Bujang Melaka ~ KOSMO 15 Julai 2006

Firman Allah dalam Al-Quran, surah Luqman, ayat 29, mafhumnya, “Apakah tidak perhatikan bahawanya Allah menyelinapkan malam ke dalam siang dan menyelinapkan siang ke dalam malam, dan Dia tundukkan matahari dan bulan. Semua berjalan sampai waktu yang telah ditentukan. Dan sesungguhnya Allah terhadap sesuatu apa yang kamu kerjakan, adalah sangat teliti”.

Jam di tangan saya telah menunjukkan ke pukul 11.55 malam. Malam semakin larut tetapi kesibukan jalanraya di kotaraya Kuala Lumpur seolah-olah tiada penghujungnya. Walaupun tidak sesibuk sepertimana waktu-waktu puncak namun talian kenderaan yang bergerak masih tidak putus-putus.

Hampir sejam lamanya kami menunggu di stesen komuter Putra. Dari jauh kelihatan seseorang berjalan kelam-kabut menggalas beg besar yang kelihatan agak berat. Lembaga tersebut bergerak ke arah kami. Tidak salah lagi, itulah rakan yang kami tunggu-tunggu sejak sekan lama, iaitu Azizan.

Kali ini kenderaan pelbagai guna merangkap van yang saya pandu penuh muatannya. Kami meneruskan perjalanan menyusuri jalanraya di ibukota yang sibuk dan diterangi lampu neon. Perlahan-lahan kami memasuki Lebuhraya Utara-Selatan yang tidak kurang juga sibuknya.

Perjalanan menjadi lebih lancer sebaik sahaja kami menempuhi lebuhraya. Kenderaan agak banyak, mungkin kerana hujung minggu. Saya terus memandu sambil berbual-bual dengan Rushdan yang duduk di sebelah. Kehadiran beliau sedikit sebanyak menghilangkan rasa mengantuk.

Kira-kira pukul 2.00 pagi, kami tiba di Hentian Tapan. Keadaan di hentian tersebut agak sesak. Aneh juga saya rasakan. Tatkala ramai sedang dibuai mimpi indah, masih ramai lagi yang berada di luar seperti kami dengan pelbagai ragam dan tujuan. Kami berhenti agak lama untuk makan-makan dan minum-minum.

Perjalanan kami teruskan dan kami kemudiannya keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan sebaik sahaja menghampiri laluan ke luar ke pekan Tapah dan destinasi tanah tinggi tersohor di Semenanjung, iaitu Cameron Highland. Pekan Tapah yang kami tempuh sunyi-sepi, hanya beberapa gerai yang menjual makanan masih beroperasi.

Tepat pukul 3.00 pagi, kami selamat tiba di pekan Kampar, berhampiran perkarangan sebuah masjid yang gelap gelita. Dari remang-remang cahaya lampu jalan, kami terlihat sekumpulan remaja sedang berbual-bual. Ramai juga di antara mereka yang tidur nyenyak di kaki lima gerai berhampiran.

Kami bertukar-tukar khabar. Rupa-rupanya mereka merupakan sekumpulan pendaki yang akan menjejakkan kaki ke puncak Gunung Bujang Melaka. Menurut mereka lagi, mereka dijadualkan memulakan perjalanan di sebelah siang. Kami pula akan memulakan pendakian dalam kegelapan awal pagi.

Rakan kami yang seorang lagi, iaitu Rafaei, yang datang dari Ipoh turut serta. Kumpulan kami kini berjumlah 9 orang. Kami seterusnya meneruskan perjalanan ke Air Terjun Batu Berangkai melalui jalan bertar sempit yang menempuhi kawasan penduduk kampong setempat.

Keadaan sekeliling sungguh gelap. Hanya deruan air terjun jelas kedengaran. Kami seterusnya memasukkan peralatan ke dalam beg galas untuk kegunaan di sepanjang pendakian. Barang-barang yang tidak diperlukan ditinggalkan bagi mengurangkan bebang yang harus dipikul.

Aznal merupakan rakan pertama yang memandu saya ke puncak Gunung Bujang Melaka kira-kira 7 tahun lepas. Sejak dari tarikh itu, setiap tahun saya mengunjungi semula gunung tersebut. Namun begitu, buat julung-julung kalinya kami menjejaki laluan tersebut dalam kegelapan.

Tepat pukul 3.40 pagi memulakan perjalanan. Aznal mengetuai kumpulan kami yang bersembilan. Hanya lampu suluh di kepala dan di tangan bagi beberapa rakan menjadi panduan berjalan membelah kegelapan. Keadaan di sekitar sungguh dingin dan menyegarkan badan.

Pada suatu ketika saya rasakan ada sesuatu yang tak kena. Rupa-rupanya kami telah tersasar arah. Kami tiada pilihan melainkan berpatah balik dan meneliti semula lauan yang telah ditempuh. Walaupun hari masih gelap namun gerak hati dan pengalaman membantu kami menjejaki semula laluan yang betul.

Kami mula memecah keringat setelah berjalan agak lama juga, iaitu kira-kira sejam. Kami berhenti berihat berhampiran sebatang anak sungai. Dari simbahan cahaya lampu suluh dan dari pengalaman menjejaki laluan sebelum itu, aliran sungainya sememangnya jernih dan menyegarkan.

Kami berhenti sebentar hanya sekadar untuk minum-minum sambil mengurangkan keletihan sebelum menyambung semula perjalanan. Masa terus berlalu dan laluan yang kami tempuhi mula mencanak. Sekali lagi kami tersasar arah. Namun sepertimana sebelumnya, cubaan kami menjejaki laluan sebenar membuahkan hasil.

Keadaan trek yang kami tempuhi untuk masa-masa berikutnya semakin curam. Keadaan trek yang juga licin oleh hujan yang kerap turun akhir-akhir itu juga banyak menimbulkan kesukaran. Tetapi, sebagai pendaki kami harus akur kepada satu perkara, kami harus menyesuaikan diri dengan persekitaran dan bukan si sebaliknya.

Walau sesukar mana sekalipun, kami harus pasrah dengan keadaan. Itulah yang menjadikan sesuatu ekspedisi itu pahit untuk ditempuh tetapi mais untuk dikenang. Tiada erti serik dalam kamus seorang pendaki. Apa yang kami harapkan adalah moga-moga kami selamat pergi, dan selamat pula kembali.

Pendakian dalam kegelapan juga penuh dengan cabaran walaupun ada kelainannya. Trek yang kita anggap remeh dan mudah di siang hari berubah wajah tatkala kegelapan malam mula berlabuh. Trek tersebut juga tidak lari dari bahaya haiwan berbisa yang melata seperti ular, kala jengking dan lipan.

Namun begitu, kami bernasib baik kerana trek yang kami yang kami tempuhi tidak banyak halangannya. Kami tidak perlu meredah air sungai separas dada seperti di Gunung Tahan, memanjat balak tumbang yang menghalangi laluan seperti di Gunung Liang atau merangkak di bawah rumpun buluh seperti di Gunung Stong dan Ayam.

Pada pukul 6.40 pagi, ketika remang-remang cahaya siang mula menembusi lantai hutan, kami selamat tiba di tapak perkhemahan utama. Tibalah masanya untuk berhenti berihat sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Bujang Melaka yang tinggal kira-kira sejam perjalanan.

Ada juga rakan-rakan yang menggantung hammock untuk melelapkan mata walau seketika. Dua tiga rakan lain pula sibuk mengeluarkan peralatan untuk menyediakan sarapan pagi manakala saya pula bergegas untuk menunaikan solat Fajar yang telah hampir tamat tempoh.

Sarapan yang kami jamah boleh dikatakan mewah juga. Roti dengan tuna, kek pisang dan mee segera, senarainya agak panjang. Agak lama kami dudk bersantai di situ. Kami makan, minum sambil berborak-borak dengan penuh keceriaan, mengimbas kembali kenangan menjejaki laluan ke puncak-puncak gunung yang terdahulu.

Tepal pukul 9.00 pagi, Aznal mengetuai semula kumpulan kami. Namun Rahmat dan Mat Som, yang pernah saya bawa menjejaki laluan ke puncak Gunung Bujang Melaka sebelum itu, tidak turut serta. Mereka berhasrat untuk terus berada di tapak perkhemahan tersebut menunggu kami turun.

Laluan yang kami tempuhi sebaik sahaja meninggalkan tapak perkhemahan tidak sesukar sebelum itu. Keadaan flora juga mula sterotaip dengan hutan gunung atau montane, di mana kepelbagaian spesis menurun secara mendadak. Kami turun dan naik laluan untuk kira-kira sejam lamanya sebelum tiba di puncak.

Langit biru dengan cuaca terang-benderang menyambut kedatangan kami di puncak. Panorama puncak agak menarik tetapi pandangan kami hanya terbatas pada sudut tidak sampai 180o. Pokok-pokok yang tumbuh subur di kawasan puncak menghalang kami dari menikmati keseluruhan suasana sekeliling.

Keadaan puncak Bujang Melaka juga agak sempit dan kurang rata sememangnya kurang sesuai dijadikan tapak perkhemahan. Sinar sang suria juga mampu menyengat kulit di kawasan tanpa teduhan. Kami seterusnya mengambil gambar berlatar-belakangkan beirut yang menjadi mercu tanda puncak. Kami berada kira-kira 30 minit di bawah struktur beirut untuk berihat dan minum-minum. Selepas itu kami meninggalkan kawasan tersebut untuk memulakan perjalanan turun ke tapak perkhemahan. Perjalanan turun yang agak pantas itu mengambil masa kira-kira 45 minit.

Tapak perkhemahan tersebut luas dan rata. Ia mampu memuatkan tidak kurang dari 40 pengunjung untuk satu-satu masa. Saya dan rakan-rakan pernah bermalam di situ. Bekalan air bersih tidak menjadi masalah kerana terdapat sebatang anak sungai yang mengalir jernih berhampiran.

Kami seterusnya meninggalkan kawasan tersebut kira-kira pukul 1.30 tengahari. Kami berjalan berhati-hati menuruni trek yang curam dan licin kerana takut jatuh tergelincir. Kami juga berselisih dengan pendaki-pendaki dari kumpulan yang kami temui ketika mula-mula sampai di awal pagi.

Saya juga tersua dengan beberapa rakan pendaki yang pernah bersama saya sebelum itu. Bob, misalnya, pernah bersama saya ketika mengharungi trek 7 hari lamanya di puncak-puncak Gunung Chamah dan Ulu Sepat. Begitu juga Salem yang pernah mendaki bersama saya di Gunung Bujang Melaka dan Gunung Ledang.

Kumpulan mereka agak besar juga, iaitu di antara 30 hingga 40 pendaki jika dibandingkan dengan kami yang hanya seramai 9 orang. Kami sempat bertukar-tukar khabar sebelu meneruskan perjalanan yang masih belum tercapai objektifnya, ke puncak bagi mereka dan ke base-camp bagi kami.

Kami tidak banyak berhenti selepas itu dan sekiranya kami berbuat demikian, mungkin hanya seketika, mungkin hanya sekadar 5 atau 10 minit sahaja. Kami juga banyak menempuhi anak-anak sungai. Itu adalah sesuatu yang unik tentang trek Gunung Bujang Melaka, banyak punca air yang boleh dijumpai di sepanjang perjalanan.

Ketika melewati kawasan semak yang agak rata saya terperanjat dengan kehadiran sang ular yang berwarna hijau. Setelah mengamati dengan teliti saya yakin bahawa ular tersebut adalah ular daun yang bukannya dari spesis ular berbisa seperti ular kapar yang mempunyai warna yang hampir serupa.

Kehadiran ular tersebut sememangnya mengujakan saya. Perlahan-lahan saya mengeluarkan kamera dan seterusnya saya menangkap ular tersebut. Walaupun saya yakin bahawa ular itu tidak merbahaya namun masih fobia dengan seekor ular yang cuba mematuk dalam usahanya untuk melarikan diri.

Cubaan saya untuk mengambil gambar ular daun tersebut menemui kejayaan. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan melalui denai yang hampir dengan jeram. Deruan airnya jelas kedengaran dan ada ketikanya kami berjalan betul-betul bersebelahan dengan jeram yang airnya mengalir jernih.

Kami kemudiannya menempuh kebun yang bertanam dengan duriang, manggis dan getah. Pokok getah yang dahulunya terbiar kini diusahakan semula. Tapak torehan baru jelas kelihatan. Tuan-tuan punya tanah sudah tentu teruja dengan kenaikan harga getah yang selari dengan melambungnya harga minyak mentah dunia.

Dua jam selepas meninggalkan tapak perkhemahan kami selamat tiba di Air Terjun Batu Berangkai. Tamat sudah satu lagi episode pendakian yang bermula dan berakhhir dengan jayanya. Sudah tiba masanya untuk kami duduk bersantai sampai menikmati kedinginan air terjun yang mampu menyegarkan tubuh.

Kami kemudiannya berendam dan berenang-renang dalam aliran sungai yang membentuk Air Terjun Batu Berangkai. Terasa begitu seronok dan menyegarkan badan setelah bertungkus-lumus menongkah bukit curam dan menuruni lurah licin. Tepat pukul 4.00 petang, kami pun pulang dengan membawa seribu kenangan manis.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: