Batu Putih ~ KOSMO 24 Dis 2005

Kami meninggalkan kawasan empangan di Kampung Kuala Woh di Tapah, Perak tepat jam 9.30 pagi pada 2 Oktober 2004. Trek yang kami lalui adalah bersebelahan dengan sebatang sungai yang airnya mengalir deras. Keadaan trek turun naik dan licin oleh hujan yang kerap turun kebelakangan ini.

40 minit kemudian kami berhenti. Seorang demi seorang menyeberangi sungai. Keadaan air sungai yang mengalir deras dan sedalam dada di beberapa tempat menyukarkan pergerakan. Silap langkah boleh membawa padah. Kami mengambil masa hamper setengah jam untuk ke seberang.

Keadaan trek kemudiannya adalah lebih sukar dan mencabar minda. Kami kemudiannya meniti batu-batu licin berhampirang jeram yang cantik tetapi merbahaya. Airnya mengalir deras dan dalam. Kadang-kala trek bertukar menjadi anak sungai yang lecek dan licin.

Trek yang kami hadapi juga bertambah curam. Terdapat banyak rumpun buluh yang tumbuh subur yang menyukarkan perjalanan. Kami terpaksa merangkak dan ada ketikanya meniarap untuk mengelakkan diri daripada buluh tumbang dan pokok-pokok buluh yang tumbuh menghalang laluan.

Pokok-pokok salak juga tumbuh subur di lereng bukit yang didaki. Keadaannya jauh lebih subur dari apa yang pernah saya temui di kebun-kebun. Ada yang sedang lebat berbuah tetapi hajat untuk menikmatinya tidak kesampaian. Tiada buah yang masak ranum untuk dimakan.

Dua jam selepas mengharungi aliran sungai yang deras kami tiba di sebatang anak sungai. Kami mengambil keputusan untuk berhenti rehat dan makan tengahari. Ada juga rakan-rakan yang mengambil kesempatan berendam dalam aliran sungai yang dingin tetapi menyegarkan badan.

Kami meneruskan pendakian. Keadaan trek tidak banyak berubah. Licin, curam dan ditumbuhi banyak buluh dan salak. Keadaan ini hampir berlarutan selama 2 jam. Tiada pendaki lain yang kami temui. Hanya kami yang seramai tiga belas orang mengharungi denai hutan yang sunyi seolah-olah tanpa penghuni.

Kami kemudiannya tiba di sebatang anak sungai dan berhenti berehat seketika. Kami kemudiannya meneruskan pendakian. Hujan renyai menemani perjalanan kami. Pada pukul 5.15 petang kami tiba di destinasi hari pertama. Kami mendaki bukit berbatu yang membentuk gua menjadi tempat penginapan kami.

Gua Azan, begitulah nama yang diberi oleh segelintir pandaki yang pernah ke sini. Tempat ini sesuai dijadikan tempat bermalam kerana kering, terlindung dari hujan dan sinaran terik matahari. Keadaannya juga gelap dan dingin. Berhampiran kawasan ini juga ada sebatang anak sungai yang mengalir jernih.

Pengembaraan hari kedua bermula seawal pukul 9.00 pagi. Pendakian hari ini jauh lebih mudah dari semalam. Tiada bebanan berat yang harus digalas. Sebahagian besar peralatan dan makanan kami tinggalkan di Gua Azan. Kami hanya membawa bekalan makanan dan air untuk ke puncak.

Suhu yang dicatatkan pada pagi ini ialah 18oCelcius, sejuk tetapi menyegarkan. Kami menyusuri denai hutan dalam hutan montane, hutan tanah tinggi yang sinonim dengan pokok-pokok renek dan pelbagai spesis lumut. Pokok berkayu yang kerap ditemui di sini antara lainnya adalah Leptospermum flavenscens.

Kami kemudiannya memanjat tangga yang diperbuat dari kayu yang berikat tali bersebelahan dengan jurang yang dalam. Kadang-kala kami berjalan di celah-celah batu besar. 45 minit selepas meninggalkan Gua Azan kami tiba di sebuah kawasan lapang berhampiran dengan Gunung Batu Kak.

Kami berehat seketika sebelum menyambung perjalanan. Keadaan sungguh hening dan kadang-kala bunyi burung memecah kesunyian. Saya dapati tidak banyak pokok periok kera (Nepenthes spp) yang tumbuh. Lazimnya tumbuhan parasitik ini mudah kelihatan di kawasan-kawasan tanah tinggi yang pernah saya terokai.

Tepat jam 1.30 tengahari sebahagian besar ahli kumpulan selamat tiba di puncak Gunung Batu Putih. Puncak dengan ketinggian 6,994 kaki ini pernah tercatat dalam sebuah buku bertajuk “The Jungle is Neutral” yang dikarang oleh seorang pegawai Tentera British.

Major F. Spencer Chapman menyentuh mengenai Gunung Batu Putih dalam tulisannya mengenai pengalaman beliau di Tanah Melayu semasa Perang Dua Kedua. Beliau bertanggungjawab terhadap kumpulan gerila Force 136 bagi memerangi Tentera Jepun semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu sehingga 1945.

Puncak Batu Putih adalah luas dan boleh dikatakan rata. Kawasan puncak ini sememangnya sesuai dijadikan tapak perkhemahan yang boleh menampung 30 pendaki pada satu-satu masa. Pemandangan di sekeliling juga indah dan kadang-kala berkabus tebal dengan tiupan angina kencang.

Kira-kira jam 3.00 petang saya, Rosli dan Aidil meninggalkan puncak Batu Putih. Kami tiba di Gua Azan 2 jam setengah kemudian. Rakan-rakan lain tiba lewat kerana mendaki puncak Gunung Batu Kak dalam perjalanan turun. Kami semua berkumpul semula di tapak perkhemahan pada jam 7.00 malam.

Kami bermalam untuk hari kedua di Gua Azan. Ada juga rakan-rakan yang bermalam dalam khemah dan bakinya pula bermalam di bawah tarpaulin. Ini adalah pengalaman pertama bagi saya dan sebahagian besar rakan-rakan bermalam dalam gua ketika menjalankan aktiviti pendakian.

Keesokan harinya pada pukul 11.00 pagi 4 Oktober 2004 kami meninggalkan Gua Azan. Perjalanan turun adalah lebih pantas tetapi kesukarannya tetap dirasa. Hujan yang turun di sepanjang petang menjadikan trek licin dan merbahaya. Ramai juga di antara kami yang jatuh terlentang ketika berjalan turun.

Langit gelap ketika kami menuruni sungai untuk ke seberang. Kesukarannya masih lagi terasa seperti mana yang kami hadapi ketika menyeberang pada hari pertama. Badan terasa letih dengan beg berat yang digalas. Namun apa yang pasti, perjalanan harus diteruskan.

Hujan turun sebaik sahaja kami tiba di seberang sungai. Hasrat rakan-rakan untuk mandi manda terpaksa dilupakan. Paras air sungai boleh naik secara mendadak dan boleh mengancam nyawa. Kami terus mengemaskan peralatan dan meneruskan saki-baki perjalanan yang ada.

Pukul 4.15 petang, setelah mengharungi arus deras sungai dan meredah hutan belantara selama 3 hari 2 malam, kami pun tiba di Kampung Kuala Woh. Kepuasan tergambar di wajah masing-masing. Pengembaraan ini sememangnya memeritkan tetapi keperitan mengajar manusia erti ketabahan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: