Benom ~ KOSMO 25 Ogos 2007

Tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang inginkan kegagalan. Namun, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Kami berhasrat menjejaki laluan ke puncak Gunung Benom melalui Kampong Tengah yang terletak berhampiran dengan Kampong Ulu Cheka di Jerantut, Pahang. Pendaki-pendaki dewasa ini menggunakan laluan berhampiran Lata Berembun di sebelah Raub untuk ke Gunung Benom, puncak ke-10 tertinggi di semenanjung Malaysia. Ikuti pengalaman pahit getir dan suka duka kami mempertaruhkan nasib menjejaki semula laluan yang berliku dan penuh mencabar itu. Satu laluan yang telah lama ditinggalkan orang.

Hari Pertama: Kami mula mengatur langkah kira-kira pada pukul 8.00 di satu pagi yang cerah dan hening selepas bersarapan. Perjalanan kami adalah melalui jalan tanah merah di sebuah ladang yang diusahakan dengan pelbagai tanaman buahan seperti durian, nangka dan dokong. Di kalangan kami, tiada seorang pun yang pernah menjejakkan kaki ke sebelah sini. Kami hanya berbekalkan maklumat bercetak yang dimuat-turun dari internet, peta topo, kompas dan alat mengesan kedudukan atau GPS (Global Positioning System).

Setelah sekian lama berjalan dengan keringat membasahi diri, barulah rakan yang mengetuai kumpulan menyedari bahawa kami telah mengikuti simpang yang salah. Agak lama juga kami berpusing-pusing dalam dusun yang luas itu sebelum terjumpa jalan yang sebenar. Kami juga terpaksa meminta bantuan orang kampong untuk menunjukkan arah yang betul. Namun di sebalik keletihan, masih ramai yang mampu bergurau-senda sambil menguntum senyuman keriangan.

Kami seterusnya menempuh perkampungan Melayu tradisional dan kawasan lapang yang pernah diusahakan dengan tanaman padi. Laluan berikutnya membawa kami ke kawasan bukit berteres yang subur dengan pepohon getah. Sekali lagi kami terpaksa bertanyakan arah kepada seorang penduduk kampong yang sedang tekun menoreh. Kami kemudiannya mendaki trek curam di kawasan kebun getah itu sebelum tiba di pinggir hutan. Tetapi, agak malang bagi sebahagian kecil rakan-rakan yang berteriak kesakitan disengat penyengat yang tidak mengenal mangsa.

Kami kemudiannya menongkah bukit mencanak yang sarat dengan tumbuhan. Laluan berikutnya juga agak samar dek subur dengan semak samun kerana telah lama tidak ditempuhi pendaki. Agak lama juga kami mendaki dan menuruni kawasan hutan berbukit curam itu. Sekali lagi kami gagal mengesan arah tuju sebenar. Saya dan ramai rakan terduduk keletihan manakala sebahagian kecil yang lain bertungkus lumus berusaha tanpa henti mencari trek yang harus kami tempuhi. Namun alat GPS yang mereka gunakan sukar berfungsi di bawah naungan kanopi pokok yang tebal.

Tiba-tiba terdengar jeritan yang memecahkan ketenangan hutan. Rupa-rupanya, seekor ular terjatuh dari atas pokok betul-betul di hadapan seorang rakan yang tersandar keletihan. Gadis itu bingkas bangun terlompat-lompat ketakutan dengan muka pucat ditoreh pun tak berdarah. Nasib baik tiada yang tercedera dalam insiden itu. Peristiwa tersebut sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada kami yang masih sukar menjejaki haluan.

Tekanan perasaan yang terpaksa kami hadapi itu sedikit sebanyak terubat dengan kehadiran seekor serangga unik. Walaupun ianya masih di peringkat juvana, karakter fizikalnya akan membuatkan sesiapapun teruja. Bentuknya seakan-akan ranting dan daun kayu kering. Sekiranya tidak berhati-hati, haiwan tersebut sudah tentu mati terpijak di bawah tapak kaki pendaki. Ia merupakan spesis serangga Malaysian Jungle Nymph, Heteropteryx dilatata, yang sukar ditemui. Bentuk dan warnanya menjadi agen penyamaran yang efektif untuk menyukarkan haiwan lain mengesan kehadirannya di hutan. Ia juga tersenarai dalam Guinness Book of World Records sebagai haiwan yang menghasilkan telor serangga paling besar di dunia.

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan setelah yakin dengan kordinat yang diperolehi setelah berpandukan kepada peta topo, kompas dan alat GPS. Perjalanan kami kemudiannya terhenti di jeram yang mengalir jernih. Kami kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti di situ setelah mendapat kata sepakat. Badan yang bermandikan keringat terasa begitu letih setelah berjalan berjam lamanya ditambah dengan mental yang berkecamuk dek kerap tersesat.

Kami berihat di kawasan itu sambil menikmati makan tengahari. Kalori yang telah lama hilang harus diganti. Ada juga rakan-rakan yang mengambil kesempatan berendam di dalam aliran yang dingin lagi menyegarkan. Aliran mengasyikkan yang mudah ditemui di hutan dara Negara ini. Walaupun begitu, ia sentiasa diasak dengan ancaman pembangunan yang rancak berjalan dengan pelbagai tujuan.

Walaupun begitu, ketenangan yang baru kami kecapi tergugat oleh hujan yang turun tanpa amaran. Mula-mula hanya sedikit-sedikit kemudiannya ia turun mencurah-curah. Kami kemudiannya cepat-cepat memasang tarpaulin untuk berlindung sementara menunggu hujan reda. Di sebalik tubuh yang lencun bermandikan hujan, masih ada yang melelapkan mata dek keletihan yang amat sangat menempuhi kawasan mencanak dan curam yang sukar ditentukan hala tujunya.

Kira-kira pada pukul 3.00 petang barulah hujan itu reda. Jeram yang kami harus seberangi bergolak dengan arus yang deras dan air yang tadinya sejernih kristal kini agak keruh. Namun begitu, kami bernasib baik kerana aliran itu tidak terlalu dalam, tidak sampai paras lutut. Kami kemudiannya berhati-hati menyeberangi arus bergolak itu untuk meneruskan saki baki perjalanan.

Kami terus berjalan menyusuri denai hutan yang lecak dan licin. Kami turut mendaki bukit mencanak dan menuruni tebing curam silih berganti. Memang sukar menemui trek landai yang memudahkan perjalanan. Kami kemudiannya tiba di kawasan lapang yang sesuai dijadikan lokasi perkhemahan. Kawasan tersebut agak luas dan terletak berhampiran sebatang jeram yang airnya mengalir dingin dan jernih, satu lagi ‘bonus’ bagi kami pendaki-pendaki yang keletihan. Kami seterusnya mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di situ kerana hari telah lewat petang untuk meneruskan perjalanan.

Hari Kedua: Keesokan harinya, kami bermula agak lewat iaitu pada pukul 10.45 pagi. Kami menyeberangi jeram dengan meniti batu-batu yang sesetengahnya licin dek diselimuti lumut ditambah dengan hujan lebat yang menimpa semalam. Keyakinan kami mula bertambah dengan terjumpanya denai hutan yang agak mudah untuk diikuti. Kami berharap dengan penemuan ini, kami tidak lagi rasa tertekan terpaksa berpatah balik setiap kali mengikuti arah yang salah. Ianya sungguh memberikan kesan kepada mental dan fizikal.

Kami terus berjalan dalam hutan menghijau yang sungguh sepi. Kecuraman laluan juga mula mengurang dan perjalanan kini tidaklah begitu memenatkan. Trek yang kami tempuhi masih lembap, licin dan berlopak-lopak berisi air hujan. Persekitaran juga turut berubah dengan pertambahan altitud yang kami daki. Tiada lagi pepohon kayu tinggi yang menaungi. Pokok-pokok kecil dan sederhana tinggi jadi pengganti. Kami mula menempuh hutan montane yang terkenal dengan jumlah spesis yang terbatas dengan lumut hijau meliputi hampir seluruh permukaan.

Mata saya kemudiannya tertumpu kepada sesuatu yang meliut-liut tatkala menempuh haluan. Perasaan saya berbaur, antara ketakutan dan keterajuan. Pada mulanya saya terbayangkan ular. Tetapi apabila diamati, tubuh haiwan tersebut bersegman dan bukannya bersisik. Rupa-rupanya, haiwan itu merupakan cacing gergasi yang belum pernah saya temui dalam sejarah pendakian dan penerokaan hutan. Saya, dengan tidak berlengah, terus mengeluarkan kamera dan merakam imejnya sebelum ia berlalu pergi dan hilang dari pandangan.

Telah hampir dua jam kami meninggalkan tapak perkhemahan. Kami kemudiannya duduk berihat sambil menikmati makan tengahari. Peta topo dan maklumat bercetak ditatapi sambil mulut mengunyah makanan bersulam dengan minuman. Kami seterusnya menyambung perjalanan selepas kelaparan berganti kekenyangan serta keletihan berganti kesegaran.

Kira-kira pada pukul 3.00 petang, kami tiba di puncak bukit yang agak rata. Terdapat tanda-tanda tempat itu pernah digunakan sebagai tapak perkhemahan. Kawasan itu disuburi pepohon ala bonsai dengan batang dan dahan membengkak serta berpintal-pintak. Pokok orkid dengan juntaian bunga-bunga kecil serta tumbuhan karnivor periok kera turut menyerikan persekitaran.

Terdapat 116 spesis tumbuhan periok kera di merata kawasan tropika di dunia ini termasuk Malaysia. Daripada jumlah yang telah didokumenkan itu, 36 spesis tumbuh secara semulajadi di Negara ini manakala 27 darinya pula adalah endemik kepada Negara ini. Flora ini harus dipertahankan dari bahana kepupusan yang berpunca dari kemusnahan hutan yang menjadi habitat semulajadinya.

Negara mencatatkan sejarah baru-baru ini dengan penemuan spesis periok kera baru kepada dunia sains botani oleh penyelidik dari UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). Mereka membuat penemuan tersebut di kawasan tanah tinggi di Daerah Keningau, Sabah. Flora yang hampir serupa dengan periok kera Nepenthes reinwardtiana itu kemudiannya diberi nama Nepenthes naquiyuddinii.

Kami seterusnya duduk berbincang tentang perjalanan yang masih jauh dari matlamatnya. Selepas berjalan selama dua hari, kami hanya mampu menghabiskan kira-kira 50 peratus dari jarak perjalanan ke puncak. Memandangkan kesuntukan masa, saya dan sebahagian kecil rakan–rakan terpaksa menarik diri dari meneruskan pendakian.Kami tiada pilihan melainkan pulang ke tempat masing-masing hari esok. Ia merupakan keputusan yang amat berat untuk diambil. Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Hari Ketiga: Pada kira-kira pukul 11.00 pagi, selepas bersarapan dan mengemaskan peralatan, saya dan beberapa rakan beransur-ansur meninggalkan tapak perkhemahan. Kami bersalam-salaman dengan ahli-ahli kumpulan yang akan meneruskan cabaran dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Kami juga mendoakan agar impian untuk menjejakkan kaki ke puncak Gunung Benom yang berketinggian 2,103 meter itu jadi kenyataan.

Kami melangkah dengan hati yang berat meninggalkan mereka yang sedang sibuk mengemaskan peralatan. Perjalanan turun jadi mudah dengan terbukanya laluan silam yang telah lama dilupakan. Kami tidak menghadapi banyak masalah dalam perjalanan dan tiba di Kampong tengah pada pukul 5.30 petang. Walaupun kami terpaksa menarik diri dan akur dengan keadaan, impian untuk menjejakkan kaki ke puncak Gunung Benom tidak pernah berkubur. Semoga ianya akan jadi kenyataan.

Kami mendapat berita kemdiannya bahawa baki ahli kumpulan yang meneruskan perjalanan berjaya tiba di puncak. Syabas kepada mereka. Buat diri saya, ilusi itu berakhir juga dengan realiti. Selang beberapa bulan berikutnya, saya kembali dengan kumpulan yang lain pula. Kami mendaki melalui laluan Lata Berembun dan berjaya menggapai puncak Gunung Benom pada hari kedua. Namun begitu, saya masih bercita-cita untuk menjejaki puncak itu melalui laluan Kampong Tengah. Laluan yang pernah berakhir dengan kegagalan.

5 Comments

  1. idayu said,

    June 23, 2008 at 2:18 pm

    caya la beb – tak ada guide pun lepas ke puncak!
    memang teror tengok peta – ni mesti score geo waktu kat sekolah nih! good luck to u all!

  2. bahariah baharudin said,

    February 20, 2009 at 2:00 am

    great..!! i should have been there..

  3. midi78 said,

    October 6, 2009 at 1:17 pm

    nasib baik sampai gak ek..saya 2 kali gi gunung benum ikut kg.tengah last dah lama la taun 2000.kami first team yg berjaya sampai ke puncak..tapi paling seksa lansung tak ada track kena tebas sampai atas..2 kali sesat.tapi kalau nasib baik pegi time pokok tgh. berbunga canti siot tak dpt.nak cerita sepanjang jalan penuh bunga bewarna warni taknak blk rasanya.

  4. azman said,

    November 26, 2009 at 12:40 am

    pegi gunung benom ikut kg tengah memang menarik n mencabar. trek pun dah ok skrg. aku pun dah smpai puncak pd 2-9-2007


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: