Bubu ~ KOSMO 24 Mac 2007

Malam telah lama berlabuh. Kereta yang kami naiki meluncur selaju 110 kilometer sejam melalui lebuh raya Utara Selatan, laluan darat utama Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Kenderaan masih bertali arus tatkala kami menyusur keluar beberapa jam kemudian dari lebuhraya ke Kuala Kangsar yang berjarak hampir 400 kilometer dari Kuala Lumpur.

Bandar diRaja Perak itu sunyi sepi tatkala kami melewatinya. Hanya sebuah, dua gerai yang masih dibuka dengan sejumlah pengunjung yang tak seberapa. Kami meneruskan perjalanan dan tiba di Hutan Rekreasi Ulu Kenas 20 minit kemudian. Sesampainya kami di situ, kami merebahkan tubuh yang keletihan sementara menunggu hari esok. Perjalanan yang jauh dari Kuala Lumpur itu agak meletihkan.

Pada pukul 8.00 pagi, selepas bersarapan, kami mula mengorak langkah. Tiada pengunjung lain yang kelihatan, mungkin hari masih awal lagi. Kami melewati kompleks Biro Tata Negara, yang menjadi mercu tanda hutan rekreasi itu. Kami mengatur langkah dengan menggalas beg berkapasiti antara 60 hingga 75 liter melalui jalan kenderaan pacuan empat roda. Udara pagi itu terasa dingin dan menyegarkan.

Laluan tersebut membawa kami ke bangunan mini hidro TNB (Tenaga Nasional Berhad). Trek agak kering dan sejak dari awal lagi kami ditemani deruan air jeram yang mengalir berhampiran. Berdasarkan pengalaman, sekiranya cuaca lembap, trek akan dibanjiri pacat (Hamaedipsa sp.) yang senantiasa menunggu mangsa. Kami terus menerus berjalan sebelum menyimpang ke denai hutan. Kami juga meniti batang-batang kayu yang merentangi anak sungai. Air terjun kecil turut menghiasi kiri kanan laluan yang kami tempuh.

Dua jam berikutnya, langkah kami terhenti di sebatang jeram airnya mengalir jernih dan deras. Kami meniti batu-batu ke seberang dan menanggalkan beg yang digalas. Agak meletihkan juga selepas berjalan melalui laluan yang meningkat kecuraman. Namun masih jauh perjalanan yang harus ditempuh. Kami duduk berihat sambil makan dan minum.

Kami menyambung pendakian setelah agak lama berhenti di situ. Kadang-kala, keheningan hutan yang menghijau terpecah dek ungka (Hylobates lar) yang bersahut-sahutan. Kami menempuh tapak perkhemahan dan semakin lama kami berjalan, semakin mencanak trek dirasakan. Kira-kira sejam kemudian, kami mula menuruni bukit dan menempuh kawasan berbatu. Kawasan itu juga disuburi semak yang mengaburi pandangan. Kami berjalan berhati-berhati untuk mengelakkan dari tersesat.

Kami menyeberang sungai yang sama beberapa kali dan berjalan di lereng bukit berhampiran. Trek itu akhirnya membawa kami ke kawasan yang agak lapang yang sering digunakan sebagai tapak perkhemahan. Berhampiran kawasan tersebut terdapat dua batang sungai yang aliran bercantum. Satu menyalirkan air jernih manakala yang satu lagi airnya berwarna teh-o pekat. Warna teh-o itu terhasil dari tanah gambut. Tanah yang terbentuk dari pereputan bahan organic mati seperti daun dan batang kayu.

Saya dan beberapa rakan pernah bermalam di situ. Saya teringat lagi ketika itu kami sedang leka menikmati makan malam. Tiba-tiba seorang rakan bingkas bangun dan menjerit ketakutan. Rupa-rupanya seekor ular menyusur betul-betul di sebelah beliau. Nasib baik pinggan yang ditatang dan penuh dengan nasi berlauk tidak dilemparkan kearah kami dalam kekalutan!

Kami yang bermandikan keringat lantas meletakkan beg galas dan terduduk keletihan. Makanan dan minuman diagihkan. Tekak yang kering minta dibasahi manakala perut yang kosong minta diisi. Hanya deruan air jeram yang mengalir di celah-celah batu kedengaran. Kami yang duduk keletihan terleka dibuai perasaan sambil menjamah makanan dan meneguk minuman. Agak lama juga kami singgah di situ sebelum meneruskan perjalanan.

Trek yang ditempuhi beberapa minit berikutnya amat curam dan semestinya memenatkan. Tali yang dipasang oleh pendaki terdahulu banyak membantu untuk meneruskan pendakian. Trek kemudiannya beransur mudah walaupun masih mencanak. Tumbuhan hijau seperti palma menyuburi kawasan yang kami tempuhi. Kami terus menerus mendaki dengan keringat yang mencurah tanpa henti.

Sejam setengah setelah meninggalkan tapak perkhemahan kami tiba di satu kawasan yang mengalir sebatang anak sungai. Sekali lagi kami berhenti rihat sambil mengisi bekas-bekas kosong. Tiada lagi punca air yang mengalir selepas ini. Kami seterusnya menyambung perjalanan yang kini menghampiri penghujungnya.

Trek amat curam sebaik sahaja kami bermula. Kaki yang keletihan memijak batu-batu licin. Tangan yang lenguh berpaut pada dahan-dahan pokok yang tumbuh subur di kiri kanan trek. Dahan dan pokok tumbang kerap jadi penghalang.

Hutan yang tempuhi perlahan-lahan bertukar wajah. Pepohon dan tumbuhan mula menipis. Kami mula menempuh hutan montane, hutan yang disuburi pokok ala bonsai yang berdahan dan berbatang seperti dipintal-pintal. Hutan yang mendominasi kawasan tanah tinggi yang kerap ditemui pendaki.

Tepat pukul 5.00 petang, iaitu sejam selepas meninggalkan punca air mengalir penghabisan, kami tiba di puncak. Gunung Bubu yang berketinggian 5,437 kaki itu sunyi sepi. Hanya kami berlima yang berdiri keletihan di puncak berbeirut itu. Walaupun dicengkam keletihan namun terpancar di wajah kegembiran. Kegembiran dek menempa kejayaan menjejakkan kaki di puncak setelah bertarung dengan pelbagai cabaran.

Kami kemudiannya beransur-ansur meninggalkan kawasan puncak. Trek yang tempuhi berikutnya turun naik dan agak sempit. 10 minit kemudian, kami tiba di sebuah kawsan lapang yang dipayungi pokok-pokok Leptospermum spp. Kami seterusnya mendirikan khemah untuk bermalam.
Pada sebelah malamnya pula, selepas menikmati makan malam, kami duduk berborak. Angin sepoi-sepoi bertiup. Suhu sejuk pergunungan membaluti kami, sejuk dan menyegarkan. Tanpa diduga ketenangan kami pada malam itu dikejutkan dengan kedatangan tetamu yang tak diundang. Seekor musang menghampiri tempat kami berkumpul. Sungguh aneh. Kehadiran mamalia tersebut disertai bau yang cukup harum. Kami berpandangan sesame sendiri. Mungkinkah ini yang dipanggil musang pandan?

Keesokan harinya, kami duduk termenung memerhatikan horizon yang mula mencerah. Segala-galanya terserlah di hadapan mata. Tiada kabus tebal yang menghalangi pandangan. Kehebatan awal pagi di kawasan tanah tinggi hutan hujan tropika sukar digambarkan dengan kata-kata. Tenang, dingin dan dihiasi molek warna-warna biru-hijau dan kuning-merah yang indah. Tidak puas-puas mata menatap keindahan ciptaan Tuhan. Keindahan yang tidak mungkin luput dari ingatan.

Kira-kira pukul 9.30 pagi, kami mula meninggalkan tapak perkhemahan selepas mengemas peralatan dan bersarapan. Kami tempuhi semula puncak Gunung Bubu yang tetap sepi. Sejak semalam, hanya kami berlima yang menerobos kawasan tanah tinggi ini. Kini, tibalah masanya untuk mengorak langkah menuruni trek yang berliku itu hingga ke penghujungnya.

Keadaan trek yang tidak terlalu licin memudahkan pergerakan. Namun, kami tidak boleh alpa dan gopoh menuruni cerun. Masih berhati-hati menyusun langkah demi langkah. Kegopohan hanya mengundang padah. Bukan sedikit jumlah yang cedera parah tatkala menuruni lurah.

Kami berhenti rihat setelah agak lama berjalan. Seekor kura-kura merangkak berhampiran. Kami memerhatikan gelagat reptilia tersebut berjalan lambat menuruni trek yang kami tempuhi sejak semalam. Tanpa berlengah, saya mengeluarkan kamera SLR (Single Lens Reflex) yang saya bawa dan merakamkan gambarnya. Terfikir pula oleh saya. Sekiranya ia berjalan seperlahan itu dari tempat kami duduk ke Ipoh, mungkin memakan masa berbulan lamanya!

Kami kemudiannya menyambung perjalanan. Seekor bengkarung (Dasia olivacea) tiba-tiba melintas. Reptilia pemakan serangga itu kelam kabut berlalu pergi apabila terlihat kelibat kami di kawasan hutan yang menjadi habitatnya. Sempat juga saya merakamkan imej analognya sebelum menyambung perjalanan turun melalui denai yang beransur-ansur menyusut kecuramannya.

Sebatang pokok durian (Durio zibethinus) kemudiannya menarik perhatian kami. Manakan tidak, ia mengeluarkan buah yang boleh dicapai pada pangkal batangnya. Buah durian biasanya tumbuh tinggi di atas pokok. Berdasarkan kajian, manusia telah mengeksploitasi 250 spesis tumbuhan liar dari hutan hujan tropika sebagai buahan yang boleh dimakan. Buahan lain seperti pisang, nanas dan rambai juga berasal dari tempat yang sama. Sedangkan di sebelah kawasan hawa sederhana, hanya 25 spesis yang berjaya dimanfaatkan.

Kami kemudiannya berhenti di jeram yang kami seberangi semalam. Penat juga rasanya menempuh perjalanan menuruni bukit. Kami duduk berihat sambil meneguk minuman dan menjamah makanan. Cuaca agak panas dan memeritkan ketika berada di kawasan tanpa pepohon menghijau. Kira-kira 30 minit kemudian, kami berada semula di jalanan.

Kami tempuhi kembali titian kayu yang merentangi anak-anak sungai dan tanah merekah. Kadang kala kelihatan tanda-tanda tanah digemburkan. Tanda-tanda tinggalan babi hutan yang menyodok dan menyelongkar tanah yang mencari sumber makanan seperti cacing dan serangga. Mereka juga makan ubi, buahan dan reptilia kecil. Ada laporan menyatakan yang haiwan liar itu tidak teragak-agak untuk menyerang manusia jika diancam.

Sejam selepas meninggalkan jeram tempat melepaskan lelah kami melewati kembali jalan pacuan empat roda. Seterusnya kami lewati semula bangunan mini hidro milik Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pada pukul 4.30 petang pula, dengan tibanya kami di kompleks Biro Tata Negara, pengembaraan kami pun tamat sudah.

Hutan rekreasi yang kami tinggalkan semalam berubah wajah. Jika semalam sunyi sepi, kini suasananya jelas meriah. Ramai pengunjung mandi manda dalam aliran sungai yang dingin. Kanak-kanak bermain air diiringi dengan gelak ketawa. Kami juga tidak melepaskan peluang menyertai mereka. Sungguh seronok dan menyegarkan. Hilang segala letih badan dan lenguh sendi tatkala air sungai membasahi kami. Kami kemudiannya bertolak pulang. Pulang dengan impian untuk kembali lagi sekiranya berkesempatan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: