49 am

    hahaha… Nice tide. red polka dot. h’ve been there, but just take a swim at the water down below. may be, next time if u make the trip, please keep me in mind..

  2. June 8, 2009 at 2:54 am

    Yes, of course. Tq

    • jashlin said,

      October 29, 2009 at 5:46 am

      dah lama tk g ledang, im sure these a lot changing now..

  3. azizi said,

    January 12, 2010 at 12:50 pm

    salam..minta maklumat sikit boleh tak…sy perlukan no contact pak cik yg incharge kat kem site di asahan, berjanggut dan rambut panjang dan putih.. nama dah lupa laa..sy nk contact dia..ingat nak naik dlm bulan depan…boleh hulur bantuan tak…ggkranz@gmail.com


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: