Swettenham ~ KOSMO 20 Mei 2006

Bak kata orang, “Kita yang merancang, Tuhan yang menentukan”. Pada mulanya saya bercadang untuk mendaki Gunung Tangga tetapi disebabkan oleh beberapa masalah yang timbul, kami terpaksa bertukar haluan. Kami mempertaruhkan nasib untuk menjejaki laluan ke puncak Gunung Swettenham pula.

Kami tiba di pekan Tanah Rata, salah sebuah pekan di daerah Cameron Highland, di negeri Pahang. Pekan-pekan lain termasuklah Ringlet dan Brinchang. Kami tiba kira-kira pukul 4.00 pagi di suatu hari Sabtu setelah membelah kegelapan malam dari ibukota Kuala Lumpur sejak pukul 11.30.

Sudah 2 jam hujan turun dan kedinginan pagi hari terasa hingga ke tulang hitam sebaik sahaja saya keluar dari kereta. Turut serta bersama saya adalah 2 rakan lain di samping 3 buah kereta yang berpenumpangkan 12 orang. Kami berehat-rehat sambil menunggu hari siang sebelum memulakan pelan yang telah dirancang bersama.

Hujan terus turun tanpa henti sebaik sahaja kami berkereta semula selepas menikamati sarapan pagi roti telor bersama teh tarik. Keadaan jalanraya di waktu pagi itu tidaklah sesebok mana, jadi perjalanan kami lancar. Keadaan akan menjadi di sebaliknya terutamanya ketika musim cuti sekolah.

Kami seterusnya menempuh lokasi seperti Brincang, Tringkap dan Kampung Raja. Kabus menyelimuti sebahagian besar pandangan di kawasan tanah tinggi terbesar dan tersohor di Negara ini. Kami kemudiannya berhenti di sebuah perkampungan Orang Asli berhampiran dengan Lojing, di Kelantan.

Pada satu masa dahulu hanya kenderaan pacuan empat roda yang boleh sampai di Lojing dari Cameron Highland. Keadaan kini berubah sejak terbinanya jalanraya yang menghubungkan Simpang Pulai, di Perak dengan Gua Musang, di Kelantan melalui tanah tinggi Cameron.

Jalanraya yang dibina itu memberi kemudahan untuk mendekati dan menjejaki laluan ke beberapa puncak di sekitar Cameron Highland. Pada suatu masa dahulu segalanya sukar kerana kedudukannya yang jauh dan terpencil. Puncak-puncak tersebut termasuklah Gunung Cabang, Gunung Tangga dan Gunung Suku.

Kami kemudiannya bermula tepat pukul 10.45 pagi. Tiada siapa yang pernah tiba di sebelah situ. Saya terpaksa membuat rujukan dengan memuat turun maklumat dari laman web dan mencetaknya. Di samping itu, saya juga terpaksa menelefon Ngai dan Sahlan untuk menyemak semula laluan yang perlu dituju.

Kali terakhir saya mendaki tanpa menggunakan khidmat jurupandu jalan adalah ketika mendaki Gunung Yong Belar, puncak ketiga tertinggi di Semenanjung. Saya membuat kerja gila tersebut hanya berpandukan maklumat dari rakan-rakan dan lakaran di atas secebis kertas putih!

Perasaan bimbang tetap menghantui saya setiap kali menjejaki laluan ke puncak-puncak baru tanpa bantuan jurupandu jalan. Kawasan tanah tinggi Cameron pernah menyaksikan kehilangan Jim Thompson, Raja Sutera Thai berketurunan Amerika yang kali terakhir dilihat pada 1967, hampir 40 tahun yang lampau.

Kami menyusuri laluan pacuan empat roda yang sungguh lecak ketika bumi masih ditimpa hujan renyai. Kami kemudiannya mendaki bukit berhampiran kebun sayur dan terjumpa sebuah kuali yang tergantung pada batang pokok. Kuali tersebut merupakan klu pertama kepada kami untuk mengikuti trek yang betul ke puncak.

Trek yang kami daki tidaklah securam mana dan pendakian pada peringkat awal boleh dikatakan mudah. Akan tetapi hujan yang turun tanpa henti sejak kami bermula pada pukul 10.45 pagi melencunkan kami semua. Badan basah kuyup ditambah dengan suhu sejuk tanah tinggi menjadikan kami menggigil kesejukan.

Ada ketikanya kami menuruni laluan yang tidak pernah kering dari bunyi titisan hujan yang kadang-kala disertai dengan angin kencang. Kami kemudiannya berhenti di puncak sebuah bukit yang agak rata. Saya cuba-cuba meninjau di sekelilling. Yang jelas kelihatan hanyalah kabus putih yang menutupi pandangan.

Ada sejambak bunga orkid berwarna merah jambu yang hampir layu di tempat kami berhenti. Kami juga terlihat sejumlah kecil pokok periok kera dalam pelbagai warna. Di samping itu, kami tidak bertembung dengan sesiapa pun di sepanjang perjalanan.

Berhenti lama untuk melepaskan lelah bagi kami bukanlah mudah. Kami terpaksa menahan kesejukan dari hujan dan suhu rendah. Kami tidak mempunyai banyak pilihan. Walaupun agak kepenatan tetapi kami terpaksa berjalan terus, setidak-tidaknya dapat memanaskan sedikit badan yang kerap menggigil kesejukan.

Pada masa-masa tertentu kami menempuh hutan lumut, satu fenomena alam yang boleh dikaitkan dengan hutan montane. Pemandangan di kawasan itu unik seperti berada di alam fantasi. Segala-galanya diselimuti lumut yang subur menghijau, kelihatan indah tetapi pada waktu yang sama menyeramkan.

Kami kemudiannya menuruni cerun curam. Agak lama juga kami berbuat demikian. Kami banyak berpandukan pada teg-teg plastik kuning yang terikat pada dahan-dahan pokok. Batu-batu sempadan yang masih berdiri tegak juga menjadi klu kepada trek sebenar yang perlu diikuti di sepanjang perjalanan.

Batu-batu sempadan tersebut merupakan tanda sempadan untuk 2 buah negeri di pantai timur. Kami berjalan sekejap di sebelah Pahang dan sekejap di sebelah Kelantan, satu perkara yang menarik. Berdasarkan maklumat yang saya kumpul, kedudukan Gunung Swettenham adalah di antara 2 negeri, iaitu Kelantan dan Pahang.

Tepat pada pukul 1.00 tengahari, kami tiba di punca air terakhir. Benar seperti apa yang saya baca, terdapat sebuah balak tumbang dan pokok pisang di kawasan tersebut. Kami berhenti berehat setelah berjalan berjam lamanya. Kawasan tersebut lapang dan sesuai untuk tapak perkhemahan.

Setengah jam kemudian, kami menyambung saki baki perjalanan. Keadaan trek berubah secara mendadak, curam dan meletihkan untuk didaki. Nasib baik kecuraman itu hanya untuk 15 minit pertama, trek kemudiannya lebih mudah didaki. Kami berjalan terus menerus tanpa henti.

Kami masih terpaksa menongkah bukit curam di beberapa tempat. Sejam selepas meninggalkan punca air terakhir, kami selamat tiba di puncak Gunung Swettenham. Ada beberapa rakan-rakan yang tiba agak lewat, kira-kira 30 minit kemudian. Namun saya bersyukur kerana kesemuanya sampai dengan selamat.

Nama gunung yang tingginya 1,961 meter tersebut mungkin diambil daripada nama Sir Frank Athelstane Swettenham. Beliau adalah seorang Ketua Residen Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang pertama yang mewakili kuasa kerajaan Inggeris ketika Negara ini dijajah selama lebih dari 2 kurun.

Terdapat sebuah beirut atau struktur besi penanda puncak yang telah dimakan usia. Kaki struktur berkenaan juga telah bengkok dan banyak mengalami kerosakan. Berdekatan dengan puncak juga terdapat sebuah tapak perkhemahan yang bersaiz sederhana, cukup untuk memuatkan kira-kira 20 pendaki pada satu-satu masa.

Pemandangan sekeliling puncak tidak dapat dinikmati kerana diselubungi kabus tebal dan hujan masih tetap turun. Kami kemudiannya menyediakan teh panas untuk dinikmati dengan nasi himpit berlaukkan kari ayam segera. Tidak ketinggalan adalah kepingan roti yang dimakan dengan isi tuna lecek pedas dari tin-tin kecil.

Kawasan puncak agak kecil tetapi rata. Pada hemat saya ia mampu memuatkan tidak kurang dari 10 pendaki pada satu-satu masa. Namun demikian kami tidak bercadang untuk bermalam di puncak. Kami hanya membawa sedikit makanan dan minuman, jadi mudahlah kami naik dan turun gunung itu dengan pantas.

Kami seterusnya mengambil gambar kenangan sebelum meninggalkan puncak pada pukul 3.30 petang. Trek yang tadinya didaki kini terpaksa dituruni pula, sukar kerana basah dan licin ditimpa hujan tanpa henti sejak dari mula lagi. Kami menuruni trek dengan berhati-hati.

Kami menuruni cerun tanpa henti selama 40 minit sehinggalah tiba di punca air. Kami berhenti sambil menunggu kesemua rakan-rakan lain tiba sebelum menyambung perjalanan yang masih jauh. Beberapa minit kemudian trek mula berubah dan kami mula mendaki bukit mencanak.

Agak lama juga kami terpaksa menongkah laluan curam. Trek kemudiannya beransur berubah, dan kami mula menuruni cerun-cerun. Keadaan itu silih berganti,ada ketikanya kami mendaki dan di masa yang lain kami menuruni. Kami juga berhenti di tengah perjalanan untuk berehat seketika.

Kami kemudiannya berjalan terus tanpa henti dan tepat pada pukul 6.30 petang, saya dan beberapa rakan lain selamat tiba di garisan penamat. Kami tiba di perkampungan Orang Asli berhampiran sebuah pejabat kecil yang menempatkan renjer Jabatan Perhutanan Kelantan.

Kesemua dari kami selamat tiba tepat pukul 7.30 petang. Walaupun lewat saya bersyukur kerana kami semua dapat pergi dan kembali dengan selamat. Kami kemudiannya membersihkan badan dan bersolat. Selepas itu kami mengemaskan peralatan dan bertolak ke Tanah Rata untuk makan malam.

Mengikut rancangan awal kami sepatutnya berkhemah di hutan dan memasak sendiri makanan. Namun oleh kerana keletihan setelah berjalan sehari suntuk dibasahi hujan yang sejuk seperti ais, kami berpendapat adalah wajar dan lebih mudah untuk ‘masak’ sahaja di kedai.

Kami kemudiannya bermalam di tapak perkhemahan yang diselenggarakan oleh Jabatan Perhutanan. Sungguh lega rasanya dapat berbaring di dalam beg tidur setelah sebuk seharian bermandikan hujan sejuk naik dan turun laluan Gunung Swettenham. Kami akhirnya terlena dibuai mimpi-mimpi indah.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.