Berembun ~ KOSMO 28 April 2007

AIR TERJUN CHEMERONG, GUNUNG BEREMBUN (3,405 KAKI) & AIR TERJUN LASIR

Hari Pertama: Kami menempuh perjalanan melebihi 400 kilometer dari Kuala Lumpur sebelum tiba di Hutan Lipur Chemerong, Hulu Dungun, Terengganu. Cuaca cerah dengan langit biru menyambut kami di pagi hari yang baru. Kami seterusnya mengatur langkah pukul 10.40 pagi menyusuri denai hutan yang dibayangi bingit air terjun.

Kami terus berjalan turun naik denai hutan di samping melintas anak sungai. Kami juga menyeberang jambatan gantung dan tiba di kaki Air Terjun Chemerong 45 minit selepas bermula. Terjunannya yang dikatakan menjangkau 1,000 kaki itu memang menakjubkan. Tiada kata-kata dapat menggambarkan betapa cantik dan mempersonakan air terjun itu. Kami kemudiannya duduk berihat setelah agak lama berjalan.

Pukul 12.45 tengahari, kami menyambung perjalanan. Sungai Chemerong kami seberangi dengan meniti batu-batu dan berpaut pada tali nilon putih. Trek berikutnya, yang terpaksa kami tempuhi, amat curam dan memenatkan. Gelak ketawa dan senda gurau yang sebelum ini memeriahkan perjalanan telah lama lenyap. Sebagai ganti, dengusan nafas yang turun naik menanggung kepenatan yang amat sangat ibarat lembu kena sembelih kedengaran. Badan pun telah lama lencun memecah keringat menongkah bukit yang terlampau canaknya.

Agak lama juga laluan mencanak itu kami tempuhi. Kami seterusnya tiba di satu persimpangan dan menyusuri trek yang mula mengurang kecuramannya. Pada masa-masa tertentu, kami berhenti seketika untuk melepaskan lelah mendaki sambil meneguk minuman dan mengunyah makanan.

Laluan kemudiannya menurun ke satu lagi persimpangan. Kami menanggalkan beg dari badan lantas berjalan menuruni cerun curam. Lima minit berlalu dan kami tiba di kawasan berbatu curam dengan air terjun yang mengalir jernih. Terlupa kepenatan yang terpaksa ditanggung tatkala terpandang keindahannya. Kami juga menyusuri tebing sungainya hingga ke puncak air terjun untuk menikmati panorama kehijauan hutan yang menyejukkan mata. Sesejuk air yang mengalir tanpa henti di sekeliling kami.

Tumbuhan periok kera Nepenthes ampullaria dan orkid Arundina graminifolia juga menyuburi kawasan itu. Nepenthes ampullaria masih menjadi misteri kepada dunia sains botani. Flora tersebut merupakan satu-satunya dari genus Nepenthes yang tidak berfitur parasitik. Periok kera lain, misalnya Nepenthes macfarlanei, bergantung sepenuhnya kepada organisma seperti semut sebagai sumber nutrien. Manakala Nepenthes albomarginata pula mendapatkan sumber nutriennya daripada sejenis anai-anai, iaitu Hospitalitermes bicolor.

Kami kemudiannya berpatah balik dan menggalas semula beg untuk berjalan turun ke sebuah tapak perkhemahan iaitu Kem Balak. Air sungai yang mengalir di situ tidak kurang hebatnya, sejernih kristal dan menyejukkan. Rakan-rakan yang tidak dapat menahan perasaan terus sahaja meredah alirannya dan mandi. Manakala sebahagian dari kami hanya duduk berihat dan memantau keadaan.

Saya bersama Pak Buang, Pak Ramli dan Pak Rahim kemudiannya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke kem perkhemahan yang satu lagi. Sharil pula mengetuai kumpulan menunjukkan jalan. Kami menempuh pepohon kecil dan meniti batu yang bertaburan di tebing jeram. Kami juga turun naik denai di samping melangkah anak sungai yang kerap merentangi trek. Kira-kira 45 minit selepas meninggalkan Kem Balak, kami tiba di Kem Y.

Kawasan tersebut lengang dari pengunjung dengan jeram cetek yang mengalir deras. Kami kemudiannya duduk mandi dalam alirannya yang jernih dan dingin untuk membersihkan badan sebelum bersolat dan memasang tarpaulin tempat bermalam. Sebelah malamnya pula, tatkala mencuci pinggan mangkuk selepas makan, seekor labi-labi datang merayap di dalam air lut sinar itu. Reptilia tersebut mungkin tertarik dengan sisa makanan yang hanyut dibawa air.

Hari Kedua: Perjalanan hari ini bermula pukul 9.45 pagi. Kami menempuh papan tanda biru dengan teks putih tertulis “Gunung Berembun 2,200 meter”. Papan tanda seumpamanya banyak dipacakkan di trek untuk kemudahan pengunjung. Laluan agak mencanak di peringkat awal dengan pokok tumbang jadi penghalang. Trek kemudiannya beransur mudah dan kami berhenti rihat kira-kira pukul 10.30 pagi.

Kami seterusnya menyambung perjalanan sejam kemudian. Trek agak menaik tetapi kemudiannya menurun semula. Kami menempuh hutan pokok kerdil ala bonsai dengan anak sungai yang mengalir jernih. Banyak periok kera, Nepenthes spp., dari pelbagai spesis tumbuh di kawasan itu.

Kami kemudiannya mendaki semula dan tiba di puncak Gunung Berembun (3,405 kaki) pukul 12.30 tengahari. Kawasan tersebut redup disuburi pepohon rendang. Seterusnya, hidangan mi segera panas yang dimasak bersama hirisan nipis kobis dan telur menceriakan lagi suasana. Sememangnya cepat dimasak dan sedap dimakan. Kami makan sepuasnya hingga menjilat jari.

Agak lama juga kami duduk bersantai di situ. Pukul 1.45 tengahari, perjalanan kami teruskan. Masih jauh laluan yang harus ditempuh. Trek yang kami hadapi berikutnya amat curam tetapi kami bernasib baik kerana ianya kering. Kami menuruni trek yang berselirat dengan akar pokok itu dengan hati-hati. Tali nilon yang terpasang di beberapa lokasi kritikal banyak membantu.

Pepohon kerdil ala bonsai masih mendominasi kawasan yang kami tempuhi. Begitu juga dengan pelbagai rupa dan warna tumbuhan periok kera. Namun Nepenthes ampullaria adalah yang paling menyerlah. Tidak kira di kawasan tinggi maupun rendah, spesis unik itu sememangnya ketara mendominasi. Namun di tempat lain yang pernah saya jelajahi, ianya seolah-olah menyembunyikan diri. Memang tidak pernah saya temui.

Kami kemudiannya menyusuri tebing sungai dengan alirannya yang senantiasa mengalir jernih dan memukau. Kami juga meniti batu-batu ke seberang sungai yang tidak terlalu lebar itu. Kini, kami mula menempuh Sungai Lasir dan sejam selepas meninggalkan puncak Gunung Berembun, kami tiba di Air Terjun Lasir.

Keindahan alam maya di kawasan tersebut amat superior dan memikat. Hamparan batu bertingkat dengan air mengalir membentuk air terjun rendah, kolam bertakungan dengan air sejernih kristal dan pepohon Leptospermum spp. ala bonsai memperlengkapkan landskap indah anugerah Tuhan.

Lama juga kami duduk bersantai di situ. Tidak ada sesiapa yang terkecuali. Tidak ada sesiapa yang mampu menarik diri. Masing-masing tidak ketinggalan duduk berendam dan terjun ke dalam kolam yang agak dalam. Keseronokannya di luar gambaran. Kehebatannya sukar diceritakan. Sememangnya mengujakan dan memompakan adrenalin. Penat lelah dan pahit maung menempuh perjalanan jauh ke sini memang berbaloi.

Kira-kira pukul 5.00 petang, kami beransur-ansur menyusuri semula tebing Sungai Lasir yang berpasir dan berbatu. Perjalanan singkat itu membawa kami ke sebuah tapak perkhemahan. Pemandangan di situ juga tidak kurang hebatnya. Hamparan batu beralun dengan sungai yang mengalir jernih. Pepohon Leptospermum spp. kerdil dengan batang dan dahan yang bengkang bengkok serta berpintal-pintal memperlengkapkan keindahan yang tidak jemu mata memandang.

Gerimis kemudiannya turun diikuti dengan rintikan hujan. Hujan yang turun membasahi bumi menyingkatkan masa berjalan saya yang cuba menyelongkar misteri persekitaran serba indah itu. Saya bergegas ke tarpaulin yang dibina bersama Pak Ramli dan Pak Rahim sebagai tempat berteduh dan bermalam sementara menunggu hari esok.

Hari Ketiga: Berat rasanya meninggalkan keindahan dan ketenangan yang baru kami kecapi namun perjalanan harus diteruskan. Kami mula mengorak langkah meninggalkan tapak perkhemahan pukul 10.40 pagi dalam titisan hujan. Hujan masih dan tiada tanda-tanda yang ia akan reda.

Trek yang kami tempuhi berikutnya mencanak dan kemudiannya beransur-ansur landai. Kami kemudiannya menuruni bukit curam dan meniti tebing tinggi sebelum turun ke Sungai Bangang 45 selepas meninggalkan tapak perkhemahan di Sungai Lasir. Aneh sungguh, begitulah nama yang diberikan kepada sebatang sungai yang cantik alirannya. Kami berhenti sekejap di kawasan itu sebelum menyambung pendakian melalui trek yang amat mencanak dan licin.

Kami terus menerus berjalan menempuh trek yang beransur-ansur mudah. Kami melewati papan tanda yang tertulis Gunung Chemerong 937 meter. Kami juga berhenti rihat setelah sekian lama berjalan bersiramkan hujan yang menjadikan kami menggeletar kesejukan. Hujan itu seolah-olah tidak mahu berhenti membasahi bumi yang senantiasa dahagakan kelembapannya untuk menyambung kehidupan. Sesungguhnya hukum alam menetapkan bahawa kesemua hidupan tidak akan ujud tanpa air.

Kami seterusnya meneruskan perjalanan turun dan tiba di Kem Balak pada pukul 2.00 petang. Tapak perkhemahan itu sepi tanpa sebarang pendaki seperti mana yang kami tempuhi kira-kira dua hari lepas. Kami duduk berihat sambil menjamah makanan dan meneguk minuman sementara menunggu rakan-rakan lain tiba.

Jam di tangan menunjukkan ke pukul 4.00 petang tatkala kami menyambung perjalanan. Namun masalah lain pula yang timbul. Air sungai yang sebelumnya jernih dan tohor kini keruh dan dalam dek hujan yang turun tanpa henti. Seorang rakan terpaksa berenang ke seberang dengan seutas tali untuk membantu. Kami kemudiannya meredah air deras separas dada dengan berpaut pada tali yang direntang.

Trek lecak dan licin kami daki sebaik sahaja meninggalkan tebing sungai yang alirannya terus bergelodak. Trek tersebut kemudiannya membawa kami turun. Kami menuruninya dengan hati-hati kerana curam dan licin. Lebih sejam kemudian, kami terpaksa berhadapan sekali lagi dengan jeram mengganas. Tetapi kami bernasib baik kerana sebatang kayu merentangi jeram yang sederhana lebarnya itu. Kami kemudiannya meranduk aliran yang bergelora dengan berpaut pada kayu yang menjadi penyelamat pada saat-saat genting itu.

Kami bersyukur kerana melepasi detik-detik mencemaskan menyeberangi jeram bergelora yang penuh bahaya. Kami menyambung perjalanan dan tatkala menghampiri pukul 6.00 petang, saya bersama empat rakan selamat tiba. Baki rakan lain menyusul kurang 15 minit kemudian. Tiap yang bermula pasti berakhir dan pengembaraan ini juga tidak terkecuali. Namun apa yang pasti memori indah tiada noktahnya. Kami kemudiannya pulang dengan kenangan yang sudah pasti tidak akan luput dalam ingatan.

5 Comments

  1. KK said,

    September 29, 2008 at 3:51 pm

    sambil menikmati keindahan alam semulajadi, tolong jaga kebersihan bumi Allah ini, sebagai orang Islam yang beriman. !!! Islam apa yang benarkan kekotoran, dan sampah di buang merata rata. Merosakkan alam it kan Dosa….Ingatlah. Wassalam…

  2. bahariah baharudin said,

    February 27, 2009 at 8:34 am

    I’ve been there. last feb 09.. doing some cleanings at the pick n along the way.. a great experience. speechless. superb combinations of character among the 48 people. enjoyable. fun. wish i can repeat the adventure again… the view of the place makes me thinking… how lucky i am to be here..

  3. izzati said,

    October 12, 2009 at 3:49 pm

    salam…
    alhamdulillah..kami baru sahaja selesai dengan xpdc gunung berembun(8-10 okt 2009) …bila membaca kembali coretan ini,jelas terbayang keindahannya..teristimewa keunikan taman bonsai dan pemandangn air terjun langsir..sungguh mengujakan..

  4. kusaaz said,

    November 6, 2009 at 2:47 am

    ..Tempat ni memang cantik..dengan perjalanan menempuh jeram dan air terjun..Laman orkid dan bonsai…dan pokok-pokok lain..Tapi tim saya buat 8 jam saja..7 pagi..3 ptg dah ada kat bawah.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: