Bah Gading ~ KOSMO 29 September 2007

Tidak kira Barat mahu pun Timur. Tidak kira Utara mahu pun Selatan. Puncak-puncak menjulang tinggi tetap jadi tumpuan. Sekumpulan pendaki-pendaki yang sebahagian besarnya dianggotai oleh ahli Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) baru-baru ini menempuhi pengembaraan penuh cabaran melalui laluan berliku ke puncak Gunung Bah Gading. Saya turut serta bersama mereka menggapai puncak berketinggian 5,318 kaki itu. Berikut adalah catatan perjalanan kami di puncak yang terletak di Bidor, Perak.

Hari Pertama: Perkarangan Sekolah Kebangsaan Kampung Senta agak sibuk walaupun di pagi hari Sabtu. Kanak-kanak sekolah yang beruniform datang berbondong-bondong untuk sesi persekolahan. Manakala kami pula sibuk mengemaskan peralatan selepas menikmati sarapan. Taklimat menyusul sebelum sesi regangan mengambil tempat. Pada pukul 8.30, dengan iringan doa memohon perlindungan dari segala bencana, kami mengorak langkah di pagi yang dingin itu.

Kami melewati perkampungan Orang Asli Kampung Senta yang dihubungkan dengan dunia luar oleh jalan laterit. Kiri kanan jalan subur dengan rumput Pennisetum sp., tumbuhan agresif dari famili Graminae yang mampu mencecah setinggi dua meter. Pepohon jambu dan betik turut melatari kawasan perkampungan yang berlatar-belakangkan banjaran gunung menghijau yang enak mata memandang. Banjaran gunung yang sering menjadi buruan gerombolan seperti kami semua sebagai medan pendakian.

Kami terus mengatur tapak turun naik laluan yang juga subur dengan pepohon pisang hutan, Musa sp. Tumbuhan ini mengeluarkan tandan buah yang bersifat berlawanan dengan pokok pisang yang biasa ditanam untuk buahnya yang jadi kegemaran. Tandan pisang yang biasa ditemui tumbuh menjalar ke bawah seolah-olah tertarik kepada medan graviti bumi. Tetapi, tandan buah pisang liar tidak mengikuti resam ini. Sebaliknya, ia tumbuh samada ke kiri atau pun ke kanan. Malah, ia juga sering ditemui tumbuh melonjak ke atas, seolah-olah seperti roket yang akan berlepas.

Kami turut berjalan di atas beberapa titian yang diperbuat daripada kayu dan buluh yang merentangi jeram mengalir deras, jernih dan cetek. Kami seterusnya singgah berhampiran buah-buah durian yang berlonggok di tepi jalan. Seorang wanita Orang Asli sedang tekun membersihkan buahan tersebut sementara menunggu peraih dari pekan. Saya mengambil kesempatan merakamkan imej digitalnya sambil menikmati keenakan hasil alam yang mendapat jolokan “raja buah” itu.

Pepohon petai dengan pod buah dan kudup bunga yang berjuntaian juga kami temui. Perjalanan kami akhirnya terhenti berhampiran sebuah pondok yang menghadap titian yang merentangi jeram. Peluh melencuni tubuh setelah sekian lama berjalan menempuhi jalan laterit. Kami turut berselisih dengan penduduk setempat yang berulang-alik dengan motorsikal. Kadang-kala, kenderaan pacuan empat roda dengan muatan sumber hutan seperti durian dan petai turut kami temui.
Kemudian, kami menyambung perjalanan dan tiba di perkampungan Orang Asli berikutnya, iaitu Pos Gedong pada pukul 11.30 pagi. Kami duduk bersantai di atas padang berumput hijau dan bernaungkan sepohon durian yang agak lebat berbuah. Meleleh air liur apabila terpandang ke arah gugusan buah yang menunggu masa untuk gugur. Kami duduk di situ sambil menunggu rakan-rakan menguruskan penunjuk jalan yang bakal membawa kami ke puncak Gunung Bah Gading.

Kami kemudiannya menikmati makan tengahari bihun goreng bersama teh o berperisa strawberi panas. Kami menyambung perjalanan pada pukul 12.50 tengahari ditemani dua penunjuk jalan. Bogei mengetuai kumpulan manakala yang seorang lagi, iaitu Pak Atan, berjalan di bahagian paling belakang sambil menggalas selaras senapang patah. Kami berjalan di bawah naungan pepohon durian dan getah. Getah, tanaman ladang yang pernah terbiar sepi kini diusahakan semula secara intensif. Kenaikan harga petroleum menyumbang kepada melonjaknya nilai komoditi itu di pasaran dunia.

Denai yang kami tempuhi akhirnya terhenti di sebatang jeram beberapa minit berikutnya. Kami meniti batu-batunya yang pelbagai bentuk dan saiz ke seberang sebelum menempuh denai hutan. Kami menempuhi denai yang turun naik sebelum kembali menyeberangi jeram. Laluan ini berselisih ganti, antara menyeberangi jeram dan menempuhi denai hutan. Akhirnya, kami duduk berlapikkan batu-batu di tebing jeram itu dengan bernaungkan pepohon rendang yang menghijau.

Kedinginan seperti salju serta kejernihan seperti kristal nombor satu aliran jeram itu sememangnya menenangkan fikiran dan menyejukkan pandangan. Saya memerhatikan sahaja gelagat rakan-rakan yang berendam dan mandi-manda bagi menyejukkan badan yang kepanasan setelah lama berjalan di bawah terik mentari yang berbumbungkan langit biru. Kira-kira pada pukul 3.00 petang, kami menyambung perjalanan dan mula meninggalkan kawasan jeram serba indah itu 40 minit kemudian.

Perjalanan kami yang berikutnya adalah melalui jalan balak tinggal. Kami tercungap-cungap keletihan dengan keringat melencunkan badan menempuhi laluan panas tanpa naungan. Kerap kali kami terpaksa berhenti meneguk minuman pengganti kelembapan sebelum menyambung perjalanan yang entah bila akan berkesudahan. Sepasang kaki yang pada sebelah paginya melangkah penuh ghairah kini di sebelah petangnya pula beransur lemah. Telah berjam kami bekerja keras menongkah bukit mencanak yang amat memenatkan.

Pada pukul 4.40 petang, kami tiba di satu aliran anak sungai yang mengalir jernih dan dingin melalui lanskap yang didominasi warna kemerahan dan kekuningan. Warna yang begitu sinonim dengan kawasan hutan yang telah diteroka yang melambangkan kemusnahan. Kami berhenti di situ sambil menunggu rakan-rakan yang jauh ketinggalan di belakang. Kami turut menunaikan solat Jamak Zuhur dan Asar sebelum mengisi bekas-bekas kosong sebagai kegunaan dalam perjalanan. Menurut penunjuk jalan, itulah satu-satunya punca air terakhir sebelum meneruskan saki baki pendakian ke puncak.

Kami kembali menempuhi jalan balak tinggal yang menyakitkan pandangan. Keadaannya sungguh menyedihkan dengan hakisan teruk dengan juram dalam yang membahayakan. Kami turut meniti permatang sempit dengan hati-hati, silap langkah sudah semestinya mengundang padah. Kerja-kerja pembalakan yang telah lama berlalu meninggalkan parut yang tidak mungkin dapat dipulihkan.

Berdasarkan statistik, kira-kira 140,000 kilometer persegi hutan purba asli di segenap pelosok bumi musnah setiap tahun. Pembalakan dikenalpasti sebagai penyumbang utama kepada kemusnahan yang tidak mampu lagi dibendung ini. Kadarnya terus meningkat saban tahun yang turut menyumbang kepada masalah pemanasan global. Malaysia sendiri tidak terlepas daripada menerima kesan negatif ini sehinggakan paras air laut telah menokok antara dua hingga empat sentimeter sejak 50 tahun yang lampau.

Pada kira-kira pukul 7.30 petang, kami tiba di satu kawasan lapang. Perjalanan kami yang begitu panjang pada hari ini pun tiba di penghujungnya. Kami seterusnya berkhemah di situ, di satu kawasan yang mampu memuatkan kira-kira 100 pendaki pada satu-satu masa. Tibalah saatnya untuk merihatkan tubuh yang keletihan sementara menunggu hari esok. Semoga masih ada hari esok yang bakal menjanjikan kejayaan kepada kami yang ber-39.

Hari Kedua: Pagi-pagi lagi kami sudah bangun mempersiapkan diri untuk menempuh cabaran fasa terakhir ke puncak Bah Gading. Sekiranya cuaca cerah dengan langit membiru menyambut kami semalam, kini segala-galanya berubah. Hari baru ini pula kelam macam mengundang hujan. Namun, perjalanan ini harus kami sempurnakan. Kami mula mengatur langkah pada pukul 8.30 menggalas pek kecil dengan muatan sedikit makanan dan minuman.

Kami menempuhi saki baki jalan balak mencanak yang turut disuburi orkid buluh, Arundina graminifolia. Di samping itu, rumpun buluh yang sesetengahnya berbunga lebat turut kami temui. Mungkin tiada apa-apa yang menarik tentang kejadian semulajadi ini. Tetapi, kepada dunia sains botani, fenomena mengapa pokok buluh mati selepas mengeluarkan bunga merupakan satu misteri yang belum terjawab hingga kini.

Kemudian, kami mula meninggalkan jalan balak dan melewati denai hutan pula. Kawasan tersebut berbukit curam dan ianya mengingatkan saya tentang puncak-puncak lain yang pernah saya daki seperti Gunung Tangga di sebelah Gua Musang, Kelantan dan Gunung Liang Timur dan Liang Barat di sebelah Behrang, Perak. Kami berterusan mendaki laluan mencanak itu dengan angin kencang mula bertiup. Tidak lama kemudian, hujan renyai-renyai mula turun dan menimpa kami sedikit demi sedikit. Trek kemudiannya jadi sukar ditempuhi dek basah dan licin. Dahan kayu serta balak tumbang turut menambahkan kesukaran.

Kira-kira dua jam selepas meninggalkan tapak perkhemahan, kami selamat tiba di puncak Gunung Bah Gading. Tiada pemandangan indah yang dapat dinikmati di puncak yang berketinggian 5,318 kaki itu. Apa yang menyambut kami hanyalah simbahan hujan lebat berserta angin kuat dengan kabus tebal membaluti alam. Hasrat saya yang ingin merakamkan gambar sebanyak mungkin terbengkalai dari puncak dengan beirut yang hanya tinggal rangka itu.

Saya dan beberapa rakan ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak. Walaupun kami berhajat benar untuk berada lebih lama di puncak, badan yang menggigil kesejukan dek basah kuyup dari hujung rambut hingga ke hujung kaki menghalang kami daripada berbuat demikian. Dengan hati yang berat, kami terpaksa beredar dari kawasan tanah tinggi itu meninggalkan sebahagian kecil rakan-rakan yang masih menggagahi diri dalam cuaca yang tidak mengizinkan itu.

Kami berselisih dengan sekumpulan besar rakan lain yang masih berusaha keras mendaki ke puncak dalam simbahan hujan. Semakin lama kami berjalan, semakin kurang tempias hujan yang kami rasakan. Apabila kami tiba di tapak perkhemahan kira-kira dua jam kemudian, hujan pun berhenti. Kawasan lapang yang kami tinggalkan di awalnya, yang kering kontang sebelum ini, kini basah dan berlopak-lopak. Kami yang keletihan dan menggigil kesejukan bermandikan keringat dan air hujan kemudiannya menjamah makanan dan menikmati minuman pemanas badan.

Kemudian, kami meninggalkan tapak perkhemahan selepas mengemaskan peralatan dan membersihkan kawasan pada kira-kira pukul 2.30 petang. Kami seterusnya singgah di puncak air terakhir lebih kurang setengah jam kemudian. Mi segera dan teh o panas jadi sajian di petang yang hening itu. Berikutnya, kami menyambung perjalanan turun setelah menunaikan solat.

Kami melewati kembali jalan balak tinggal yang sepi yang kelihatan seperti tidak berpenghuni. Kami tidak menyimpang ke arah denai hutan yang menembusi kawasan jeram sepertimana ketika datang semalam. Sebaliknya, kami berterusan berjalan di atas jalan balak yang turun naik. Kami turut melewati kembali perkampungan Orang Asli yang baru ditinggalkan semalam. Perjalanan kami itu akhirnya terhenti pada kira-kira pukul 7.00 petang di pondok berhampiran jeram yang mengalir indah. Trak pikap yang menghantar kami semalam telah sedia menunggu untuk membawa kami keluar.

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan melewati jalan laterit dengan trak pikap dan tiba di pekan Bidor sejam kemudian. Pada sebelah malamnya pula, kami bersama-sama pulang ke Kuala Lumpur. Kami semua mungkin dibelenggu keletihan tetapi kepuasan tetap dirasakan setelah menempuh pengembaraan penuh kenangan. Mungkin di lain masa, kami akan diketemukan kembali untuk menjejaki puncak menjulang tinggi yang lain pula.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: