Gajah Terom ~ KOSMO 14 Jan 2006

Puncak yang telah lama dilupakan…

“Gunung Gajah Terom?! Kat mana tu? Tak pernah dengar pun? Begitulah di antara soalan-soalan yang diajukan kepada saya apabila saya bertanyakan adik ipar saya mengenai Gunung Gajah Terom yang mempunyai ketinggian 1,206 meter. Namun saya berterima kasih kerana beliau mendapatkan seorang jurupandu jalan bagi menjayakan ekspedisi itu.

Saya mendapat tahu mengenai Gunung Gajah Terom ketika mengunjungi Hutan Lipur Sekayu semasa balik bercuti hujung tahun lepas. Perbualan saya dengan seorang renjer Jabatan Perhutanan mencetuskan idea untuk merancang ekspedisi ini. Beliau mencadangkan supaya saya bertanya orang-orang kampong yang mungkin arif tentang selok-belok hutan di sebelah Sekayu.

Ekspedisi kami bermula tepat jam 10.30 pagi, 9 Februari 2005. Ramai pengunjung datang ke Hutan Lipur Sekayu ketika kami berjalan di atas jambatan gantung untuk menyeberangi sungai. Sekayu adalah di antara destinasi pelancongan tersohor di Terengganu yang terkenal dengan keindahan air terjunnya. Tempat-tempat lain termasuklah Lata Belatan di Jerteh dan Chemerung di Hulu Dungun.

Kami berjalan di tebing Sungai Sekayu sebaik sahaja meninggalkan Hutan Lipur Sekayu. Laluannya kemudiannya melalui kawasan padang ragut yang pada suatu masa dahulu digunakan untuk bersawah padi. Kami juga menempuh hutan sekunder, iaitu kawasan belukar yang padat dengan tumbuhan. Kami berhenti sejam selepas meninggalkan Hutan Lipur Sekayu.

Kami berhenti berhampiran sebatang anak sungai yang mengalir jernih. Kami menikmati hidangan makan tengahari ringkas. Kami juga memenuhkan bekas-bekas air untuk digunakan dalam perjalanan yang masih jauh. Laluan beransur-ansur menjadi sukar sebaik sahaja kami meninggalkan anak sungai. Kami mula menempuh laluan curam dan memenatkan badan.

Laluan agak semak di beberapa tempat. Jurupandu jalan menakek batang-batang pokok sebagai panduan dari tersesat. Beliau juga terpaksa menebas bagi memudahkan perjalanan kami. Denai hutan yang kami lalui juga banyak yang hilang ditenggelami tumbuhan subur menghijau. Keadaan ini menambahkan kesukaran kepada kami yang menongkah kawasan berbukit.

Ada ketikanya kami menemui batang-batang pokok yang bertanda cat merah. Menghairankan juga. Menurut jurupandu jalan, batang-batang pokok yang bercat merah adalah sebagai tanda sempadan Taman Negara. Taman Negara dan Gunung Tahan, dua nama yang tidak dapat dipisahkan. Puncak tertinggi di Semenjung ini adalah di antara gunung yang paling sukar ditakluki.

Kami berhempas pulas memecah keringat menongkah kawasan curam. Beg berat yang digalas menambahkan kesukaran. Kekuatan fizikal dengan semangat kental membantu untuk meneruskan cabaran. Kami banyak berhenti untuk melepaskan penat. Nasib baiklah bongkah-bongkah batu besar di beberapa tempat di kiri, kanan laluan menghiasi pemandangan.

Tepat jam 3.00 petang kami tiba di sebuah kawasan lapang. Kami berasa sungguh gembira apabila diberitahu bahawa kami akan bermalam di kawasan tersebut. Kami akhirnya berjaya juga menamatkan perjuangan hari pertama, hari yang cukup mencabar. Kami dengan tidak berlengah lagi terus mengeluarkan peralatan perkhemahan.

Pak Razal, begitulah nama jurupandu yang mengiringi kami untuk mencapai impian menggapai puncak yang menjadi impian. Beliau mengaku enghadapi kesukaran mengimbas kembali laluan yang harus kami tempuh. Kali terakhir beliau menjejaki laluan ke puncak Gunung Gajah Terom adalah kira-kira 6 tahun lepas, satu jangka masa yang cukup panjang pada hemat saya.

Keesokan harinya iaitu tepat jam 9.00 pagi, kami memulakan cabaran untuk hari kedua. Hampir kesemua barang-barang kami tinggalkan di tapak perkhemahan. Kami hanya berbekalkan sedikit air minuman dan makanan. Keadaan laluan tidak securam semalam. Kami bergerak lebih mudah dan pantas ditambah dengan bebanan yang sedikit.

Menurut Pak Razal laluan ke puncak Gunung Gajah Terom jarang-jarang dilalui pengunjung. Ini dapat dilihat dengan keadaan denai hutan yang kecil dan dipenuhi semak-samun. Denai hutan ini juga bersimpang-siur dan mengelirukan. Namun Pak Razal mampu mengikuti jejak sebenar berdasarkan kesan takekan yang beliau lakukan 6 tahun yang lampau.

Keadaan sekeliling begitu hening dan dingin menyegarkan. Sesekali bunyi siamang yang bersahut-sahutan memecah keheningan. Haiwan primat ini sukar dilihat kerana lebih banyak menghabiskan masa di atas pokok-pokok tinggi dan jarang-jarang sekali berada di lantai hutan. Kita sering terdengar bunyinya tetapi jarang sekali dapat melihat rupa fizikalnya.

Kami juga banyak menemui tapak hidupan liar seperti gajah, badak dan kijang. Kajian menunjukkan hutan hujan khatulistiswa di seluruh dunia seperti yang ada di Malaysia, Afrika Tengah dan Amazon hidupan liar menghadapi risiko kepupusan. Aktiviti manusia seperti pembalakan menyumbang kepada 60% kepupusan hutan yang menampung ribuan spesis flora dan fauna.

Kami ternampak beirut atau struktur logam penanda puncak gunung kira-kira 2 jam selepas meninggalkan tapak perkhemahan. Keadaan trek beransur-ansur menjadi curam dan padat dengan pelbagai jenis tumbuhan. Sukar mengikuti denai hutan, hanya beirut menjadi panduan. Kami tidak terjumpa sesiapa pun sejak meninggalkan Hutan Lipur Sekayu, semalam.

Kami selamat tiba di puncak Gunung Gajah Terom kira-kira 30 minit selepas kali pertama ternampak beirut. Keadaan puncak sememangnya dipenuhi semak-samun. Keadaannya sempit dan tidak rata, memang tidak sesuai untuk tapak perkhemahan. Kami tidak dapat menikmati panorama dari puncak yang tingginya 1,206 m itu kerana pokok-pokok berkayu dan renek menutupi pandangan.

Kami berehat-rehat di kawasan puncak sambil menikmati makanan ringan seperti biskut, limau mandarin dan limau madu. Limau madu adalah di antara tanaman popular di Terengganu. Kami kemudiannya bergambar kenangan sebelum menuruni puncak Gajah Terom tepat jam 1.00 tengahari. Hanya kesan takekan dan pelepah pohon palma yang dicantas menjadi panduan ke tapak perkhemahan.

Kami selamat tiba di tapak perkhemahan kira-kira pada pukul 2.30 petang. Tidak lama kemudian hujan lebat turun membasahi bumi. Kami menikmati kopi panas dan mee segera sementara menunggu hujan turun. Perut lapar setelah berjam mendaki dan menuruni denai hutan ditambah dengan kesejukan hujan yang turun menjadikan segala juadah begitu menyelerakan.

Kami mengemaskan peralatan perkhemahan sebaik sahaja hujan reda. Tepat jam 4.00 petang, kami mula menuruni cerun curam yang licin. Curam dan licin adalah satu gabungan yang menyusahkan. Ramai juga rakan-rakan yang tangkap biawak, jatuh tergelincir. Nasib baik tiada yang ditimpa kecederaan. Namun perjalanan harus diteruskan, perjuangan masih belum selesai.

Sejam kemudian, kami tiba di anak sungai yang baru kami tinggalkan semalam. Kami mengambil keputusan untuk berhenti berehat. Ada di antara kami yang makan, minum dan ada juga yang mengambil kesempatan bergambar berlatar belakangkan air terjun kecil berhampiran. Kami meneruskan perjalanan setelah agak lama juga kami berhenti berehat.

Keadaan trek di kawasan hutan sekunder yang kami lalui kemudiannya juga lecak dan licin. Pacat memenuhi setiap ruang laluan yang kami lalui. Kebanyakan pacat yang kami jumpai bersaiz kecil tetapi gigitannya bukan sahaja gatal tetapi terasa perit. Ahli taksonomi mengklasifikasikan pacat di bawah famili yang sama dengan lintah, sejenis lagi haiwan yang menghisap darah.

Sejenis lintah, iaitu Hirudo medicinalis pernah digunakan di Eropah dalam bidang perubatan. Pacat dan lintah mengeluarkan air liur yang bertindak sebagai agen anti beku. Air liur ini mengandungi hirudin iaitu sejenis protin kompleks. Pacat yang kekeyangan tidak perlu menghisap darah untuk berbulan lamanya. Gigitan pacat kebiasannya tidak membawa mudarat kepada manusia.

Kami akhirnya menamatkan ekspedisi mendaki Gunung Gajah Terom apabila tiba di Hutan Lipur Sekayu tepat jam 7.00 petang. Badan terasa begitu penat tetapi hati teras puas. Walaupun sukar tetapi kami bersyukur kerana berjaya menamatkan eskpedisi ini. Laluan ke puncak pergi dan balik sememangnya sukar kerana jarang-jarang digunakan sekarang ini.

Keesokan harinya, saya membawa rakan-rakan ke Belukar Bukit, salah satu destinasi tersohor Daerah Hulu Terengganu. Mereka semua terpegun menyaksikan sungai yang cantik dan suasana yang memukau pandangan itu. Seronok dapat mandi-manda dan bersantai setelah bertungkus-lumus selama 2 hari menerokai laluan Gunung Gajah Terom, puncak yang telah lama dilupakan.

1 Comment

  1. Haji Karim Daud said,

    October 14, 2008 at 10:52 am

    Ahaaa… thanxs for this info.Bebetul membantu as ‘homework’ sebelum ke sana pada Depavali nanti hehehehe


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: