Besar Hantu ~ KOSMO 12 Jan 2007

Namanya memang aneh dan pada masa yang sama menyeramkan. Kawasan hutannya dikatakan dihuni pontianak dan pelbagai jembalang yang menakutkan. Gunung Besar Hantu, begitulah nama yang diberikan kepada puncak tertinggi di Negeri Sembilan. Puncak yang terletak di penghujung Banjaran Titiwangsa, tulang belakang Semenanjung Malaysia. Baru-baru ini, kami berpeluang menjejaki laluan ke puncak yang bersempadankan Pahang dan Negeri Sembilan. Berikut adalah catatan pengembaraan kami selama dua hari satu malam menggapai puncak yang berketinggian 1,462 meter itu.

Hari Pertama: Kami menempuh perjalanan sejauh 15 kilometer dari kampung Chennah ke Kampung Tohor melalui jalan tar sempit yang agak usang. Banyak bahagian jalan yang telah rosak dengan permukaan pecah dan berlubang. Kiri kanannya pula diusahakan secara intensif dengan tanaman getah, tanaman yang pernah menjadi penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi negara. Harga getah asli kini naik mendadak selaras dengan melambungnya harga petroleum di pasaran dunia.

Pohon-pohon pisang yang subur berserta durian yang puluhan kaki tinggi turut mewarnai kawasan pedalaman yang kami tempuhi. Kami turut melewati perkampungan Orang Asli seperti Kampung Bertam dan Kampung Esok. Kami tiba di Kampung Tohor, satu lagi penempatan Orang Asli kira-kira pada pukul 12.00 tengahari. Kampung itu agak lengang seolah-olah telah lama ditinggalkan orang.

Kami kemudiannya meninggalkan Kampung Tohor dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda pula. Keadaan jalannya yang sempit, berlubang dan licin menghalang sebarang kenderaan pacuan dua roda dari meneruskan perjalanan ke Air Terjun Kijang Jatuh. Hanya sebahagian kecil bahagian jalan yang masih berkeadaan baik. Sementara itu, kenderaan kami nyaris-nyaris kandas dek jambatan kayu usang yang mereput lantainya.

Air Terjun Kijang Jatuh atau Lata Kijang dengan terjunan 80 meter merupakan tarikan utama ke Hutan Simpan Kenaboi ini. Namun, kedudukannya yang terpencil dengan jalan masuk yang teruk yang hanya dapat dilepasi kenderaan pacuan empat roda mematahkan semangat ramai pengunjung yang berhasrat ke sana. Pondok istirehat banyak dibina, tetapi tandasnya rosak semua.

Kami memulakan adventur pada pukul 1.45 tengahari dengan menyeberangi jeram cetek berbatu licin berhampiran air terjun. Kaki yang melangkah kemudiannya terpaksa mendaki anak-anak tangga usang yang dimamah usia serta berkarat. Kami mendaki perlahan-lahan anak-anak tangga yang berjumlah 339 itu yang dibina pada kecerunan 80 darjah. Hampir putus nafas kami dibuatnya tatkala tiba di penghujung.

Kami selepas itu meneruskan pendakian melalui denai sempit lagi curam. Denai itu bertemu dengan jalan balak di mana kami berhenti seketika untuk melepaskan lelah. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan melalui jalan balak yang turun naik. Keadaannya juga sedikit licin dan berlopak. Langkah kami akhirnya terhenti di Kem Hantu Air yang diairi anak sungai cetek yang mengalir jernih seperti kaca dan sedingin salju. Kami mengambil masa kira-kira sejam ke situ dari tempat permulaan di Lata Kijang.

Kami meneguk air penghilang dahaga sambil memenuhkan bekas-bekas yang tersimpan di dalam beg. Agak lama juga kami duduk berihat di situ sebelum meneruskan perjalanan dengan menyusuri tebing sungai. Kami kemudiannya menyimpang ke arah denai hutan yang lembek, licin dan agak curam. Rumpun buluh dan palma payung (Johannesteysmannia altifrons) turut menyuburi hutan yang kami tempuhi. Daun palma payung yang lebar sering digunakan sebagai atap rumah kediaman sesetengah masyarakat Orang Asli yang masih tinggal dalam hutan.

Kami terpaksa berhadapan dengan pokok dan dahan tumbang serta batang-batang buluh yang menghalang perjalanan. Pacat yang gemarkan habitat lembap lantai hutan menanti mangsa juga sering kelihatan. Trek yang kami tempuhi berikutnya bersambung semula dengan jalan balak. Kami berhenti sejenak bagi melepaskan mengah sambil meneguk minuman.

Trek yang kami lewati seterusnya subur dengan belukar resam, sesuatu yang tipikal dengan kawasan yang pernah diteroka untuk kerja-kerja pembalakan. Pokok tepus (Achasma megalocheilos) dengan bunga merah kuning terang juga tumbuh subur di kawasan yang redup dengan naungan. Tumbuhan herba dengan warna cerah itu tergolong di bawah famili Zingiberaceae bersama-sama dengan lengkuas, kunyit dan halia. Herba yang menjadi perencah masakan dan ramuan bahan perubatan sejak berzaman. Manakala di kawasan cerah yang disinari cahaya mentari, orkid buluh dengan rona putih ungu (Arundina graminifolia) pula mengambil tempat.

Kami terpaksa berpanas terik di kawasan belukar yang kehilangan naungan. Pokok resam yang tumbuh subur dan padat amat menyukarkan pergerakan. Perjalanan kami jadi perlahan. Kaki dan tangan tersangkut oleh juntaian batang-batang resam yang sentiasa menggugat perjalanan. Tidak habis-habis tumbuhan itu melibas dan mencalar kulit. Trek yang kami tempuhi juga merekah dalam dek terdedah kepada hakisan oleh elemen cuaca terutamanya hujan.

Kira-kira pada pukul 5.15 petang, saya bersama Jhad dan Cik Lee tiba di kawasan lapang yang dikenali dengan Kem Orkid. Tidak sesukar mana untuk menduga bagaimana tempat yang sedemikian mendapat nama. Banyak orkid buluh tumbuh subur dengan kuntum-kuntum bunga berwarna ceria. Lima rakan lain bersama dua penunjuk jalan Orang Asli telah agak lama tiba di situ. Mereka sibuk mengemas peralatan dan memasang tarpaulin tempat bermalam.

Kawasan permatang yang kiri kananya berjurang dalam merupakan tapak perkhemahan pilihan pendaki. Sayup-sayup kedengaran deruan air terjun yang mengalir berhampiran. Pokok-pokok berkanopi lebat dan tumbuh rapat-rapat turut kelihatan. Ungka serta siamang juga jelas kedengaran bersahut-sahutan. Kini, tibalah masanya untuk berhenti dari mendaki dan berihat sementara menunggu hari esok untuk menyambung pengembaraan.

Hari kedua: Kami mula mengorak langkah pada pukul 8.45 pagi selepas bersarapan bihun dan nasi goreng. Hanya pek galas kecil jadi teman sementara sebahagian besar peralatan kami tinggalkan. Kami berhenti sejenak di pertengahan jalan untuk memenuhkan bekas air. Kami seterusnya bermandikan keringat menempuh trek mencanak yang memenatkan.

Trek mencanak dan licin itu juga berserakkan dedaun mati serta lembap yang mereput. Semalam, kami terpaksa menempuh banyak kawasan berhutan sekunder dan berbelukar resam yang menyukarkan dan meletihkan. Kini, kami mula berjalan melewati kawasan yang berhutan dipterokap atas yang ketinggiannya melebihi 1,000 dari aras laut.

Kira-kira 30 minit selepas bermula dari Kem Orkid, kami mula menempuh hutan pergunungan yang didominasi lumut menghijau. Semakin tinggi kawasan yang kami daki, semakin menyusut jumlah spesis yang dapat ditemui. Kecuraman trek juga mula menyusut dan perjalanan kami terasakan lebih mudah. Namun, masih ada halangan tebing rendah berbatu yang harus kami daki. Lopak-lopak digenangi air hujan juga kami temui di sepanjang trek yang kelihatannya tanpa penghuni.

Pada pukul 9.45 pagi, kepayahan yang terpaksa kami hadapi serta usaha tanpa jemu sejak semalam membuahkan hasil. Kami tiba di puncak Gunung Besar Hantu yang berketinggian 1,462 meter itu. Wajah yang dibasahi keringat jelas kelihatan mengukir senyuman kepuasan. Struktur penanda puncak besi, atau beirut, yang usang dimamah usia tegak berdiri menunggu kami. Cuaca terang benderang dengan langit biru menambahkan lagi kegembiraan kami. Hanya kabus nipis yang sekejap datang dan sekejap pergi menyelimuti pemandangan indah yang tidak jemu-jemu mata kami nikmati.

Banjaran gunung hijau biru jelas kelihatan dari tempat kami berdiri. Bangunan resort yang berdiri teguh di Tanah Tinggi Genting juga dapat kami perhati. Rama-rama dengan pelbagai warna ceria turut terbang bebas. Di samping itu, terdapat dua puncak yang berjiran dengan Gunung Besar Hantu. Gunung Pagar Batu di sebelah Tenggara dan Gunung Hantu pula di sebelah Barat Daya. Manakala kawasan lapang untuk berkhemah berhampiran puncak mampu memuatkan kira-kira 20 pendaki untuk satu-satu masa.

Kami berkongsi makanan dan minuman ringan sambil berbual keriangan. Imej pemandangan dari puncak kami rakamkan. Begitu juga gambar grup yang dihiasi wajah-wajah keriangan. Pada pukul 11.00 pagi, kami beransur-ansur meninggalkan puncak yang jarang-jarang menerima kunjungan. Kami berjalan pantas menuruni trek curam, lembap serta licin. Kami tiba di Kem Orkid kurang dari sejam kemudian. Cuaca panas terik menyambut kami di tapak perkhemahan yang terletak pada altitud 900 meter itu.

Kami kemudiannya menikmati mi segera dan minuman panas sebelum mengemaskan peralatan serta membersihkan kawasan. Pada pukul 1.00 petang, kami berada semula di perjalanan. Kami menempuh sekali lagi kawasan resam yang menyukarkan perjalanan serta kawasan tanpa naungan dengan mentari terik memancar yang memeritkan. Trek curam dan licin kami tempuhi semula. Sejam selepas meninggalkan Kem Orkid, langkah kami terhenti di Kem Hantu Air dengan anak sungainya mengalir jernih yang baru sahaja kami singgahi semalam.

Hati saya tertanya-tanya berapa lama lagi segala keindahan alam maya ciptaan Tuhan ini mampu bertahan. Bukan sedikit jumlah sungai yang tercemar dek tabiat manusia yang sering menjadikannya sebagai saluran membuang kotoran. Berdasarkan kajian, 91 peratus pencemaran sungai berpunca dari air kumbahan. Sukar dibayangkan bagaimana air yang kotor dan memualkan meresap masuk ke dalam sungai tanpa sebarang rawatan. Masih ada lagikah hari esok untuk aliran indah pelengkap kehidupan yang mengalir sejak jutaan tahun? Memang sukar untuk diramalkan.

Kami berhenti sebentar di situ sekadar untuk meneguk minuman penghilang kehausan sambil melunjurkan kaki yang kelenguhan. Beberapa minit kemudian, kami menyambung perjalanan melewati jalan balak yang hening. Jalan balak yang agak licin dan berlopak-lopak yang jarang-jarang menerima kunjungan. Kami kemudiannya tiba di Lata Kijang pada pukul 2.45 petang setelah berjalan kira-kira dua jam dari tapak perkhemahan di Kem Orkid.

Kami seterusnya meninggalkan Hutan Lipur Lata Kijang pada pukul 4.00 petang. Pengembaraan mendaki dan menuruni Gunung Besar Hantu kini hanya tinggal memori namun masih banyak puncak yang harus kami takluki. Tiada erti berhenti bagi pengembara seperti kami. Pengembara yang tidak jemu-jemu mencari puncak-puncak baru yang harus didaki.

1 Comment

  1. camillenoir said,

    November 6, 2009 at 12:51 pm

    dalam gambar tu Johannesteijsmannia magnifica


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: