Bukit Tabur ~ KOSMO 17 November 2007

Kotaraya Kuala Lumpur tetap sibuk di suatu pagi Sabtu. Banyak kenderaan menempuhi Lebuhraya MRR2 untuk ke pusat bandaraya. Pemanduan saya ada ketikanya tersekat-sekat oleh kesesakan jalanraya walaupun tidak seteruk seperti mana pada hari-hari biasa. Mungkin di sebalik cuti hujung minggu yang sering dinanti-nantikan khalayak, masih ada yang terpaksa bergegas ke tempat kerja.

Perjalanan saya kemudiannya terhenti di Taman Melawati. Kemudian saya mengunjungi sebuah restoran untuk sarapan pagi. Sudah semestinya roti canai berkuah dal campur kari dengan teh tarik jadi pilihan. Agak lama juga saya menunggu rakan-rakan yang dijangka turut bersama untuk menempuhi satu lagi pengembaraan penuh cabaran di hujung minggu. Cabaran untuk mendaki Bukit Tabur yang belum pernah saya lakukan sebelum ini. Saya difahamkan oleh rakan-rakan bahawa kawasan tanah tinggi ini menjadi tumpuan warga kota di hujung minggu dan hari cuti.

Kesemua pendaki akhirnya tiba pada kira-kira pukul 9.30 pagi yang merangkumi tujuh peserta termasuk seorang kanak-kanak berusia sepuluh tahun. Kami seterusnya menempuhi jalanraya sempit yang bengkang-bengkok, ibarat ular kena palu, ke kawasan berhampiran pintu masuk ke Empangan Klang Gate. Banyak kenderaan pakir di sepanjang jalanraya itu. Pada pukul 10.00 pagi, kami menyusun langkah mendaki bukit curam melalui denai yang menempuhi kawasan dusun buahan. Kami turut berselisih dengan beberapa pendaki yang sedang turun dengan berlencunkan keringat. Mungkin mereka memulakan perjalanan sebelum pukul 7.00 pagi lagi.

Pepohon buahan seperti rambutan memayungi redup trek yang kami tempuhi. Kami terus mendaki trek yang agak mencanak, yang kiri kanannya sedikit semak. Pendakian itu agak memenatkan dan tidak sampai setengah jam tubuh yang mulanya kering kini basah dengan keringat. Masa terus berlalu dan trek yang kami lewati berikutnya tidak lagi bernaungkan pepohon berkanopi tebal seperti mana di awalnya.

Kami mula menempuhi kawasan yang kurang mendapat naungan. Walaupun begitu, cuaca yang agak suram dengan awan tebal menghalang panahan cahaya matahari terik daripada menyengat perit kulit yang tidak berlitup. Cahaya matahari mungkin berfungsi sebagai penjana kehidupan tetapi ia juga boleh memudaratkan. Pendedahan terlampau terhadap gelombang ultra-ungunya boleh mengakibatkan kanser kulit kepada manusia.

Laluan yang kami tempuhi juga turut berubah dengan peningkatan ketinggian. Tiada lagi tanah kuning merah yang menjadi tempat akar pepohon tinggi memegang erat. Kini, batu-batan dan pasir menghiasi laluan yang kami lewati. Kepelbagaian biologi turut berubah secara mendadak. Jumlah spesis flora yang meliputi permukaan bumi menyusut. Hanya tumbuhan kecil serta pepohon kayu, seakan Baeckea frustescens, mendominasi landskap semulajadi yang kami jejaki. Karakter fizikalnya memang mencuri perhatian, persis bonsai yang bernilai tinggi. Kecantikan yang dikagumi manusia sejak ribuan tahun.

Kemudian, kami duduk di atas batu di puncak bukit. Kelihatan, nun jauh di Timur, kawasan tanah tinggi dengan bukit batu berflora menghijau yang rupanya agak sama dengan kawasan yang kami jelajahi. Kami juga dapat menyaksikan pemandangan Empangan Klang Gate dengan tasiknya yang berkelok-kelok dan airnya bergenang tenang. Di samping itu, kawasan sekeliling tasik buatan manusia tersebut dilatari indah hutan Dipterokap tanah rendah yang kehijauannya sering menenangkan fikiran dan menyejukkan pandangan. Empangan Klang Gate yang diairi oleh Sungai Kelang mula beroperasi sejak 1958 untuk membekalkan air kepada jutaan warga kotaraya.

Sungai Kelang merupakan antara dua sungai utama yang menjadi mercu tanda Kuala Lumpur termasuk Sungai Gombak. Walaupun begitu, alirannya yang berwarna teh tarik yang mengilir di tengah-tengah ibunegara Malaysia itu telah lama tercemar. Sungai yang mengalir jernih di sebelah hulu itu, menerima ‘hadiah’ kira-kira 100 ton sampah sehari yang bersamaan dengan sepuluh lori. Sekiranya hari hujan, alirannya akan menampung kira-kira 300 ton pula. Kerajaan juga terpaksa berbelanja besar untuk membersih dan membuang kelodak dari sungai itu. Begitulah statistik bagi sebatang sungai yang diberi tahap tercemar yang bersamaan dengan Gred 4.

Pemandangan yang dapat kami saksikan dari tempat kami duduk berihat sememangnya hebat dan memikat. Puncak-puncak bukit batu dengan tasik buatan manusia yang terhasil daripada aliran Sungai Kelang yang diempang. Banjaran gunung yang membentuk tulang belakang Semenanjung, iaitu Banjaran Titiwangsa. Tanah pamah yang bersulamkan tompokan hutan menghijau yang sering menjadi buruan pendaki untuk dijelajahi. Keindahannya sukar digambarkan dengan kata-kata. Cuaca pula tidak terlalu panas dengan awan putih dan kelabu menghiasi langit, tanda-tanda yang hujan akan turun. Angin sepoi-sepoi menghembus lembut menyegarkan udara yang kami hirup tanpa rasa jemu.

Kami angkat kaki selepas peluh mula mengering dan tenaga beransur-ansur terbina kembali. Kami berjalan sambil menikmati pemandangan kiri kanan yang indah dan mengujakan. Suatu pengalaman yang cukup berbeza. Tidak seperti mana yang biasa saya alami tatkala menempuhi denai hutan tebal ke puncak-puncak gunung yang tinggi. Di mana flora menghijau tumbuh rapat mengekang pandangan sekeliling. Di sini segala-galanya terserlah meriah.

Kami turut menuruni cerun dan tebing berbatu yang memerlukan konsentrasi untuk dilepasi. Kaki memijak kemas dan jari-jemari mencengkam erat permukaan berbatu yang kesat. Kealpaan boleh mengundang kecelakaan. Kesilapan boleh menghumban pendaki jauh ke dalam jurang yang dalam. Walaupun perasaan takut menghimpit diri namun keterujaan menghadapi cabaran mengatasi segala-segalanya. Keindahan dan keunikan kawasan berbukit yang kami tempuhi ternyata berbaloi dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi.

Pepohon ala bonsai, seakan-akan Baeckea frutesecens, terus-menerus mendominasi trek yang kami tempuhi. Di sebalik buminya yang tandus yang hanya bertatahkan batu-batan dan butiran halus pasir, masih ada spesis flora yang mampu bertahan. Begitulah indah dan ajaibnya ciptaan Tuhan bagi pepohon berkayu yang melatari kawasan berbukit yang kami jelajahi. Malangnya, di beberapa lokasi, masalah vandalisme jelas kelihatan. Tulisan grafiti dengan pelbagai warna yang menyakitkan mata dan mencacatkan pemandangan terpaksa kami tatapi.

Bukit Tabur, yang mengunjur dari Taman Melawati sehingga ke Zoo Negara, merupakan sebahagian daripada Rabung Klang Gate. Rabung yang kelihatan dari jauh seakan-akan bukit batu kapur itu sebenarnya terbina daripada partikel kuarza. Kuarza merupakan mineral yang biasa dijumpai, sejenis silika yang menjadi bahan asas dalam pembuatan kaca. Rabung Klang Gate dianggarkan sepanjang 16 kilometer dengan ketinggian purata 60 meter. Rabung ini juga dianggap sebagai rabung kuarza terpanjang di dunia.

Tali nilon turut dipasang di tebing curam yang sukar dituruni dan didaki. Ada ketikanya, kaki ini terjuntai-juntai mencari tempat berpijak. Tangan kanan saya yang baru pulih dari kecederaan masih terasa sakitnya ketika berpaut erat dan melonjakkan diri untuk melepasi halangan-halangan yang berbatu kesat. Batu-batu kuarza yang berwarna kelabu dan putih memancar indah apabila disimbahi sinar mentari.

Kami terus berjalan naik dan turun trek kering yang berpasir dan berbatu itu. Kadang-kala, kepenatan yang terlampau memaksa kami berhenti untuk melepaskan lelah. Peluh pula tidak henti-henti membasahi tubuh yang terpaksa bekerja keras untuk sekian lamanya. Kaki kemudiannya menempuhi kawasan yang redup dengan pepohon ala bonsai. Permukaan kami berpijak pula kadang-kala berselimutkan lumut yang terhampar hijau. Unik, indah dan mempesonakan untuk persekitaran yang hampir kering kontang bagi satu hidupan yang amat bergantung pada kelembapan.

Pemandangan berikutnya yang dapat kami saksikan adalah kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan blok bangunannya yang berbumbung biru. Manakala terletak agak berhampiran adalah,. jalanraya yang membentuk Lebuhraya Karak. Nadi perhubungan utama antara Pantai Barat dengan Pantai Timur Semenanjung. Karak merupakan lebuhraya dua hala dua lorong yang dinaik-taraf kepada dua hala enam lorong kira-kira sepuluh tahun lalu. Sepertimana dari mula kami mengatur langkah, sayup-sayup kedengaran deruan enjin kenderaan bermotor memecah keheningan dunia indah yang penuh dengan ketenangan dan keindahan.

Pada pukul 12.45 tengahari, setelah menempuhi laluan berliku dan mencabar selama hampir tiga jam, perjalanan kami pun tiba di klimaksnya. Kami terduduk keletihan di bawah pepohon ala bonsai yang menaungi redup dengan permukaan buminya yang sedikit menghijau dengan tompokan-tompokan lumut. Kami duduk sambil menikmati bekalan berupa minuman penghilang kehausan dan makanan penjana kekenyangan serta kekuatan badan.

Agak lama juga kami duduk bersantai di situ. Beberapa minit kemudian, azan menandakan masuknya waktu solat Zuhur kedengaran berkumandang dari corong-corong pembesar suara masjid berhampiran. Satu melodi indah yang mengingatkan kita tentang betapa berkuasanya Tuhan yang Maha Esa. Tuhan yang menciptakan alam indah ini untuk kita semua menfaatkan bersama.

Panorama kotaraya Kuala Lumpur dengan bangunan pencakar langitnya samar-samar kelihatan dek dikaburi lapisan jerebu putih. Antara bangunan menceracak yang dapat kami saksikan yang sering menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar Negara adalah Menara Berkembar Petronas (KLCC). KLCC, dengan ketinggian 452 meter dan siap sepenuhnya pada tahun 1997, merupakan antara bangunan dunia tertinggi.

Pada pukul 2.30 petang, kami beransur-ansur meninggalkan bahagian Barat Bukit Tabur. Kami menempuhi kembali tempat yang kami daki tadi tetapi hanya untuk seketika. Perjalanan berikutnya adalah melalui cerun curam yang tidak kami lewati sebelum ini. Kami menempuhi kawasan yang subur dengan pokok renek dan rumput liar yang tinggi. Kawasan batu kuarza perlahan-lahan kami tinggalkan.

Berikutnya kami menempuhi kawasan dusun yang subur dengan pepohon cempedak, durian dan rambutan. Pepohon dokong, limau dan pulasan turut menyuburi kawasan. Kami mengambil masa hampir sejam untuk tiba di tempat permulaan pengembaraan yang sangat menyeronokkan. Kemudian, kami memilih haluan yang berlainan untuk pulang ke tempat masing-masing. Mungkin di lain masa, mungkin di lain ketika, kami diketemukan kembali untuk mengembara di kawasan tanah tinggi yang lain pula. Kerana, bagi kami, tiada erti berihat panjang dalam kamus pendaki-pendaki.

1 Comment

  1. eazmas said,

    September 2, 2009 at 2:27 pm

    askum… seronoknye team korang gi treking jauh2.. ada pengalaman misteri x? leh x aku join team treking korang ni.. aku pon berminat ar..


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: