Angsi ~ KOSMO 03 Mar 2007

Lebuhraya Utara Selatan agak sesak pagi Sabtu itu. Sesekali, saya mengerling ke luar tingkap kereta yang saya pandu. Memandang ke arah horizon yang mula memancarkan cahaya kemerahan mentari yang mula muncul di hari yang baru. Kami kemudiannya menyusur keluar dari lebuhraya dan menempuh kawasan Senawang di Negeri Sembilan. Beberapa minit kemudian, kami mula menempuh jalanraya bengkang bengkok yang menuju ke arah Kuala Pilah. Jalan berliku itu sesak dengan kenderaan kecil besar yang menyusuri permukaan bitumennya.

Pukul 8.15 pagi, kami tiba di Hutan Rekreasi Ulu Bendul. Hanya dua pengunjung yang sedang berjalan sambil berbual-bual kelihatan. Saya datang bersama dua anak lelaki saya, Aman dan Razi. Kami kemudiannya mengemaskan peralatan sebelum menghadapi sarapan pagi. Roti sanwic telur rebus lecek digaul dengan mentega keluaran New Zealand, dimakan bersama hirisan tomato hasil ladang Cameron Highland. Selepas itu disudahi dengan susu berperisa coklat. Sungguh enak dan mengenyangkan.

Kami mengorak langkah tepat pukul 8.40 pagi. Hanya deruan sungai yang mengalir memecah keheningan. Hutan yang kami tempuhi begitu tenang dan dingin. Keadaan trek kering dan dipenuhi daun-daun yang jatuh berguguran. Dahan dan pokok tumbang juga agak menyukarkan pergerakan. Mungkin tumbang dek tiupan angin kencang atau panahan petir.

Kami berjalan naik turun trek yang tidak keterlaluan kecuramannya. Batu-batu yang bertaburan di tengah-tengah trek dititi berhati-hati. Keringat mula membasahi diri dan tubuh yang dingin awalnya mula terasa panas. Sejam kemudian, kami tiba di Jeram Kak Lang. Deruan air yang jatuh menghempas batu jelas kedengaran. Kami duduk di atas tanah keletihan. Seteguk dua air yang dinikmati menghilangkan kehausan. Makanan ringan pula dijamah bersama.

Agak lama juga kami duduk berihat di tapak perkhemahan berhampiran Jeram Kak Lang. Tempat tersebut bukan asing buat diri saya yang pernah menempuhi trek ke puncak Gunung Angsi bukan untuk pertama kali. Cuma banyak perubahan telah berlaku. Prasarana seperti pondok istirehat dibina berhampiran trek. Pondok-pondok itu dibina dengan papan-papan tanda berinformatif. Papan tanda yang menceritakan kepentingan dan fungsi hutan kepada dunia sejagat. Sesetengah pokok hutan dipasang label untuk kemudahan pengunjung yang sering datang terutamanya ketika hari cuti.

Kami menyambung perjalanan setelah penat terasa berkurangan. Keadaan persekitaran tidak banyak berubah, masih dibayangi deruan air jeram yang mengalir. Kami seterusnya meniti batu-batu ke seberang sungai dan terus berjalan melalui trek yang turun naik. Kelihatan kepingan kulat pelbagai bentuk, saiz dan warna melekat pada batang-batang pokok mati. Kulat, organisma tanpa klorofil yang majoritinya membantu proses pereputan dan pengitaran nutrien.

Kami seterusnya melintasi kawasan lapang yang telah diteroka untuk jalan pacuan empat roda. Keadaan di situ panas dan kurang selesa. Kami kemudiannya melewati semula kawasan redup dengan naungan. Kawasan naungan hutan sekunder yang ditumbuhi belukar resam dan pokok rendang. Trek kemudiannya terhenti di sebatang anak sungai cetek dengan aliran jernih dan menyejukkan. Kami ternampak tiga anak muda yang mendahului kami, mungkin Gunung Angsi tempat dituju.

Trek mencanak sebaik sahaja kami menyeberangi anak sungai. Keadaannya amat kering, merekah dan berlubang-lubang. Lubang dan rekahan terhasil dari hakisan air hujan yang mengalir. Akar pokok yang terdedah dan berselirat pula merentangi trek. Begitu juga daun kering yang gugur dan bertaburan. Trek tersebut kami daki perlahan-lahan kerana kepenatan mula menguasai diri kembali. Tiada lagi deruan air sungai yang kedengaran.

Anggota tentera berpakaian lengkap seragam kombat menuruni laju trek yang kami daki. Sambil turun sambil menyapa kami yang mendaki lambat dek keletihan. Trek kering tanah kekuningan itu kami terus daki dan daki. Setelah agak lama, ia jadi lebih mudah. Kami kemudiannya berdiri berhadapan bukit curam bertanah merah, yang berdiri tegak dengan rekahan dalam tanda hakisan teruk.

Dahulu, terbina tangga kayu untuk memudahkan pendaki melepasi bukit tersebut. Kali terakhir saya datang, kira-kira dua tahun yang lalu, ia masih tegak berdiri. Kini segala-galanya tiada lagi. Musnah dimamah panas hujan yang sering berganti. Kami memanjat di celahan bukit itu. Berhati-hati menyusun kedua-dua belah tangan dan kaki. Walau sesukar mana sekali pun, halangan tersebut terpaksa juga kami lepasi. Nasib baik tali dipasang untuk membantu pergerakan. Kami melepasinya dengan bersusah payah, langsung tercungap-cungap mengah. Kami kemudian berhenti sekejap sebelum mendaki semula.

Trek kemudiannya beransur-ansur mudah tetapi itu hanya sementara. Kami terpaksa berdepan semula dengan bukit curam dengan akar pokok yang berselirat merentangi laluan. Pokok mati menyembah bumi yang mereput juga tidak ketinggalan. Memberikan tekanan kepada insan yang meneruskan pendakian.

Perlahan-lahan kami meneruskan perjalanan. Sedikit demi sedikit halangan dilepasi satu persatu. Setelah puas menuruni lurah, setelah puas mendaki bukit mencanak, setelah puas hutan diredah, akhirnya pada pukul 12.00 tengahari, kami tiba di puncak Gunung Angsi.

Beirutnya yang berdiri tanpa tiang besi masih ujud lagi, terperosok di celah semak samun. Pokok mangga yang tumbuh ibarat hidup segan mati tak mahu masih berdiri tegak di situ. Kali terakhir saya berdiri di puncaknya adalah kira-kira dua tahun yang lalu. Angin bertiup agak kencang, dingin dan menyegarkan. Kabus nipis mengaburi mata yang cuba-cuba meninjau horizon dengan banjaran gunung biru-hijau.

Puncak Angsi beraltitud 2,702 kaki itu tidak pernah gagal menggamit memori. Di peringkat awal melayani kegilaan mendaki, saya kerap bermalam di puncaknya. Saya bersama rakan-rakan biasanya datang dalam kegelapan malam yang sepi. Menggalas beg berat menyusuri trek yang disimbahi cahaya lampu suluh. Segala-galanya masih jelas dalam memori.

Tiga pemuda yang kami temui pada peringkat awal pendakian kelihatan bersiap-siap untuk turun. Entah pukul berapa mereka sampai agaknya, fikir saya. Anak-anak saya, Aman dan Razi tersenyum kegirangan. Tersenyum kerana berjaya juga sampai setelah perit menempuh kepayahan untuk memperoleh kejayaan.

Rupa-rupanya rakan-rakan pendaki yang saya kenali sejak sekian lama juga turut berada di puncak. Kami bersalam-salaman dan bertukar-tukar khabar. Kemesraan jelas terpancar di wajah dek kegembiraan berkongsi minat yang sama. Minat mendaki puncak di segala pelosok tanah air. Kami duduk berihat sambil makan dan minum. Udara angin pergunungan terus menerus menghembus menyejukkan badan. Terasa sungguh menyegarkan.

Rakan-rakan yang saya temui mendaki Gunung Angsi melalui Bukit Putus manakala kami tiga beranak datang dari arah Ulu Bendul. Pada pukul 12.45 tengahari, saya mengambil keputusan untuk turun mengikut arah mereka naik. Trek tersebut lebih pendek dari yang kami tempuhi untuk naik sebelum ini.

Fauna menghijaui laluan yang kami lewati. Spesis herba dari famili Zingiberaceae seperti Alpinia rafflesiana mudah ditemui. Tumbuhan tersebut cantik dengan bunga kuning merah terang. Beberapa spesis herba dari famili Zingiberacae juga telah dimenfaatkan manusia sejak ratusan tahun, antaranya halia, lengkuas dan kunyit.

Laluan tersebut kami turuni dengan pantas tapi penuh waspada. Nasib baik ianya kering serta berselirat dengan akar pokok dan berserakkan daun kering. Jadi mudahlah bagi kami menuruni trek curam itu. Mungkin telah agak lama hujan tidak turun di sebelah sini. Hujan yang memberikan kelembapan yang menjadi nadi kepada kesemua kehidupan ciptaan Tuhan. Walaupun kadangkala ianya mendatangkan kerugian nyawa dan harta benda yang bukan sedikit sekiranya banjir melanda tanpa diduga.

Pokok petai yang menjulang tinggi juga kami temui. Petai (Parkia javanica), sejenis flora dari famili kekacang (Legunimosae) dimakan sebagai ulam atau dijerukkan. Produk hutan yang pada satu masa dahulu hanya diperolehi dengan cara yang menyukarkan dari rimba kini ditanam secara komersil. Petai juga dikatakan mempunyai nilai kesihatan terutamanya di kalangan pengamal perubatan tradisional.

Kami terus mengatur langkah menuruni trek yang menyusuri kawasan hutan Dipterokap. Masa terus berjalan dan kami kemudiannya menukar arah ke jalan pacuan empat roda pula. Entah bila jalan tersebut dibina dan ke mana pula ia menuju. Tiada siapa di kalangan kami yang tahu. Cuaca terang benderang dan cahaya sang suria yang memancar terik membakar kulit yang terdedah.

Kami seterusnya tiba di tebing tinggi yang menghadap jalanraya penghubung Seremban Kuala Pilah. Jelas kedengaran bunyi jentera berat sibuk bekerja di samping deruan kenderaan yang lalu lalang. Tatkala menuruni cerun curam yang subur dengan semak samun resam, saya memerhatikan keadaan. Apa yang saya cari dapat juga ditemui. Sejenis spesis periok kera (Nepenthes sp.) berwarna hijau masih tumbuh di situ. Tanpa berlengah saya merakamkan imej digitalnya. Entah berapa lama lagi ia dapat bertahan di situ. Terlalu banyak pembangunan yang sedang berjalan di kawasan berhampiran. Beberapa lokasi berdekatan yang dahulunya berhutan kini bertebingkan konkrit yang kelihatan begitu artifisal di satu dunia yang penuh kehijauan.

Tepat pukul 2.15 tengahari, kami berjaya menamatkan perjalanan. Saya dan anak-anak seterusnya berpatah balik ke Hutan Rekreasi Ulu Bendul manakala rakan-rakan pendaki yang turun bersama bertolak pulang. Hutan rekreasi yang di sebelah paginya sepi kini meriah dibanjiri pengunjung.

Kami kemudiannya menyertai pengunjung lain berendam dalam air sungai yang dingin lagi menyegarkan. Selepas menjamah makanan dan minuman, dan, selepas menunaikan solat, kami meninggalkan Hutan Rekreasi Ulu Bendul. Mungkin di satu masa nanti, kami akan kembali. Kembali menjejakkan kaki ke puncak Angsi, puncak yang senantiasa kami ingati.

2 Comments

  1. hafizam said,

    January 4, 2009 at 1:03 pm

    Jalan cerita dan pemilihan bahasa yang menarik! masuk semalam kali ke-5 dalam tempoh setahun saya daki gunung Angsi, tapi tak pernah temui pokok periuk kera. Tiap kali ke sana saya harap dapat temui pokok tersebut untuk rakam gambar tunjukkan pada adik yang tak kenal pokok periuk kera.

  2. isa said,

    January 28, 2010 at 7:26 am

    em jlan ceria memang menarikkk,,, jom naik lagi ahad ni,,, 31 januari 2010,,, aku pon dah lama tak naik,,, bawak kawan2 yg baru nk belajar naik gunung ni,,, org cakap memula ni kena lah yg mudah2 dulu,,, jumper di sana,,


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: